Kenyataan akhbar PRM Kelantan.

PRM Kelantan memandang berat mengenai penarikan darjah kebesaran oleh Sultan Kelantan keatas dua Exco kanan kerajaan negeri, ekoran ketegasan YB Takeyuddin Hassan dan YB Muhammad Daud dalam mempertahankan kepentingan rakyat Kelantan. Minat Istana mendapatkan tanah untuk tujuan pembalakan sudah tidak menjadi rahsia lagi malah sering diperbualkan di kedai kedai kopi. Rakyat Kelantan sudah muak dengan cerita cerita mengenai campur tangan pihak ketiga dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Tindakan Istana bukan sahaja menghina kedua dua Exco tersebut malah menghina seluruh rakyat Kelantan dan Kerajaan Negeri yang baru sahaja merayakan ulang tahun ke 10 di bawah kepimpinan Ulamak.

Kami menyokong tindakan Pemuda PAS agar mengambil tindak balas yang lebih tegas serta menggunakan peluang ini untuk mendesak Kerajaan Negeri mengemukakan usul pindaan perlembagaan bagi menyelaraskan kedudukan Sultan di sisi perlembagaan sebagaimana di negeri negeri lain.

Sehubungan dengan ini kami juga mendesak Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz agar tidak melengah lengahkan pindaan perlembagaan kerana ia merupakan sebahagian dari janji pilihan raya lalu. Tanpa pindaan perlembagaan sudah tentu kerajaan negeri akan menghadapi pelbagai lagi halangan bagi meneruskan dasar dasarnya.

Alias Che Mat.

(Pengerusi Badan Penyelaras PRM Kelantan)