Kenyataan PRM
BPR Perlu Siasat Kerugian JCorp

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendesak supaya Kerajaan  Negeri Johor
segera meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat kerugian Perbadanan
Johor (JCorp), sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata di Muar pada 19 Disember
2000, bahawa JCorp mempunyai hutang pinjaman berjumlah RM5 bilion. Ghani
memberi alasan kegawatan ekonomi sejak 1997 hingga 1999 sebagai punca
yang menjejaskan kedudukan kewangan JCorp.

Tidak dinafikan alasan krisis ekonomi satu faktor penting akan kerugian
besar JCorp sehingga mempunyai hutang RM5 bilion. Tetapi kejatuhan
JCorp  tentu ada faktor-faktor yang lain juga seperti salah pengurusan
pelaburan, rasuah dan penyelewengan. Hal-hal ini perlu disiasat. JCorp
telah dibangunkan hampir 30 tahun yang lalu sebagai sebuah syarikat
kerajaan negeri yang berjaya. Mengapa kejayaan selama 30 tahun itu
runtuh hanya dalam masa tiga tahun sahaja? Beberapa isu perlu
dibincangkan di sini.

Pertama, jumlah hutang pinjaman JCorp amat besar iaitu RM5 bilion.
Jumlah hutang ini dekat hampir sama dengan hutang syarikat Perwaja,
sebuah syarikat besiwaja milik Kerajaan Pusat yang  sedang disiasat BPR
kerana didakwa berlakunya penyelewengan dan rasuah.

Kedua, kepada siapa JCorp berhutang? Bank dalam negeri? Atau bank luar
negara? Kalau bukan bank adakah dana-dana awam dalam negeri atau
dana-dana kewangan luar negara? Ghani Othman perlu telus dalam soal ini.

Ketiga, mengapakah kerugian dan hutang pinjaman JCorp RM5 bilion ini
tidak dibincangkan di dalam Dewan Undangan Negeri yang sedang bersidang
sekarang? Kenapa hal ini sekadar diberitahu kepada pemberita di Parit
Kasan, Serom, Muar  selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan
Aidilfitri? [Berita Harian 20 Disember 2000] Tidakkah JCorp sebuah
syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan hal mengenainya layak dan tepat
dibincangkan di Dewan Undangan Negeri Johor?

Keempat, Belanjawan Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2001 tidak sampai
RM1 bilion tetapi hutang pinjaman anak syarikatnya, JCorp sampai RM5
bilion. Tidakkah ini sesuatu yang serius yang perlu diberi perhatian
berat oleh Kerajaan Negeri Johor, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, dan
rakyat Johor pada umumnya?

Kelima, tidakkah keruntuhan JCorp ini menjadikan pihak pengurusan
perbadanan itu perlu memikul tanggungjawab, khususnya di pihak Ketua
Eksekutif JCorp iaitu Tan Sri Muhammad Ali Hashim? Tidakkah wajar beliau
didesak oleh Kerajaan Negeri Johor supaya meletakkan jawatan untuk
membolehkan satu siasatan BPR diadakan segera?

Keenam, kerugian dan hutang besar JCorp ini turut menjejaskan  166,000
pelabur Amanah Saham Johor (ASJ) dan Dana Johor (DJ). Daripada jumlah
itu, 125,000 pelabur ASJ dan bakinya pelabur DJ. Dua amanah saham ini
diuruskan oleh  JCorp. Harga saham-saham itu kini berada di bawah paras
30 sen sejak awal tahun 2000 ini.

Ketujuh, Menteri Besar Johor tidak boleh memandang mudah hutang pinjaman
JCorp sebanyak RM5 bilion  dengan alasan bahawa JCorp masih lagi
mempunyai aset berjumlah RM9 bilion. Aset JCorp itu sebahagiannya datang
dari tanah-tanah yang kebanyakannya diperolehi percuma dari Kerajaan
Negeri Johor atau dibeli oleh JCorp dengan harga yang rendah tetapi
kemudian status tanah-tanah pertanian itu diubah kepada tanah-tanah
perindustrian. Dengan sendirinya nilai-nilai tanah itu naik mendadak.

Justeru itu, PRM mendesak Datuk Ghani Othman selaku Menteri Besar Johor
yang merangkap Pengerusi JCorp supaya bersikap bertanggungjawab dan
telus dalam soal kerugian  dan keruntuhan JCorp untuk segera
membincangkan isu hutang pinjaman JCorp sebanyak RM5 bilion itu di Dewan
Undangan Negeri Johor.

PRM juga mendesak supaya siasatan segera BPR dilakukan ke atas JCorp
untuk mencari punca-punca sebenar kerugiannya. Sekiranya berlaku pecah
amanah, salah pengurusan, penyelewengan dan rasuah mereka yang terbabit
perlu diambil tindakan.

Hassan Karim
Naib Presiden PRM
21 Disember 2000