Kenyataan Media (Dr Sanusi Osman)

Pemindahan Datuk Seri Anwar Suatu Penyeksaan Kejam

Rancangan kerajaan untuk memindahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapat rawatan perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur balik ke penjara Sungai Buluh beberapa hari lagi merupakan suatu penyeksaan kejam terhadap beliau. Walaupun Anwar berada dalam tahanan tetapi sebagai seorang pesakit,beliau mempunyai hak mutlak untuk membuat pemilihan tentang jenis dan kaedah rawatan yang terbaik untuknya.

Keadaan penyakit tulang belakang Anwar dilaporkan serius oleh doktor dan beliau dikatakan memerlukan suatu pembedahan di tulang belakangnya. Oleh kerana itu kenapa Anwar hendak dihantar balik ke Sungai Buluh sebelum dia dibedah terlebih dahulu? Anwar telah dimasukkan ke hospital sejak 25 November 2000 lalu tetapi keadaan penyakitnya masih tidak berubah. Oleh itu tindakan memindahkannya balik ke Sg. Buluh akan memburukkan lagi penyakitnya.

PRM kesal dengan sikap pemerintah yang enggan memberi kebenaran kepada pihak keluarga Anwar untuk membawa seorang pakar di bidang endoscopic microsurgery ( suatu teknik pembedahan terbaru ) dari Jerman untuk memeriksa Anwar dan melakukan pembedahannya. Sepatutnya permintan ini telah lama dibenarkan memandangkan pada waktu ini hospital kita di Malaysia tidak mempunyai kepakaran dalam kaedah tersebut.

Ada laporan yang mengatakan bahawa bilik yang akan dijadikan tempat rawatan Anwar di penjara Sg. Buluh itu sangat kecil dan tidak cukup kemudahannya. Jika demikian, PRM berpendapat pemindahan Anwar ke tempat tersebut suatu penganiayaan, tindakan tidak berperikemanusiaan dan bertentangan sama sekali dengan hak asasi manusi.

PRM mendesak sepaya pihak pemerintah membatalkan rancangan pemindahan ini dan menghormati hak Anwar sebagai seorang pesakit dan begitu juga hak keluarganya untuk mendapatkan rawatan terbaik untuk Anwar.

Dr. Sanusi Osman
Setiausaha Agung
7hb Februari 2001