PERHIMPUNAN 14 APRIL BERJAYA

Perhimpunan secara aman dan penyerahan Memorandum Rakyat kepada Suhakam pada pagi ini (14hb April 2001) telah berjaya dengan gemilang. Walaupun Perdana Menteri mengugut, pihak polis memberi amaran dan ada pula satu dua pemimpin BA yang dilaporkan media kononnya menentang demonstrasi jalanan atau tidak tahu-menahu tentang perhimpunan ini, namun lebih daripada lima ribu rakyat berkumpul di dataran di hadapan Menara Tuan Razak, di mana Pejabat Suhakam terletak di tingkat 22.

Sehingga kira-kira jam 10.00 pagi dikatakan sekitar tempat itu lengang. Lebih ramai anggota polis daripada reformis. Akan tetapi, apabila mendapat khabar bahawa rombongan beberapa orang pemimpin BA beserta anggota-anggota Parlimen, wakil-wakil NGO dan isteri-isteri orang tahanan telah bertolak dari rumah Dr Wan Azizah Ismail di Damansara, mereka mulai bergerak dari beberapa penjuru menuju ke hadapan Menara Tun Razak. Walaupun sudah ada berpuluh-puluh kenderaan polis terletak di tepi kebanyakan jalan yang berdekatan, dan pihak polis sendiri mengakui bahawa 1,000 orang anggota polis telah dikerah untuk bertugas, tidak ada percubaan untuk menyekat mereka menuju tempat itu. Dalam masa yang singkat saja tempat itu penuh sesak.

Rombongan dari rumah Wan Azizah sampai ke situ dengan konvoi lebih 10 buah kereta selepas jam 10.30 pagi. Mereka disambut dengan hangat sekali oleh himpunan rakyat mahukan reformasi, cintakan keadilan, demokrasi, perpaduan dan hak rakyat, yang sudah pun menunggu dengan tenang. Sebelum jam 11.00 para delegasi yang telah ditentukan untuk menemui Suhakam, terdiri daripada pemimpin-pemimpin BA, beberapa orang MP, aktivis NGO dan para isteri tahanan ISA, telah naik ke pejabat Suhakam. Di sana mereka dikerumuni oleh berpuluh-puluh jurugambar dan wartawan yang telah berada di sana. Tidak lama selepas itu, tiga orang wakil Suhakam, iaitu Tan Seri Harun Hashim, Tan Seri Anuar Zainal Abidin dan Profesor Hamdan Adnan masuk.

Selaku ketua perwakilan, Dr Wan Azizah mengucapkan terima kasih dan menyatakan penghargaan kepada Suhakam. Kemudian beliau menyerahkan Memorandum Rakyat, yang mengandungi 10 perkara yang berkaitan dengan hak asasi, kehakiman, perpaduan kaum dan lain-lain, dan juga memorandum Wanita keADILan mengenai rawatan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memorandum beberapa buah NGO, tentang berbagai-bagai masalah yang berkaitan dengan hak asasi dan kesejahteraan rakyat. Selain itu beliau juga telah menyerahkan setimbun kad-kad yang dialamatkan kepada Suhakam mengenai layanan dan rawatan ke atas saudara Anwar Ibrahim. Wan Azizah telah menerangkan secara ringkas kandungan Memorandum Rakyat itu.

Kemudian wakil-wakil daripada empat buah parti alternatif, antaranya Dr Syed Husin Ali serta Dr Sanusi Osman (PRM), Dr Chandra Muzafar (keADILan), YB Datuk Kamaruddin Jaafar serta Dr Syed Azman (PAS), Dr Tan Kok Wai (DAP) telah memberikan pandangan. Mereka menyentuh tentang perlunya ruang demokrasi diperluaskan; ISA serta akta-akta yang zalim patut dimansuhkan; semua tahanan ISA dibebaskan segera tanpa syarat; tuduhan-tuduhan palsu dan karut oleh KPN terhadap gerakan reformasi dan Reformis 7 yang ditahan hendaklah dibuktikan; perpaduan nasional harus ditegakkan; kebebasan media, berpersatuan serta berhimpun secara aman hendaklah dihormati; hak mengadakan ceramah tidak disekat; hak kerajaan negeri yang dipilih secara demokratik dihormati hak untuk mendapat peruntukan dari Pusat yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan mengikut jadual; kewibawaan undang-undang serta kehakiman perlu dipulihkan dan bermacam-macam lagi.

Mereka diikuti pula oleh wakil-wakil daripada NGO serta gabungan-gabungan NGO, Antara lain Wong Hoy Cheong, Charles Santiago, Cynthia Gabriel, wakil mahasiswa wakil belia, dan wakil para isteri tahanan ISA. Berbagai-bagai NGO serta gabungan NGO ini memperjuangkan soal hak asasi rakyat, pemansuhan ISA, hak untuk isteri/ keluarga serta doktor dibenarkan segera melawat tahanan ISA, perlindungan hak-hak wanita, perlindungan alam sekitar serta hak orang asal, kebebasan untuk berkarya dalam segala bidang seni, pembebasan mahasiswa daripada akta dan peraturan-peraturan yang menekan, mengutamakan makanan bukannya senjata dan banyak lagi. Selain daripada memberikan pandangan, ada juga antara mereka yang telah menyerahkan memorandum masing-masing.

Bagi pihak Suhakam, Tan Seri Harun Hashim mengucapkan terima kasih dan berjanji bahawa Suhakam akan meneliti isi kandungan semua memorandum yang telah diserahkan. Perwakilan turun untuk menemui rakyat yang telah berhimpun secara aman dan berdisiplin hampir dua jam. Selama tempoh itu mereka telah bernyanyi, berselawat dan mendengar ucapan-ucapan bersemangat daripada beberapa orang pemimpin pemuda, termasuk Faizal Sanusi (PRM), Salehudin Ayub (PAS) dan Ng Lum Yong (keADILan).

Pengerusi majlis telah memperkenalkan semua pemimpin yang menemui Suhakam, disambut dengan sorakan dan tepukan yang gemuruh. Ini diikuti oleh ucapan ringkas tetapi bersemangat oleh Dr Wan Azizah selaku ketua perwakilan. Beliau mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua reformis, penyokong BA, aktivis NGO dan rakyat biasa yang berani datang menghadiri himpunan aman ini, yang membuktikan bahawa rakyat adalah mampu dan memang selalu berhimpun dengan aman. Beliau menyeru supaya semua yang hadir bersurai secara teratur dan menjauhi apa saja percubaan oleh sesiapa untuk membuat provokasi. Selepas itu Tan Seri Anwar berucap pula. Beliau mengulangi janji Suhakam akan meneliti semua memorandum. Selain itu, beliau menyatakan harapan bahawa pihak polis tidak akan melakukan apa-apa gangguan apabila perhimpunan bersurai.

Rakyat yang berhimpun bersurai dengan teratur. Pihak polis pun tidak mengganggu. Ini membuktikan bahawa sekiranya pihak polis tidak melakukan provokasi serta keganasan, semua perhimpunan rakyat yang dimulakan dengan aman pasti akan berakhir dengan aman juga. Perhimpunan hari ini berjaya membuktikan kepada pucuk pimpinan pemerintah BN bahawa tuduhan-tuduhan mereka bahawa rakyat yang berhimpun berancang untuk membuat kacau dan melakukan keganasan adalah pembohongan paling besar. Ia juga berjaya kerana rancangan untuk menyampaikan Memorandum Rakyat itu telah dapat dilaksanakan dengan baik, sungguhpun pihak pemerintah cuba mematahkannya dengan menangkap para pemimpin serta aktivis dan memperalatkan media dan polis untuk menyebarkan fitnah dan menakut-nakutkan rakyat. Semuanya selesai hampir jam 12.30.

Dr Syed Husin Ali Presiden
PRM 14hb April 2001