Utusan Malaysia Dan Isu Basi Pusat Asasi

Utusan Malaysia tersepit dalam tindakannya cuba mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dengan memainkan isu kepentingan Melayu kali ini dengan isu penutupan Pusat Asasi Sains. Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Professor Datuk Dr. Anuar Zaini bertindak tepat memulangkan paku buah keras kepada Utusan Malaysia dengan menjelaskan bahawa arahan menutup Pusat Asasi ini sebenarnya datang dari Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO sendiri.

Penutupan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya bukanlah suatu perkara baru sebaliknya suatu keputusan yang dibuat kira-kira 3 tahun lepas oleh Kementerian Pendidikan di bawah Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. Di bawah arahan tersebut, kesemua universiti dikehendaki melepaskan unit pengajian matrikulasi mereka, salah satunya ialah Pusat Asasi kepada kolej-kolej francais.

Program ini pada awalnya banyak menimbulkan keresahan di kalangan para pelajar dan ibubapa di mana kelengkapan dan kemudahan yang disediakan adalah jauh dari memenuhi tahap asas yang diperlukan bagi memastikan kecemerlangan. Peralihan program di bawah tanggungan universiti kepada kolej swasta ini merupakan satu tindakan yang lebih merupakan perkiraan perniagaan daripada memikirkan kepentingan masa hadapan, khususnya penuntut dan negara.

Seperti francais-francais lain seperti McDonalds, Kentucky Fried Chicken dan sebagainya, perkiraan utama bagi kolej-kolej ini merupakan keuntungan mereka. Bagi memastikan keuntungan tesebut, kolej mengambil lepasan ijazah sarjana muda bagi mengajar mata pelajaran matrikulasi ini. Secara asasnya, pengajar bersarjana muda ini adalah cukup baik untuk mengajar penuntut matrikulasi. Malangnya, sebahagian kolej menawarkan gaji yang rendah dan mengabaikan tanggungjawab mendapatkan tenaga pengajar yang terbaik bagi penuntut mereka.

Pelajar matrikulasi yang dulunya belajar di bawah pensyarah berkelulusan PhD. serta membayar yuran yang ditetapkan oleh pihak universiti terpaksa membayar yuran yang berlipat ganda untuk belajar dalam keadaan serba kekurangan. Tekanan kewangan ini dirasai oleh banyak pihak di mana ibubapa yang kurang berkemampuan pada ketika itu memilih tidak menghantar masuk anak mereka bagi melanjutkan pelajaran atau bertindak bergolok gadai bagi memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pelajaran.

Hal ini saya saksikan sendiri dari pengalaman seorang rakan yang ketika itu ingin melanjutkan pelajaran peringkat sarjana memikirkan bagaimana beliau dapat membantu orang tuanya yang sudah tidak bekerja bagi menanggung adiknya yang baru memasuki kolej matrikulasi yang mengenakan bayaran RM 7,000 setahun. Pada masa yang sama perlu berusaha mendapatkan sumber membayar yuran pelajarannya sendiri yang telah dinaikkan tiga kali ganda dari tahun sebelumnya.

Selain itu saya juga pernah berjumpa seorang ayah, bekerja dengan Jabatan Perikanan menceritakan bagaimana anaknya kemungkinan besar tidak akan dapat menyambung pendidikan ke semester selanjutnya. Tiada berita dari permohonan pinjaman yang dibuatnya dan satu-satunya harta, sekeping tanah kepunyaanya telah pun dijualnya bagi memulakan pengajian anaknya itu.

Pada tahun pertama program tersebut dijalankan, akhbar-akhbar tempatan melapor tahap kegagalan yang tinggi di kalangan para pelajar di setengah-setengah kolej serta laporan para pelajar yang tidak dapat mencapai paras akademik yang diperlukan. Laporan buruk serta ketidakpuasan hati di kalangan rakyat ramai telah memaksa program tersebut dikatakan dihenti dan program matrikulasi ini diambilalih oleh Kementerian Pendidikan. Walaupun demikian peralihan ini bukanlah secara keseluruhan ada kolej yang diselia Kementerian Pendidikan, ada dijalankan oleh MARA dan masih ada kolej francais ini. Program matrikulasi ini masih dijalankan dengan harga yang tinggi oleh kolej swasta sungguh pun para pelajarnya kini dibenarkan berhutang terus dengan kerajaan dari awal peringkat pengajian dengan bunga sebanyak 4% setahun.

Sebenarnya ‘kebimbangan’ Utusan Malaysia seharusnya bukan terhadap kemungkinannya berlaku ketidakseimbangan dalam pengambilan pelajar Melayu hasil dari penutupan Pusat Asasi Sains kerana pelajar Melayu akan terus diambil melalui program matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Utusan Malaysia seharusnya lebih prihatin dengan hasil kualiti pendidikan di kolej ini mampu menghasilkan pelajar yang setanding dengan para penuntut Malaysia yang lain malah setanding juga pada peringkat dunia.

Utusan Malaysia juga boleh menunjukkan keperihatinan mereka terhadap peningkatan kos pendidikan yang kian meningkat yang menekan bukan sahaja pelajar Melayu malah keseluruhan pelajar mengakibatkan keluarga yang kurang berkemampuan terpaksa menanggung hutang yang besar.

Utusan Malaysia boleh mengambil langkah mula mencairkan kebekuan dan sikap tidak ambil pusing di kalangan para akademik dan pelajar dalam struktur ekonomi, sosial dan politik negara.

Malang sekali sebaliknya Utusan Malaysia memilih untuk mengorek cerita basi, UNIVERSITI MALAYA TUTUP PUSAT ASASI bagi mendapatkan kembali sokongan masyarakat Melayu tidak lagi bersama kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO yang sebenarnya telah membuat keputusan menutup Pusat Asasi.

Muhammad Ali Syed Hussein

Ketua Biro Pelajar,

Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia

Bekas Pelajar Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya