DARI SUQIU KE INTIFADAH

Oleh Dr Syed Husin Ali

Daripada jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada soalan mengenai Suqiu, yang telah dikemukakan oleh YB Kerk Kim Hock dalam Parlimen, kita dapat menyimpulkan tiga perkara.

Pertama, Dr Mahathir cuba hendak menggunakan isu ini untuk meraih kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO-BN. Dalam pilihanraya umum 1999, undi orang Melayu untuk UMNO-BN merosot. Akibatnya, UMNO-BN  kalah dalam 17 kawasan Parlimen di mana majoriti besar pengundi terdiri daripada orang Melayu.  Namun begitu  UMNO-BN berjaya memenangi pilihanraya itu dengan majoriti melebihi dua-pertiga kerana mendapat  sokongan yang diberi oleh pengundi Cina.

Akan tetapi, pilihanraya kecil di Sanggang, Teluk Kemang dan lebih-lebih lagi di Lunas, menunjukkan bahawa UMNO-BN semakin kehilangan sokongan daripada pengundi Cina. Dari segi strategi, Dr Mahathir menyedari bahawa masa depan dirinya serta UMNO-BN bergantung kepada sokongan orang Melayu. Nyata sekali sekarang beliau, dengan dibantu oleh media yang dikuasainya, sedang cuba menggunakan isu-isu Suqiu dan Sekolah Wawasan untuk menimbulkan kebimbangan serta kemarahan di kalangan orang Melayu. Secara perkauman, Dr Mahathir mengemukakan isu-isu ini sebagai mengancam kedudukan orang Melayu.

Saya harap rakyat  Melayu tidak akan dibohongi lagi sekali oleh Dr Mahathir, UMNO-BN dan media yang dikuasainya. Dalam usaha yang tidak ikhlas ini, Dr Mahathir bukan saja akan terus tidak mendapat sokongan rakyat Melayu, bahkan akan semakin kehilangan pula sokongan rakyat bukan Melayu, terutama sekali Cina. Inilah yang sangat-sangat ditakuti Dr Mahathir. Akan tetapi, inilah yang akan berlaku akibat tindak tanduk Dr Mahathir.

Kedua, Dr Mahathir telah berbohong kepada pengundi Cina. Beliau mengakui bahawa dalam pilihanraya umum lepas, kerajaan pimpinannya bersetuju menyokong rayuan yang dibuat oleh Suqiu. Mengikut ucapannya dalam Parlimen dua hari lalu, Dr Mahathir mengaku bahawa kerajaan terpaksa berbuat demikian untuk mendapat sokongan pengundi Cina. Jikalau tidak UMNO-BN akan kalah. Ini adalah satu tindakan pembohongan yang oporcunis, tidak berprinsip serta tidak bermaruah sama sekali. Pada tahun 1999 Dr Mahathir dan UMNO-BN berbohong kepada pengundi Cina. Adakah mulai sekarang sehingga pilihanraya akan datang, Dr Mahathir akan berbohong  kepada orang Melayu pula? Sebenarnya, selama ini rakyat memang sering dibohongi.

Ketiga, Dr Mahathir memang memandang hina kepada rakyat yang tidak bersetuju dengannya dan beliau tidak mahu berbincang dengan mereka. Ini jelas dengan sikapnya terhadap Suqiu. Perkataan Suqiu itu bererti “rayuan” dan bukannya “tuntutan”. Lebih 2,000 buah pertubuhan Cina telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan tentang 17 perkara. Lebih bijak sekiranya Dr Mahathir menerima saja rayuan yang boleh diterima. Rayuan yang dipertikaikan boleh dibincang secara sopan dan demokratik.

Sebaliknya, Dr Mahathir memilih untuk menuduh golongan Suqiu yang mengemukakan rayuan ini sebagai bertindak seperti Komunis dan juga Al-Ma’unah. Dengan berbuat demikian, bukan saja beliau menghina bahkan juga mengugut. Penghinaan dan ugutan itu telah dianggap sebagai penghinaan dan ugutan terhadap  kaum Cina seluruhnya.

Taktik berbohong dan mengugut ini digunakan juga oleh pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan UMNO-BN yang lain. Yang terbaru sekali kelihatan dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi di Parlimen juga semalam. Beliau menuduh bahawa “berdemonstrasi” ialah cara pihak pembangkang, dan  mengikut beliau sekarang ini ada pula percubaan “di kalangan pembangkang untuk mewujudkan   tindakan ala-Intifadah ……. bagi kepentingan politik mereka”.

Selaku Menteri Dalam Negeri, Abdullah Badawi perlu mengetahui bahawa apa yang berlaku berdekatan Penjara Kajang Jumaat minggu lalu bukannya demonstrasi liar akan tetapi perhimpunan aman. Lebih 5,000 orang rakyat telah berhimpun untuk memberi sokongan kepada Mahfuz Omar serta dua orang lain yang dibebaskan setelah ditahan sebulan. Pemimpin-pemimpin tertinggi BA, termasuk Datuk Fadzil Noor, Lim Kit Siang, Dr Syed Husin Ali dan Anuar Tahir serta  Ezam Md Noor turut hadir.

Cuma sedikit saja ketegangan berlaku apabila perundingan sedang berjalan di antara para pemimpin BA dengan pihak polis. Pihak polis mahu kami bersurai dengan cuba berbohong kononnya ketiga-ketiga orang yang ditahan itu  tidak ada di Penjara kerana telah dibebaskan lebih .. Lagi pula beberapa orang pemimpin  mengetahui dengan sahih bahawa ketiga-tiga tahanan itu masih berada di Penjara.

Akhirnya mereka muncul, dibawa dari Penjara Kajang. Seperti yang disetujui Ustaz Fadzil dn Mahfuz memberikan ucapan terima kasih yang ringkas. Akan tetapi, semasa Mahfuz berucap, seorang pegawai tinggi polis telah memerintah dengan suara tinggi serta sombong melalui pembesar suara supaya semua yang berhimpun bersurai. Tindakan pegawai polis itu tidak perlu dan tidak sesuai sama sekali. Sekiranya pegawai  itu tidak berbuat demikian pun, kami semua memang akan bersurai secara aman.

Hak berhimpun secara aman dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Berkali-kali perhimpunan yang diadakan oleh rakyat berjalan secara aman. Ia menjadi kacau-bilau hanya apabila ada provokasi dari “hantu” dan pihak polis bertindak ganas, dengan merotan, memukul, memancutkan gas pemedih mata serta air berkimia, dan menangkap. Tindakan kasar serta ganas pihak polis itulah yang menyebabkan sesetengah mereka yang berhimpun itu melawan. Namun begitu tidak pernah mereka membaling batu terhadap polis. Akan tetapi, sekiranya pihak polis bertindak kasar, ganas dan zalim, sudah pasti ia akan mengakibatkan tindak balas. Tidak hairan sekiranya tindak balas ini mungkin mengikut cara Intifadah. Sekiranya ini berlaku pihak polis mesti dipertanggungjawabkan.

13hb Disember 2000