BA PERLU MEMANDANG KE HADAPAN Pilihanraya Kecil Lunas telah berlangsung. PRM gembira dan  mengucapkan tahniah kepada Saifuddin, parti keADILan dan Barisan Alternatif kerana kejayaan yang dicapai. Boleh dikata kemenangan ini merupakan kemenangan bagi rakyat, terutama mereka yang hendakkan perubahan.

Saifuddin Nasution bin Ismail perlu menjadi wakil dan jurubicara bagi semua golongan kaum dan agama. Semasa kempen pilihanraya ini banyak tuduhan dibuat melalui media yang dimonopoli BN kononnya BA membelakangkan kaum India. Mereka lupa bahawa dalam pilihanraya umum tahun lalu, BA telah meletakkan lebih ramai calon India untuk Parlimen, iaitu 9 orang, berbanding dengan hanya 7 orang yang diletakkan oleh BN. Dengan kemenangan Saifuddin, BA telah berjaya mencapai dua matlamat penting untuk pilihanraya kecil ini. Pertama, menafikan majoriti dua-pertiga BN dalam Dewan Undangan Kedah. Kedua, menghantar mesej atau isyarat yang jelas kepada Dr Mahathir bahawa rakyat sudah bosan dengan beliau dan menolak dasar-dasar BN yang selalu memihak kepada kepentingan  segelintir orang yang rapat dengan beliau.

BA telah menghadapi sedikit masalah dalam  pemilihan calon untuk Lunas ini. Masalah tersebut telah dapat dieksploitasi oleh pemimpin-pemimpin BN melalui media massa, yang mereka kuasai, untuk keuntungan mereka. Sekarang ini, selepas kemenangan dicapai, semua parti dalam BA hendaklah segera membincangkan mekanisme yang memuaskan bagi menentukan calon untuk sebarang pilihanraya kecil dan juga pembahagian kerusi untuk pilihanraya umum kelak. Bahkan, sekiranya BA benar-benar serius hendak menggantikan BN dalam tempoh satu dua pilihanraya umum akan datang,  parti-parti dalam BA perlulah memperlihatkan  imej perpaduan yang lebih mantap.

BA sudah mempunyai Manifesto Bersama bertajuk “Ke Arah Malaysia Yang Adil”. Sebuah Sekretariat Bersama dan 20 buah Biro sudah terbentuk dan berfungsi. Kerjasama parti-parti di peringkat Negeri sudah dimulakan. Sekarang ini perlu BA segera berbincang dan membuat keputusan tentang soal-soal seperti nama dan lambang yang sama. BA perlu memandang dan bergerak ke hadapan.

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

30hb November 2000