Gerakan Reformasi dan BA Dalam Bahaya
Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM

Pertemuan UMNO, Pas dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bagi
membincangkan apa yang dipanggil isu perpaduan Melayu boleh menimbulkan
kesan buruk terhadap gerakan reformasi dan juga perpaduan parti-parti
pembangkang di dalam Barisan Alternatif(BA). Mahathir dan Umno memang
sengaja mahu membawa Pas dan Keadilan ke dalam “orbit Melayu” yang
diada-adakannya untuk memisahkan kedua-dua parti itu dari lain-lain
kekuatan pembangkang yang menentang BN.

Sekarang DAP dan PRM sudah berasa diketepikan. Gerakan reformasi yang
banyak membantu memperkuatkan Pas dan Keadilan juga telah diketepikan.
Adakah Pas dan Keadilan berbincang dengan DAP, PRM dan pemimpin-pemimpin
utama gerakan reformasi apabila mahu menerima jemputan Mahathir dan Umno
untuk berbincang?

Mahathir dan Umno telah berjaya menanamkan baji pemisah antara Pas dan
Keadilan di satu pihak dengan lain-lain kekuatan politik menentang BN di
pihak yang lain. Adakah isu utama di dalam Manifesto Bersama BA ketika
menentang BN dalam pilihanraya dulu berkenaan soal perpaduan Melayu?
Tidakkah isu utamanya ialah soal perpaduan nasional, demokrasi,
keadilan, menentang rasuah, nepotisme, kronisme dan penumpuan kekayaan
serta kuasa? Apakah Manifesto Bersama BA sudahpun dilupakan oleh
parti-parti tertentu dalam BA?

Apabila pertemuan Umno, Pas dan Keadilan berlangsung, sudah barang tentu
Umno akan meminta segala gerakan atau kebangkitan rakyat yang menentang
Mahathir, Umno dan BN supaya dibendung. Maksudnya “gencatan senjata”
berlaku. Perdebatan antara Ketua Pemuda Umno dan Pas dibatalkan. Tidak
boleh ada tunjuk perasaan. Perhimpunan-perhimpunan rakyat perlu
dibatalkan juga. Ceramah-ceramah umum yang lantang mengkritik BN perlu
dikurangkan atau dihentikan. Kehendak Mahathir dan Umno ialah gerakan
reformasi itu dipadamkan.

Mahathir dan Umno mahu hal-hal politik ini diurusi secara tradisi oleh
orang-orang politik di pucuk pimpinan sahaja. Sedangkan gerakan
reformasi didukung oleh anak-anak muda. Apakah orang-orang muda di dalam
Pas dan Keadilan  dirundingi dan diminta pandangan apabila kedua-dua
parti itu bersetuju menerima undangan Mahathir dan Umno?

Tidakkah pertemuan Pas dan Keadilan dengan Mahathir dan Umno merupakan
satu pengkhianatan kepada rakan-rakan parti komponen lain dalam BA dan
juga para pendukung gerakan reformasi?

Tidakkah pertemuan Pas dan Keadilan dengan Mahathir dan Umno merupakan
satu pengkhianatan kepada tuntutan keadilan, ketelusan, demokrasi, dan
kebebasan yang didukung oleh berjuta rakyat yang menyokong BA dalam
pilihanraya umum lalu?

Tidakkah pertemuan Pas dan Keadilan dengan Mahathir dan Umno merupakan
satu pengkhianatan terhadap Anwar Ibrahim yang telah dizalimi oleh
Mahathir, Umno dan kerajaan BN?

Sekarang Pas dan Keadilan sedang dibawa oleh Umno ke gelanggang dan
pentas yang Umno sendiri aturkan formatnya. Teman-teman dan rakan-rakan
Pas dan Keadilan selama ini di dalam BA dan gerakan reformasi  berasa
diketepikan. Dianggap tidak penting.

Diharapkan masih tidak terlewat bagi para pemimpin Pas dan Keadilan
menyedari bahawa Mahathir dan Umno sengaja mahu memecahkan kekuatan dan
perpaduan BA  serta gerakan reformasi. Mahathir dan Umno sebenarnya mahu
menggagalkan usaha pembangkang untuk menumbangkan BN dalam pilihanaraya
akan datang.


Parti Rakyat Malaysia

8hb  Januari 2001

- Ke Arah Masyarakat Adil