Kenyataan Akhbar - 3 Januari 2001

Kementerian Pendidikan Mesti Bertindak Atas Kepentingan Rakyat

Barisan Alternatif Negeri Selangor (BA Selangor) rasa sungguh risau dengan
peristiwa-peristiwa tempoh hari yang melibatkan Kementerian Pendidikan,
khususnya mengenai dua buah sekolah di Negeri Selangor. Seterusnya, kami
juga sungguh runsing dengan cara Jabatan Pendidikan Selangor menangani
perkara tersebut.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Selangor

Pertama sekali, keputusan tergesa-gesa untuk memindah SRJK(C) Damansara ke
tempat yang yang lain menimbulkan banyak persoalan yang masih belum dijawab
oleh pihak-pihak berkenaan. Kerisauan ditimbulkan apabila - tanpa sebarang
kajian dan konsultasi yang teliti - pihak berkuasa sekolah dan kerajaan
telah mengambil keputusan untuk memindah seluruh sekolah tersebut ke lokasi
lain. Tambahan lagi, keputusan tersebut dibuat atas alasan-alasan yang lemah
dan tidak menyakinkan, serta tanpa ketelusan dan akauntabiliti kepada
ibubapa murid-murid dan penaja sekolah.

Dan walaupun hanya tempoh kurang daripada 6 bulan telah lalu sejak keputusan
dibuat untuk memindahkan sekolah tersebut, perlaksanaan pemindahan tersebut
telah bermula. Sebenarnya, peristiwa ini memeranjatkan kami kerana masih ada
ibubapa yang tidak dimaklum langsung tentang keputusan tersebut. Oleh itu,
sekumpulan penduduk tempatan terperanjat apabila mendapati bahawa pihak
sekolah, dengan bantuan pihak polis, telah bermula memindah perabot dan
alat-alat pejabat dari sekolah tersebut pada hari Ahad, 31hb Disember 2000.

Di dalam perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Selangor pada hari Selasa,
2hb Januari 2001, penaja sekolah serta penduduk tempatan telah dimaklumkan
bahawa keputusan untuk memindahkan sekolah tersebut dibuat oleh Jabatan
selepas "konsultasi" dengan Kementerian Pendidikan, Lembaga Pengurusan dan
Persatuan Ibubapa-Guru sekolah tersebut. Tetapi, sebenarnya, badan-badan
sekolah tersebut tidak berbincang secara terbuka dengan ibubapa, penaja dan
penduduk Kampung Baru Damansara.

BA Selangor juga terperanjat apabila mendapati bahawa Jabatan Pendidikan
Selangor telah menghantar pegawai-pegawai ke SRJK(C) Damansara pada hari
Rabu, 3hb Januari 2001, untuk "mendaftar" murid-murid walaupun tindakan ini
tidak dimaklumkan dalam perbincangan tempoh hari. Selepas penyiasatan, kami
mendapati bahawa Jabatan Pendidikan Selangor sebenarnya tidak berkomitmen
untuk mengekalkan sekolah di lokasi asal. Justeru, tanpa sebarang penjelasan
daripada pegawai-pegawai tersebut, borang "pendaftaran" yang disediakan
untuk pengisian dan tandatangan ibubapa didapati sebenarnya merupai "borang
pendaftaran permohonan untuk belajar di sekolah asal SJK(C) Damansara
sehingga bangunan sekolah baru di Tropicana siap dibina." Oleh itu, ramai
ibubapa sangat marah apabila menyedari percubaan secara terpendam untuk
memindahkan sekolah, tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

Sedemikian, nampaknya Kementerian Pendidikan, dengan bantuan Jabatan
Pendidikan Selangor, dan kerjasama badan-badan sekolah, telah bertindak
bersama untuk menafikan peluang dan hak ibubapa dan penaja bagi memutuskan
masa depan SRJK(C) Damansara.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Seafield

BA Selangor juga sangat runsing kerana mendapati bahawa sebuah sekolah
rendah di UEP Subang Jaya tidak diberi kawasan sekolah yang tetap serta
memuaskan selama 13 tahun. Keadaan di mana sesebuah sekolah terpaksa
menjalankan pendidikan tanpa keyakinan untuk tempoh selama ini tidak boleh
dibiarkan atau diterima.

Tambahan lagi, dalam masa itu SRJK(T) Ladang Seafield terpaksa mengguna
bangunan dan kawasan sementara selama 10 tahun sebelum mereka dipindah ke
bangunan yang diberi oleh Jabatan Pendidikan Selangor. Selepas itu, sekolah
tersebut terpaksa memindah sekali lagi apabila bangunan sementara (yang
diberi oleh Jabatan tersebut) menjadi terlalu bahaya untuk dipakai. Kini,
selepas setahun, sekolah tersebut diminta pindah kembali ke bangunan
sementara tersebut yang diperbaiki secara permukaan sahaja.

Menurut laporan suratkhabar (The Malay Mail, 2 Januari 2001), Kerajaan
Negeri Selangor telah memutuskan dalam tahun 1987 supaya sebidang tanah
diberi oleh Sime UEP, pemaju kawasan itu, untuk membina sebuah sekolah.
Tetapi, selepas kelambatan 13 tahun dan banyak kesusahan untuk sekolah
tersebut dan murid-muridnya, Jabatan Pendidikan Selangor serta pemaju
tersebut masih belum mengambil tindakan yang positif untuk selesaikan isu
ini.

Kepentingan utama, iaitu pendidikan murid-murid yang menghadiri sekolah
tersebut, nampaknya telah diketepikan tanpa perhatian sewajarnya daripada
Kementerian Pendidikan atau Jabatan Pendidikan Selangor.

Gunalah Pendekatan Prihatin, Etika dan Adil

Fakta-fakta tersebut mencerminkan suatu sikap atau budaya tidak ambil peduli
dan tidak prihatin yang wujud secara meluas di dalam badan-badan kerajaan
yang berkenaan. Umpamanya, kami sungguh kecewa untuk mendengar
pegawai-pegawai kerajaan - yang sepatutnya sedia bertindak atas kepentingan
rakyat - berkata masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan,
ibubapa murid-murid dan/atau penaja sekolah harus diselesaikan oleh mereka
sendiri.

Justeru, kes pemindahan sekolah secara tergesa-gesa serta sekolah yang
dinafikan tanah yang telah dijanji menimbulkan persoalan serius tentang
kepentingan ekonomi dan politik yang masih belum dijelaskan. Walaupun
fakta-faktanya berlainan untuk kedua-dua sekolah tersebut, ada kemungkinan
besar bahawa kepentingan pihak-pihak tertentu sedang mempengaruhi keputusan
untuk memindah sekolah-sekolah tersebut.

Maka, BA Selangor harap Kementerian Pendidikan dan/atau Jabatan Pendidikan
Selangor dapat memberi alasan yang jelas dan munasabah untuk pemindahan
SRJK(C) Damansara dan juga ketiadaan tanah tetap untuk SRJK(T) Ladang
Seafield.

Tambahan lagi, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Selangor
nampaknya tidak prihatin dengan kesusahan ibubapa murid-murid sekolah
tersebut yang berpendapatan rendah. Ramai ibubapa tersebut sebenarnya duduk
berdekatan sekolah-sekolah berkenaan, dan oleh itu tidak perlu membayar
tambang bas sekolah untuk anak-anak mereka. Tetapi, bila sekolah-sekolah
dipindah, ibubapa tersebut yang berpendapatan rendah akan terpaksa memikul
beban yang jauh lebih berat daripada ibubapa lain yang sanggup membayar
sebanyak RM100 sebulan untuk setiap anak mereka. Kami menyeru Kementerian
Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Selangor supaya mengambil segala tindakan
yang sewajarnya untuk menyelesaikan perkara-perkara tersebut. Kami juga
harap Kementerian bersama Jabatan akan bertindak secara telus dan
bertanggungjawab. Kami ingin mengingatkan semua pihak yang berkenaan bahawa
prinsip-prinsip asas demokrasi mesti ditegakkan dalam semua situasi,
khususnya apabila kita menangani isu yang melibatkan hak asasi rakyat.

Semua pihak mesti diberi peluang untuk menyuarakan harapan dan kerisauan
mereka, dan pihak berkuasa juga mesti bertindak secara adil dan bebas supaya
memastikan keadilan untuk semua. Dan selain daripada mengikut undang-undang
dan kaedah-kaedah berkenaan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan
Selangor dan badan-badan sekolah mesti bertindak secara beretika dan adil
untuk menyelesaikan sebarang perselisihan yang ada.

Memandangkan usaha kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat penyayang dan
maidani, sikap angkuh, birokratik dan sambil lewa mesti disingkirkan,
khususnya oleh agensi dan pegawai kerajaan yang diamanahkan dengan
tanggungjawab untuk memastikan pendidikan yang baik untuk anak-anak kita.
Kita mesti ingat sepanjang masa bahawa kepentingan anak-anak kita mesti
diutamakan, dan mereka tidak patut dipermainkan oleh mana-mana ahli politik
untuk keuntungannya sendiri.

Jonson Chong
Ketua Penerangan
Barisan Alternatif Negeri Selangor
merangkap
Pemangku Ketua Pemuda
Parti Rakyat Malaysia (PRM)

Ke Arah Masyarakat Adil