PARTI REFORMASI INSAN MALAYSIA (PRIM)

Ibu Pejabat PRIM Suite 8-10-5

Menara Mutiara Bangsar Jalan Liku

Off Jalan Riong Bangsar 59100

Kuala Lumpur Tel: 03-22825622/013-3504711 Faks: 03-22825616 ____________________________________________________________________________

 TAN SRI NORIAN MAI

KETUA POLIS NEGARA

IBU PEJABAT POLIS BUKIT AMAN

50560 KUALA LUMPUR

7.11.2000

Tan Sri,

PER: NOTA BANTAHAN MENGENAI KEKEJAMAN DAN PERLAKUAN JENAYAH SECARA MALA- FIDE (NIAT TIDAK BAIK) POLIS

1. TINDAKAN GANAS POLIS

2. 20% DARIPADA ORANG YANG DITANGKAP DIDERA DAN DICEDERAKAN OLEH PIHAK POLIS ____________________________________________________________________________ _________

Kami merujuk kepada perkara yang tersebut di atas dan kepada perhimpunan aman menurut Artikel 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan di Jalan Kebun Bunga Klang pada 5.11.2000 ia-itu suatu perhimpunan aman dengan tidak membawa senjata.

Daripada pemantauan kami dan daripada kenyataan yang kami telah terima daripada Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur, kami ingin merakamkan bantahan dan rasa tidak puashati terhadap tindakan ganas, kekejaman dan perlakuan jenayah secara mala-fide (niat tidak baik) pihak polis terhadap orang-orang yang berhimpun secara aman tersebut seperti berikut:-

1. Daripada 125 orang yang ditangkap, 20% atau 25 mendapat kecederaan yang serius

2. Antara kecederaan tersebut adalah:-

a) OKT berdarah melalui hidung dan telinga

b) terdapat kesan cota terhadap badan OKT

c) tulang belakang (Vertebrae) patah

d) kecederaan di kepala OKT

e) baju OKT basah dengan darah akibat dipukul oleh polis

f) seorang OKT wanita bernama Nor Azimah juga ditelanjangkan sepenuhnya dan dipaksa melakukan ketuk ketampi

Kami juga difahamkan yang kesemua kenyataan yang tersebut di atas direkodkan di hadapan Tuan Majistret yang memberikan reman terhadap OKT-OKT tersebut.

Menurut kenyataan seorang OKT iaitu YB Abdul Aziz Abbas (Ahli Dewan Undangan Negeri Besut) beliau telah dimasukkan ke dalam sebuah trak polis bersama-sama 41 orang OKT yang lain dan tatpolin (penutup trak) ditutup dan dibiarkan di bawah matahari yang panas terik.

Kemudian polis telah membuka tatpolin dari belakang trak dan menyembur sejenis kimia (eye-irritant) dan menutup balik trak polis tersebut.

Kami juga difahamkan yang seorang OKT berada dalam wad kecemasan akibat di pukul polis dan seorang lagi mungkin buta matanya akibat disembur kimia oleh polis.

Seorang lagi pelajar telah juga ditahan walaupun beliau akan menduduki peperiksaan SPM pada 13hb November 2000 ini.

Ada juga OKT yang diludahi dan berbagai-bagai lagi penyiksaan lain yang terpaksa diterima mereka.

Banyak kereta yang terperangkap juga dipecahkan cermin dan lampunya.

Kecederaan yang dilakukan oleh polis ini amat merbahaya kepada nyawa dan juga amat membimbangkan.

Kami juga ingin membawa kepada perhatian Yang Bebahagia Tan Sri bahawa dari segi undang-undang seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh Mahkamah (an accused is presummed innocent until proven guilt).

Oleh yang demikian pihak polis tidak ada kuasa dan tidak berhak memukul seseorang OKT. Malah ini adalah suatu perbuatan jenayah oleh pihak polis sendiri yang bertindak macam "Gangster Berlesen".

Amat membimbangkan adalah anggota-anggota polis yang tidak beruniform bermaharaja-lela dan mengambil undang-undang ke dalam tangan mereka dan identiti mereka tidak dapat dikesan dan selanjutnya mereka juga merampas kamera dan filem daripada orangramai.

Akhir sekali, pihak polis harus bertindak secara lebih profesional dan berkecuali dari segi politik dan tida menyebelahi mana-mana parti politik.

Tindakan polis yang sedemikian memberi gambaran yang polis berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional dan menganiayai penyokong-penyokong Barisan Alternatif.

Kecederaan yang dialami oleh OKT pada kali ini adalah yang paling teruk dalam sejarah 43 tahun negara kita merdeka dan tidak langsung mencerminkan sebuah masyarakat madani.

Kami dengan ini memohon supaya pihak Yang Berbahagia Tan Sri menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Akhir sekali kami juga memohon supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Sekian, Terima Kasih.

Yang Benar,

P.UTHAYAKUMAR

PENASIHAT UNDANG-UNDANG

Jawatankuasa Pemantau Polis dan Hak Asasi Manusia

PARTI REFORMASI INSAN MALAYSIA (PRIM)

SETIAUSAHA AGUNG (PRO-TEM) PRIM

s.k.SUHAKAM Wisma Putra Kuala Lumpur

NOTA: Kami memohon supaya pihak tuan dengan segera melawat OKT dalam tahanan polis dan memantau,merekodkan kecederaan dan aduan on a first hand basis dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Please treat this matter as Urgent as this is a very disturbing precedent set by the Police.