UCAPAN DASAR

PRESIDEN PRM, DR SYED HUSIN ALI

KONGRES KE-33 PARTI RAKYAT MALAYSIA

 

Saudara pengerusi majlis

Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

 

Awal kalimah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah (SWT) kerana melimpahkan rahmatNya kepada kita untuk bertemu sekali lagi dalam Kongres Parti Rakyat Malaysia. Bagi pihak Jawatankuasa Pusat, saya mengucapkan Selamat Datang kepada kawan-kawan dari parti-parti sahabat (keADILan, PAS dan DAP) serta NGO, dan para perwakilan serta pemerhati dari bahagian-bahagian PRM yang hadir pagi ini.

 

Kongres ke-33 yang berlangsung sekarang adalah sangat penting. PRM sudah wujud lebih daripada 45 tahun. Dalam tempoh yang penuh bersejarah, ia telah mengalami zaman pasang surut dan menempuh jalan yang panjang serta berliku-liku. Ketika ini PRM berada di persimpangan sejarah yang mencabar. Dalam kongres ini para perwakilan mungkin akan membuat keputusan penting bagi menentukan arah tujuan parti ini pada masa akan datang,  hilang atau terbilang.

 

Parti Bertambah Kuat

 

Saya sangat gembira melaporkan bahawa sejak kita berkongres tahun lalu, PRM telah memperlihatkan perkembangan agak memuaskan.  Anggota-anggota baru terus-menerus  bertambah. Yang menggembirakan ialah kebanyakan mereka terdiri  daripada kalangan muda. Sebahagian besar adalah dari golongan profesional, pekerja dan juga peniaga kecil.  Dalam setahun yang lalu kita telah menerima sebagai anggota lebih ramai peguam, misalannya, daripada jumlah dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Anggota-anggota baru ini datang dari pelbagai  kaum - Melayu, Cina dan India.

 

Beberapa bahagian yang baru telah ditubuhkan. Sesetengah bahagian yang sedia ada  dapat diperkuatkan. Seterusnya, beberapa bahagian yang sudah lama tidak bergerak (dan disangka mati) telah berjaya dihidupkan kembali dan ada di antaranya yang sudah  mulai bergerak lebih cepat serta cergas daripada sesetengah bahagian yang sedia ada. Satu perkembangan yang menarik ialah lebih ramai kawan-kawan Tionghua sudah mulai mahu bergerak cergas. Mereka telah membentuk  bahagian-bahagian  di kawasan majoriti Tionghua. Rancangan sedang dibuat untuk menubuh banyak lagi bahagian baru di merata negeri.

 

Namun demikian, masih terdapat kekurangan yang perlu dibaiki. Gading mana yang tidak retak. Anggota yang aktif dan bersedia tampil untuk memberikan khidmat apabila saja diperlukan tidak begitu ramai. Sebilangan mereka masih belum memperlihatkan kesedaran politik, semangat juang, disiplin serta keberanian setinggi yang kita harapkan. Kutipan yuran tahunan anggota masih tidak lancar dan perlu diperkemas. Ada bahagian yang masih lemah dari segi pimpinan serta  organisasi, dan kurang menjalankan aktiviti-aktiviti parti.

 

Saya sengaja menyebut tentang segala kelemahan ini untuk mendorong usaha mengatasinya. Dari segi dalaman parti, bilangan serta mutu anggota perlu dinaikkan dan susunan organisasi dibaiki. Kita perlu melancarkan kempen untuk memperbanyakkan lagi wanita, pemuda dan pekerja sebagai anggota dan pemimpin parti. Kita perlu lebih sering mengadakan majlis perbincangan, kursus  dan latihan politik serta organisasi, dan  lebih  banyak menyusun kegiatan luar yang melibatkan mereka. Jenis-jenis kegiatan luar ini banyak, seperti menyebarkan maklumat melalui ceramah serta risalah tentang parti dan hal-ehwal semasa yang melibatkan kepentingan rakyat.

 

Seterusnya, kita perlu mempertingkatkan kerja massa, dengan mendekati rakyat, memahami masalah mereka, menyuarakan rintihan mereka dan memperjuangkan hak serta kepentingan mereka. Kita perlu bergerak di kilang, ladang, kampung dan universiti.  Untuk menjalankan segala aktiviti, kita memerlukan sumber wang yang tetap lagi banyak. Kita tidak boleh bergantung hanya pada derma daripada kawan-kawan. Kita mesti melicinkan dan mengefisienkan proses pengutipan dan pembayaran yuran tahunan. Kita mesti menjalankan rancangan tersusun untuk mendapat sumber kewangan yang lebih.

 

Jelas sekali bahawa PRM perlu melaksanakan Reformasi sendiri dari segi keanggotaan, organisasi, aktiviti dan politik parti. Sehubungan ini sebuah jawatankuasa khas yang telah dilantik JKP akan mengemukakan  laporannya untuk perbincangan nanti. Saya harap  segala keputusan akan dilaksanakan dengan baik.

 

BA Semakin Mantap

 

PRM yang lebih kuat tentu sekali boleh menyumbang kepada kekuatan BA juga. Banyak orang, terutama pemimpin-pemimpin BN,  tidak percaya BA  boleh wujud berterusan. Bahkan  mereka mengharapkan BA akan musnah sebelum pilihanraya lalu. Sebaliknya pada ketika itu kita telah dapat meletakkan asas kerjasama yang mantap. Kita berjaya mengadakan sebuah manifesto bersama dan membentang belanjawan alternatif. Kita sepakat meletakkan calon satu lawan satu dalam pilihanraya lalu. Bahkan kita sebulat suara menamakan Saudara Anwar Ibrahim sebagai pemimpin  seandainya BA menang.

 

Selepas pilihanraya, sekali lagi para pemimpin BN dan media yang mereka kuasai meramalkan BA akan hancur. Adakah ini telah berlaku? Kita telah membuktikan parti-parti alternatif masih bersama dalam BA. Majlis Pimpinan BA sering bertemu, selalunya sebulan sekali, untuk membincangkan bermacam-macam perkara berkaitan kepentingan bersama. Sebuah Sekretariat, yang dibentuk sebelum pilihanraya kini semakin cergas bermesyuarat, merancang dan menjalankan keputusan-keputusan yang diambil oleh Majlis dan mereka sendiri.  

 

Dua puluh buah biro telah ditubuhkan, mengandungi pemimpin parti, wakil rakyat, aktivis NGO, profesional dan akademik, untuk memantau kerja-kerja pemerintah BN dan merumus serta mengemukakan pendapat serta dasar BA dalam berbagai-bagai bidang.  Kita mencapai kata sepakat mengenai calon dan bertungkus lumus bersama-sama dalam dua pilihanraya kecil yang telah diadakan. Saya perhatikan ada komitmen yang kuat di kalangan semua pemimpin untuk memastikan agar BA  berjaya.

Sungguhpun begitu, ada juga kecacatan yang harus diperbaiki. Walaupun kita sama-sama berusaha, namun   konsep perkongsian setaraf (equal partnership)  belum lagi diamalkan dengan  sepenuh-penuhnya. Ada kalanya timbul  sikap mementingkan parti sendiri lebih daripada BA secara keseluruhan. Ini ialah kerana BA masih baru lagi. Sungguhpun kerjasama di peringkat atas agak baik, akan tetapi ia masih belum meluas sehingga ke peringkat negeri dan bahagian. Mengenai manifesto bersama, kelihatan ia hilang begitu saja selepas majlis pelancarannya.

 

Kita boleh memperbaiki serta mempermudah manifesto itu dan mempopularkannya  di kalangan anggota BA dan juga pengundi. Bahkan berdasarkan manifesto ini dan maklumat-maklumat baru yang diperolehi melalui kajian atau pemantauan, setiap biro perlu dan boleh menyiapkan kertas-kertas dasar dalam berbagai-bagai bidang. Biro-biro, yang baru saja ditubuh, boleh dikatakan masih belum cergas lagi. Kita perlu membincang secara teliti dan serius semua masalah untuk mengatasinya.

 

Lebih banyak perbincangan serta perancangan perlu diadakan bagi menentukan strategi BA untuk pilihanraya ke-11 akan datang. Banyak pelajaran serta pengajaran yang  belum lagi dirumuskan daripada pengalaman masing-masing dalam piliharaya yang lalu.  Banyak lagi yang perlu difikirkan dan dilakukan tentang bagaimanakah hendak memperolehi keyakinan  rakyat terhadap BA. Sebahagian besar pengundi  masih belum begitu yakin lagi kepada kita sebagai alternatif yang benar-benar mampu mengganti pemerintahan BN.

 

Sehubungan ini kita perlulah meyakinkan rakyat dengan bermacam-macam cara. Kita perlu memantapkan  perpaduan organisasi serta pimpinan kolektif BA. Prinsip pimpinan kolektif bersama perkongsian setaraf perlu dilaksanakan Saya sering diberitahu bahawa keyakinan rakyat terhadap BA dapat diperkuatkan sekiranya kita sedia melangkah dengan berani mengemukakan satu nama dan satu lambang yang sama. Kita tidak boleh mengabaikan perkara ini, kerana masa begitu cepat sekali berjalan menuju pilihanraya hadapan.

 

Percantuman PRM-keADILan

 

Untuk memulakan proses pengukuhan parti-parti dalam BA, PRM dan keADILan sekarang ini sedang berusaha menjalinkan hubungan lebih rapat bagi menuju kepada percantuman. Usaha untuk mengadakan hubungan lebih rapat dan istimewa di antara kedua-dua parti ini sebenarnya telah bermula sejak  keADILan ditubuhkan setahun lalu. Usaha ini mendapat sokongan serta dorongan yang kuat daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang meringkuk dalam penjara Sungai Buluh, dan gerakan reformasi.

 

Selepas pilihanraya umum baru-baru ini, usaha ini telah dipertingkatkan. Sebuah jawatankuasa bersama (liaison committee) telah dibentuk, dianggotai oleh tiga orang wakil dari tiap-tiap parti. Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat beberapa kali untuk mengkaji serta memutuskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerjasama menuju kepada percantuman itu.    Setakat ini ada perkara yang telah diputuskan dan ada yang masih belum selesai lagi.

Ada orang bertanya, jika hendak bercantum mengapa perlu berusaha memperkuatkan PRM? Ini ialah kerana kita berpendapat PRM yang kuat boleh menambah kuatkan percantuman di antara  PRM dengan keADILan, sekiranya ia berlaku. Ada pula yang lain bertanya. Mengapa perlu ada percantuman kedua-dua parti ini, pada hal BA sudah ada? Mengapa tidak bertumpu kepada menguatkan BA saja? Jawabnya mudah saja. Seperti yang disebutkan tadi, perpaduan yang kukuh masih belum lagi tercapai di kalangan semua parti dalam BA. Itu sebabnya soal nama, lambang, corak organisasi belum lagi dapat diselesaikan.

 

Oleh itu sesuai sekali sekiranya PRM dan keADILan memulakan proses pengukuhan perpaduan ini. Mereka mempunyai banyak persamaan. Kedua-duanya, dari segi keanggotaan, bersifat pelbagai etnik dan agama. Kedua-duanya mempunyai asas perjuangan yang sama. Dari mula ditubuh, keADILan melunaskan perjuangannya kepada konsep Keadilan. PRM pula memang sudah lama mempunyai asas dan cita-cita untuk memperjuangkan Masyarakat Adil di negeri ini.

 

Banyak pihak mengakui bahawa kedua-dua parti mempunyai kekuatan tersendiri. PRM dianggap mempunyai lebih ramai pemimpin yang sudah lama teruji dalam perjuangan tetapi belum mendapat sokongan massa yang luas. Memang diakui keADILan tidak   kekurangan pemimpin yang berkelayakan serta berpengalaman juga. Tetapi,  kekuatannya yang utama ialah ia dapat menarik sokongan yang meluas dari rakyat ramai, khususnya golongan muda. Mungkin kekuatan kedua-dua parti ini boleh lengkap-melengkapi dan dimanfaatkan bersama dengan  percantuman yang dirancangkan di antara mereka.

 

Seterusnya sebahagian anggota kedua-dua parti dan juga penyokong-penyokong mereka berpendapat bahawa percantuman ini boleh menimbulkan satu tenaga politik pelbagai kaum dan agama. Ia akan dapat mengimbangi serta menambah lagi kekuatan  dalam BA sekarang. Lebih-lebih lagi gabungan ini  mempunyai  potensi yang kuat untuk  membantu membawa kejayaan lebih gemilang bagi BA dalam pilihanraya akan datang. Ia boleh memainkan peranan lebih besar dalam kawasan-kawasan campuran (mixed constituencies) yang  terdiri daripada pengundi pelbagai kaum. Kemenangan di kawasan-kawasan campuran ini  penting untuk memastikan prestasi lebih baik, bahkan kemenangan, bagi BA dalam pilihanraya akan datang.

 

Tetapi bukan kemenangan dalam pilihanraya saja yang menjadi perhitungan bagi menggalakkan percantuman ini. Bahkan yang lebih penting lagi ialah ia boleh mempelopori dan menawarkan  aliran politik  progresif serta tidak perkauman, yang tegas berjuang untuk menegakkan pemerintahan baru yang adil, demokratik, berdaulat, bersatu padu, bermoral dan prihatin kepada keperluan serta kebajikan rakyat jelata.

 

Kita mengakui bahawa memang ada sebilangan kecil anggota bahkan pemimpin dari dua-dua parti yang merasa bimbang dan ragu terhadap rancangan percantuman ini. Tetapi, sebenarnya mereka tidak menentang tujuan baik untuk mengadakan percantuman itu. Yang menentangnya dan mahu parti-parti alternatif terus berpecah-belah ialah para pemimpin BN. Saya tahu, di kalangan PRM, ada berbagai-bagai kebimbangan dan keraguan. Kesemuanya perlulah dibincang dan diselesaikan dalam kongres ini.

 

PRM mengakui bahawa dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama  ini, faktor kaum dan agama boleh memainkan peranan dalam menentukan masa depan negara dan rakyat. PRM tidak menolak perjuangan atas nama orang Melayu, orang  Cina atau orang India. Syaratnya  mereka itu terdiri daripada  yang tertindas atau terbiar, tuntutan mereka adil dan saksama, dan mereka tidak memperalatkan sentimen perkauman untuk mencapai matlamat mereka.

 

Begitu juga kita mengakui bahawa agama memainkan peranan penting dalam masyarakat Malaysia kini. Ajaran dan nilai-nilai, seperti keadilan,  kebenaran, persaudaraan dan persamaan, terdapat dalam Islam. Ia  terdapat juga dalam agama-agama lain. Segala ini  hendaklah dijadikan  tenaga yang positif serta progresif bagi mendorong proses perubahan  manusia dan masyarakat dalam dunia amnya dan dalam negeri ini khasnya. 

 

Saudara-saudari yang dihormati.

 

Tidak kena bagi saya untuk menjelaskan pendirian serta pilihan saya sendiri ketika ini. Saya hanya ingin menyatakan kita perlu berbincang dengan ikhlas, terus terang dan mendalam dalam kongres ini. Di samping mengambil kira tentang perkara-perkara yang subjektif dan lebih berkaitan dengan perasaan, kita harus memikirkan hal-hal yang objektif dan berkaitan dengan kenyataan.  Kita harus melihat perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Kita perlu memikirkan kepentingan parti, rakyat dan negara.  Saya serahkan kepada para perwakilan membuat keputusan sebaik-baiknya

Prestasi Dalam Pilihanraya

 

Kita telah melihat bagaimana dalam pilihan umum yang lalu, BA gagal mengurangkan majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen. Namun begitu, prestasi BA dalam pilihanraya 1999 adalah lebih baik daripada prestasi gagasan parti-parti pembangkang dalam pilihanraya 1995.

 

Pada pilihanraya 1995 parti-parti pembangkang  memenangi 31 daripada 192 kerusi parlimen, manakala dalam tahun 1999 pula  BA memenangi 42 daripada  193  yang dipertandingkan.  Ini tidak termasuk 3 kerusi yang dimenangi oleh PBS di Sabah.  Di peringkat DUN pula, dalam tahun 1995 parti-parti pembangkang meraih 56 daripada 394 kerusi, manakala dalam 1999 bilangan yang dimenangi  BA bertambah kepada 113 kerusi.

 

Peningkatan jumlah kerusi yang dimenangi BA pada lahirnya tidak membimbangkan  BN kerana kemenangan mereka tetap besar. Akan tetapi,  tiga hakikat telah muncul yang dianggap  oleh BN sebagai paling mencabar atau mengancam bagi masa depan mereka. 

 

Pertama, pengaruh UMNO telah merosot.   Bilangan kerusi parlimen yang dimenanginya turun daripada 88 pada tahun 1995 kepada 72 pada tahun 1999. Dua buah kerajaan negeri telah jatuh. Lebih setengah dozen menteri dan timbalan menteri tewas. Dalam kawasan parlimen yang mempunyai undi Melayu lebih daripada 70 peratus, BA memperolehi 30 kerusi berbanding dengan 22 untuk BN. Apabila diambil kawasan yang mempunyai lebih daripada 90 peratus pengundi Melayu pula, BA memenangi 21 kerusi dan BN memperolehi hanya 4 kerusi.

Buktinya  nyata  bahawa asasnya semakin lemah untuk UMNO terus mendakwa bahawa “UMNO ialah Melayu dan Melayu UMNO”. Sebaliknya,  dalam kawasan di mana peratus undi Cina tinggi, DAP dapat mengalahkan MCA. Misalnya dalam enam  kawasan parlimen, yang mempunyai undi Cina melebihi 80 peratus, DAP mendapat lima kerusi dan MCA hanya satu. Ertinya, memang tidak bolehlah mereka  hendak  mendabik dada mengisytiharkan “MCA itu Cina dan Cina itu MCA”.

Kedua, di kalangan parti-parti BA, yang paling banyak memenangi kerusi, sama ada di peringkat parlimen atau DUN, ialah PAS. PAS memenangi 27 daripada 45 kerusi parlimen, dan 98 daripada 113 kerusi DUN yang diperolehi BA. Dua kerajaan negeri UMNO yang jatuh kepada BA sebenarnya jatuh kepada PAS, walaupun ada beberapa orang keADILan yang turut menang di Terengganu. Selepas pilihanraya 1999, PAS muncul sebagai pencabar yang utama terhadap UMNO.

 

Ketiga, BN lebih banyak menang dalam kawasan-kawasan campuran. Di kawasan-kawasan parlimen yang mempunyai pengundi Melayu sebanyak 40-60 peratus (bakinya bukan Melayu), BN memenangi 45 kerusi dan BA tidak satu pun. Sekiranya diambil kawasan yang mempunyai pengundi Melayu sebanyak 30-70 peratus pula, BN meraih 71 kerusi, manakala BA mendapat cuma 3 kerusi. Dalam kebanyakan kawasan campuran, lebih daripada separuh pengundi Melayu pergi kepada BA. Bahkan ramai pengundi Melayu sanggup memberi undi mereka walaupun kepada DAP.

 

Yang menyelamatkan BN di kawasan-kawasan campuran ini ialah undi bukan Melayu. Tidak bererti pula bukan Melayu tidak memberikan sokongan kepada BA. Boleh dianggarkan BN memperolehi antara 55-60 peratus undi Cina. Sokongan pengundi India kepada BN lebih besar lagi, dianggarkan antara 60-70 peratus. Walaupun kemenangan BN di kawasan campuran adalah banyak, namun majoriti yang mereka perolehi menurun dengan jumlah yang sangat besar.

 

Sebagai contoh, apabila dibanding keputusan di antara 1995 dengan 1999, kita dapati majoriti yang diperolehi BN  di  banyak kawasan telah merosot. Misalannya, di Shah Alam dan Gombak ia menjunam daripada lebih kurang 40,000 dan 30,000 undi kepada kira-kira 1,000 dan 800 saja. Di Ampang dan Batu pula, majoriti BN merosot daripada kira-kira 35,000 dan 15,000 undi kepada kira-kira 5,000 ribu dan 2,000 saja. 

 

PRM telah bertanding hanya untuk lima kerusi parlimen, kesemuanya dalam kawasan campuran. Kita kecundang. Walau bagaimanapun, bagi kerusi yang ditandingi  di Selangor dan Kuala Lumpur, kita memperolehi antara 45-47 peratus daripada undi yang dibuang. Di Ampang, Batu dan Petaling Jaya Selatan, majoriti kemenangan BN telah dapat dikurangkan dengan banyak. Prestasi PRM di Johor tidak begitu baik, sama juga dengan parti-parti alternatif lain. Akan tetapi, di sana pun majoriti dapat dikurangkan.  

 

Strategi Kotor  BN

 

Walaupun BN menang, para pemimpinnya mengetahui UMNO telah kalah teruk. Dalam pilihanraya ke-10 yang lalu, akibat daripada kezaliman yang  rakyat percaya telah dilakukan oleh  pucuk pimpinan  BN terhadap Anwar, kemarahan di kalangan rakyat terhadap pemimpin itu meluap. Kemarahan orang Islam semakin mendalam apabila sebilangan besar mereka beranggapan  bahawa agama mereka dan rasul mereka sering dihinakan oleh pucuk pimpinan BN yang sama.

 

Sungguhpun kemarahan ini belum tentu boleh berterusan, namun trend pilihanraya lalu menyebabkan para pemimpin UMNO mengkhuatiri nasib mereka dalam pilihanraya akan datang. Lagi pula mereka melihat bahawa BA semakin kuat dan mantap, walaupun diakui menghadapi sedikit masalah. Sebaliknya BN semakin lemah. MCA  retak, sehingga mengakibatkan perletakan jawatan Ling Liong Sik sebagai menteri. Walaupun beliau sudah pulang ke kabinet, namun keretakan dalam MCA tidak pulih.

 

Seterusnya, UMNO pula mengalami berbagai-bagai ketegangan. Dalam pemilihan anggota-anggota Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, ketiga-tiga Naib Presiden yang dipilih bukanlah daripada yang disukai oleh Presiden atau Timbalan Presiden. Itu sebab Abdullah Badawi terpaksa berkali-kali membuat kenyataan media bahawa beliau tidak ada masalah untuk bekerja dengan mereka. Tambahan pula, ramai anggota MT yang terpilih adalah orang yang di luar kerajaan atau tidak diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihanraya raya umum yang lalu.

 

Selain itu perbezaan pandangan di antara Menteri Kewangan merangkap Bendahari UMNO dengan Perdana Menteri, mengenai soal-soal ekonomi, semakin ketara. Pendapat mereka berbeza tentang pengawalan modal,  kadar pertukaran ringgit dengan dolar,  percantuman bank-bank, pemilihan gabenor Bank Negara, pelantikan penasihat ekonomi yang baru bagi PM, dan macam-macam lagi. Baru-baru ini keluar pula arahan daripada Kementerian Kewangan yang boleh mempunyai akibat mengetepikan suku-sakat Mahathir daripada berbagai-bagai jawatan eksekutif yang kanan dalam syarikat-syarikat yang dikuasai pemerintah. Adakah tujuannya untuk mengganti mereka dengan suku-sakat Daim pula?

 

Tamak haloba untuk merebut kekuasaan serta kekayaan bukan saja telah menular luas, bahkan sudah sampai ke kemuncak. Kuasa serta kekayaan bertumpu pada segelintir yang rapat dengan pucuk pimpinan BN.  Nampaknya wang serta kuasa menentukan hubungan di antara pemimpin-pemimpin dalam UMNO. Bahkan ini jugalah faktor yang akhirnya akan memusnahkan UMNO serta BN. Dr Mahathir sebenarnya telah memulakan proses kehancuran UMNO/BN.  Dia sendiri tidak boleh menahannya. 

 

Oleh sebab itulah beliau merasa gundah-gulana. Oleh kerana itulah beliau bersedia berbuat apa saja untuk mempertahankan kekuasaannya sendiri serta kekayaan suku-sakatnya. Maka yang demikian tidak peliklah bahawa sebelum UMNO dan BN musnah, beliau cuba hendak memusnahkan parti, golongan serta orang yang boleh mencabarnya. Musuh yang menjadi sasaran utama beliau nampaknya ialah PAS dan keADILan, kerana mereka mampu menarik sokongan Melayu/Islam daripada UMNO.

 

Saya lihat ada sekurang-kurangnya tujuh cara yang digunakan oleh pimpinan pemerintah sekarang ini untuk melemahkan, dan, sekiranya boleh, memusnahkan parti-parti dan segala tenaga alternatif.  Cara-cara itu adalah seperti berikut:

 

a)              Menuduh bahawa PAS mengeluarkan fatwa-fatwa  “sesat” dan keADILan hanya memperjuangkan nasib seorang pemimpin, yang tidak habis-habis mereka fitnah  melakukan hubungan seks yang sumbang;

 

b)              Menakut-nakutkan orang ramai bahawa  PAS mahu menegakkan negara Islam, yang akan menyekat hak kebebasan agama, budaya dan peribadi, terutama bagi golongan bukan Melayu/Islam, dan keADILan pula mahu menimbulkan kekacauan yang boleh menjejas keamanan, keselamatan serta kestabilan ekonomi;

 

c)              Menggunakan politik perkauman secara berterusan dengan menakut-nakutkan terutama masyarakat bukan Melayu bahawa jikalau BN kalah maka orang bukan Melayu akan disekat menganuti agama dan budaya mereka dan huru-hara kaum dan agama akan tercetus;

 

d)              Mengheret pemimpin-pemimpin daripada semua parti ke mahkamah atas pelbagai tuduhan sivil atau jenayah dengan tujuan supaya mahkamah mengenakan hukuman denda atau penjara sehingga mereka hilang kelayakan bertanding, dan  menimbulkan rasa takut dan bimbang kepada orang lain;

 

e)              Mengurang atau membatalkan penerbitan-penerbitan yang dianggap sering mengkritik pemimpin pemerintah yang tertentu, bahkan juga yang cuba hendak bersikap neutral semata-mata, dan tidak membenarkan ceramah umum atau himpunan aman yang dianjur oleh parti-parti alternatif;

 

f)                Menarik pemimpin dan anggota dari parti-parti alternatif, terutama sekali dari keADILan, untuk kembali kepada pangkuan UMNO dengan menawarkan wang, peluang ekonomi dan  pangkat, atau dengan mengugut akan mengambil tindakan terhadap kesalahan-kesalahan yang pernah mereka lakukan; dan

 

g)              Merosakkan peribadi setengah-setengah pemimpin alternatif yang berpengaruh atau  berkesan, melalui sebaran fitnah bahawa mereka melakukan salah laku seks, dengan tujuan menimbulkan kemarahan atau kesangsian rakyat terhadap mereka.

 

Di samping menujukan sasaran mereka terhadap parti-parti alternatif, para pemimpin pemerintah BN juga terus menumpukan serangan mereka kepada Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi. Hakikat bahawa Dr Mahathir tidak habis-habis menyerang Anwar dan gerakan reformasi, membuktikan bahawa pengaruh mereka masih kuat dan tindakan-tindakan mereka ada kesannya. PRM tetap menyokong serta menyatakan setiakawannya kepada Anwar, yang telah lama dizalimi, dan gerakan reformasi yang terus  diburuk-burukkan.

 

Nyata sekali bahawa cara penekanan dan wajah kezaliman para pemimpin pemerintah BN semakin banyak, bertambah teruk, dan berubah-ubah. Kesemuanya mungkin membawa  akhirnya kepada pemerintahan kuku besi yang dikuasai oleh segolongan kecil,  bahkan menjurus kepada seorang saja. Mereka ini rakus dan gila kuasa. Mereka  tidak memikirkan masa depan rakyat dan negara.   

 

Saudara-saudari sekalian,

 

Ke Arah Masyarakat Adil

 

PRM serta parti-parti sahabat dalam BA menghadapi cabaran yang besar dan tugas yang berat untuk masa akan datang. PRM perlu mempertingkatkan susunan serta kekuatan organisasi dan pimpinannya. Bersama-sama dengan parti-parti sahabat, kita perlu menggembleng serta memantapkan usaha dan tenaga untuk mencapai prestasi lebih baik, dan jika boleh mendapat kemenangan lebih besar dalam pilihanraya akan datang. Hanya dengan demikian baru kita boleh berkesan menegakkan keadilan dan demokrasi, di samping  membuat perubahan-perubahan yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat jelata.

 

Agak aneh lagi menarik juga bahawa baru-baru ini PM Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa beliau mendukung keadilan dan demokrasi dalam pentadbiran. Beliau menuduh bahawa banyak negara yang mengkritik  Malaysia kerana mencabuli hak asasi adalah pencabul hak asasi manusia yang lebih teruk. Kita bersetuju dengan apa-apa pendedahan beliau yang benar tentang amalan buruk negara-negara itu. Akan tetapi, pendedahan serta kritikan terhadap orang lain saja tidak mencukupi, kerana itu  tidak pula menjadikan pemerintahan BN adil serta demokratik.

 

Pada hakikatnya pemerintahan BN memang tidak adil dan tidak demokratik. Mahathir berhujah bahawa sekiranya BN tidak mengamalkan keadilan dan demokrasi, bagaimanakah dalam pilihanraya lalu parti-parti pembangkang boleh memenangi banyak kerusi serta menawan dua negeri? Jawapannya mudah saja.  Bukan pilihanraya saja yang menjadi ukuran kepada demokrasi. Jikalaupun pilihanraya diterima sebagai satu-satunya ukuran, kita ingin bertanya: adakah proses pilihanraya di negeri ini adil,  bersih dan bebas daripada  penipuan, ugutan, rasuah serta politik wang?

 

Saya percaya sekiranya pilihanraya dijalankan dengan cara yang adil, bersih, bebas dan telus, sudah tentu pihak BA boleh memenangi lebih banyak kerusi dan menawan lebih banyak negeri lagi.  Bahkan mereka boleh menjatuhkan Mahathir dan BN sekali.

 

Kita perlu berjuang dengan gigih serta penuh azam untuk menyekat proses negara kita yang dicintai ini menggelongsor ke lembah pemerintahan kuku besi. Sekarang ini kerakusan seorang pemimpin menguasai segala-galanya. Bermacam-macam undang-undang yang zalim, seperti ISA, OSA, Akta Cetak, Akta Hasutan, AUKU, Akta Pengambilan Tanah, Akta Kesatuan Sekerja dan lain-lain, yang  terlalu banyak untuk disebutkan semuanya di sini, dengan mudah saja boleh digunakannya untuk menekan rakyat, terutama pihak lawan. Media, mahkamah dan polis dikongkong. Tidak diendahkan berapa banyak hak asasi manusia yang dicabul.

Kebebasan media dan hak bersuara serta berhimpun secara aman disekat; jaminan perlembagaan mengenainya tinggal di atas kertas saja. Ramai anggota polis bertambah ganas, dan mereka  semakin tidak dihormati oleh rakyat ramai kerana dianggap rasuah dan tidak berkecuali dalam menjalankan tugas.  Kebebasan kehakiman semakin terhakis, mahkamah sudah hilang wibawanya kerana sebilangan  hakim gagal membuktikan sifat adil serta bersih daripada korupsi. Kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menegakkan keunggulan ketiga-tiga institusi ini - iaitu media, mahkamah dan polis - sebagai  tiang seri demokrasi.

 

Keadilan dan demokrasi tidak terhad hanya kepada bidang politik saja. Bahkan ia berkaitan rapat dengan soal-soal ekonomi, alam sekitar, sosial dan juga moral.  Negeri ini sebuah negeri yang kaya. Akan tetapi kekayaannya tidak teragih secara adil. Yang kaya terlalu kaya, yang miskin papa kedana. Sebahagian besar daripada kekayaan negara digunakan untuk rancangan-rancangan atau projek-projek gergasi yang membazir, tetapi lebih menguntungkan segelintir orang di sekeliling pinggang pucuk pimpinan pemerintah.

 

Secara perbandingan, peruntukan yang disalurkan untuk kebajikan serta kepentingan rakyat ramai atau untuk memelihara alam sekitar adalah kecil. Pendidikan tinggi, kesihatan dan perumahan semakin dikorporat atau diswastakan. Bayaran untuk mendapatkannya meningkat tinggi dan menjadi bebanan berat ke atas rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Sepatutnya kemudahan-kemudahan ini menjadi tanggungjawab sosial  pemerintah untuk menyediakannya dengan percuma atau murah.

 

Dulu projek atau perusahaan diswastakan konon dengan tujuan untuk mengurangkan beban kewangan bagi pemerintah dan menggalakkan efisiensi. Akan tetapi, sekarang ini projek-projek yang telah diswastakan dan menanggung kerugian hendak dijual pula dengan harga murah. Tentulah ini merugikan negara dan rakyat. Sudah menjadi lumrah yang untung diswasta dan yang rugi rakyat tanggung.

 

Kekayaan negara  tertumpu dalam genggaman segelintir manusia. Jurang sosioekonomi di antara segelintir yang kaya-raya di peringkat atasan, dengan rakyat ramai di peringkat pertengahan, dan apatah lagi peringkat bawahan, melebar. Angka-angka rasmi dari pemerintah sendiri menunjukkan jurang ini semakin melebar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

 

Semasa krisis ekonomi melanda, kedudukan ekonomi semua  golongan, tidak kira  kapitalis  kaya atau  pekerja miskin,  banyak yang terjejas. Akan tetapi, dalam usaha untuk menyelamat dan memulihkan ekonomi, yang lebih diutamakan ialah segelintir kapitalis  korporat kaya yang rapat dengan pucuk pimpinan pemerintah.

 

Sekarang ini didakwa bahawa ekonomi Malaysia telah pulih hasil daripada berbagai-bagai langkah yang diilhamkan oleh pimpinan tertentu. Memang diakui bahawa kita sekarang ini dalam proses pemulihan. Tetapi harus diakui juga bahawa proses ini sedang berlaku di seluruh rantau Asia. Tidak ada yang istimewa bagi Malaysia. Namun begitu, yang paling  banyak pulih dan terselamat ialah sebilangan korporat suku-sakat yang besar-besar. Wang negara, wang Petronas, wang khazanah – ertinya wang rakyat - digunakan untuk menyelamatkan mereka saja.

 

Peniaga serta pengusaha kecil dan sederhana masih mengeluh. Bagi majoriti mereka, ekonomi belum begitu pulih lagi. Di mana saja saya pergi dan menemui mereka, saya sering mendengar keluhan dan rasa tidak puas hati. Kebanyakan perusahaan dan perniagaan mereka telah jatuh hampir separuh dan walaupun pulih sedikit tetapi masih jauh lagi dari paras lama. Bank tidak bersedia memberi pinjaman kepada mereka kerana belum berkeyakinan penuh. Jikalau yakin pun,  bank tempatan biasanya menghadapi masalah kekurangan  wang  untuk memberi pinjaman.

 

Bagi kebanyakan rakyat biasa pula, kehidupan terus sesak. Walaupun ada janji menaikkan gaji bagi pegawai  kerajaan,  harga barang keperluan naik lebih cepat lagi. Akibat daripada penswastaan pendidikan tinggi, kesihatan dan perumahan, hidup mereka semakin terhimpit. Tidak ada pula peluang kenaikan gaji bagi pekerja swasta. Bahkan bagi mereka ini, sesetengahnya – seperti pekerja ladang – masih belum dijamin dengan gaji bulanan. Tuntutan gaji minimum bagi mereka tidak dilayan. Sebenarnya, kadar bilangan mereka yang masih di bawah garis kemiskinan, sama ada di bandar, di ladang atau di kampung, di kalangan pekerja awam atau pekerja swasta, masih tinggi lagi. Bagi golongan miskin bandar, peneroka bandar, masalah perumahan masih runcing. Peneroka bandar sering diusir secara haram.

 

Mengenai wanita pula, masih wujud sistem serta amalan yang membeza-beza serta mendiskriminasi. Peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat masih terbatas bagi wanita. Di tempat-tempat kerja, gangguan seksual masih berlaku. PRM tidak puas hati dengan langkah pemerintah mengadakan hanya kod untuk mengawal perkara ini. Kami menyokong tuntutan pertubuhan wanita supaya diadakan akta gangguan seksual. Begitu juga, insiden perkosaan atau perogolan semakin meningkat. Yang menyedihkan ialah begitu banyak sekali kes yang berlaku dalam keluarga, di antara bapa dengan anak. Selain itu, masalah ibu tunggal tidak ditangani dengan memuaskan. Kami berpendapat satu suruhanjaya yang berwibawa hendaklah ditubuh bagi mengkaji dan mengatasi berbagai-bagai masalah yang dihadapi wanita. Bahkan adalah lebih baik sekiranya sebuah Kementerian Hal Ehwal Wanita diwujudkan.

 

Untuk  meningkatkan kemajuan negara dan rakyat, pemerintah telah memperkenalkan perindustrian. Belum pun lagi kita berjaya memperkukuh asas perindustrian yang teguh, pemerintah membawa kita melompat ke peringkat teknologi yang lebih tinggi melalui IT (teknologi maklumat). Langkah ini boleh dialu-alukan. Kita memang perlu menyertai dan tidak tertinggal dalam perkembangan IT yang kini meluas begitu cepat di seluruh dunia. Akan tetapi, kita hendaklah memastikan bahawa perkembangan IT itu tidak mengakibatkan jurang teknologi menambah lebarkan lagi jurang sosioekonomi yang sedia ada sekarang.

 

Perkembangan IT bukan semata-mata dikaitkan dengan internet dan sekolah bestari saja, bahkan sekarang ini dihubungkan dengan bermacam-macam lagi, seperti e-dagang dan k-ekonomi.  Pada peringkat terendah kita mengaitkan IT dengan komputer persendirian. Ada rancangan untuk menggalakkan komputer bagi setiap keluarga. Adakah ini boleh berlaku?  Tentulah tidak, selagi masih ada keluarga yang tidak mampu membelinya atau tidak mempunyai bekalan elektrik ke rumah mereka. Penggunaan wang KWSP untuk membeli komputer bertentangan dengan tujuan asal kumpulan wang itu untuk membantu pekerja di hari  tua mereka. Lagi pula ia akan lebih menguntungkan peniaga-peniaga besar komputer saja.

 

Kedudukan asas ekonomi tidak seimbang dalam masyarakat akan melebarkan jurang teknologi di antara golongan miskin dengan kaya dan kawasan desa dengan bandar. Bahkan dalam bidang pendidikan, sekolah bestari akan terbatas hanya kepada golongan elit. Sebabnya, masih banyak sekolah di desa dan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan elektrik. Oleh kerana itu tidak akan dapat memperkenalkan pendidikan berkomputer kepada pelajarnya.

 

Sebagai sebuah parti politik, PRM bercita-cita serta berjuang untuk menegakkan pemerintahan dan masyarakat yang lebih adil dan demokratik. Kami mempunyai program serta iltizam  untuk  mengubah susunan ekonomi, agar sumber kekayaan dan penguasaan teknologi tidak bertumpu di kalangan sebilangan kecil saja. Kami mahukan pengagihan yang adil sumber kekayaan dan teknologi. Kami mahukan jurang sosioekonomi dalam masyarakat dirapatkan.

 

PRM juga mempunyai rancangan supaya sumber kekayaan negara digunakan untuk menyediakan secara murah, dan jikalau boleh percuma, kemudahan-kemudahan sosial yang utama, iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Ini adalah satu cara merapatkan jurang sosioekonomi. Kami juga mahu memastikan bahawa segala rancangan pembangunan tidak akan memusnahkan alam sekitar, apatah lagi mengancam kehidupan serta kesejahteraan manusia.

 

Akhirnya, PRM berpendapat bahawa adalah penting  pembangunan menggalakkan keseimbangan di antara nilai-nilai ekonomi dengan nilai-nilai moral. Agama boleh memainkan peranan yang besar bagi menentukan nilai-nilai moral yang tinggi dalam masyarakat. Pembangunan ekonomi dan politik di negeri ini begitu menekankan nilai-nilai kebendaan sehingga nilai-nilai moral  sering diabaikan. Itu sebabnya para pemimpin negara mudah saja terjerumus ke dalam lembah penyelewengan, korupsi dan lainlain amalan tidak bermoral. Tidak ada di antara mereka dapat dijadikan teladan atau “role model” yang baik bagi anak-anak muda. Segala kepincangan ini perlu diperbaiki.

 

Islam dan agama-agama lain yang wujud dalam sistem kepercayaan di negeri ini, mengajar tentang keadilan, kebenaran, persaudaraan, kebajikan dan  juga moral yang murni. Kesemua nilai  ini boleh menjadi panduan kepada pemerintahan dan masyarakat yang baik. Oleh itu, dalam perkembangan ekonomi, politik dan sosial di negeri ini, nilai-nilai moral dan agama tidak boleh dikesampingkan. Agama harus menjadi satu tenaga yang progresif untuk menegakkan perubahan yang adil dan bermoral.

 

Senario Antarabangsa

 

Bermacam-macam perkara sekarang ini berlaku di peringkat antarabangsa. Kita ketahui bahawa banyak yang boleh  mempengaruhi keadaan dan perkembangan dalam negeri ini. Soal globalisasi memang sudah selalu diperkatakan. Memang ada aspek globalisasi yang boleh menguntungkan, terutama dari segi kemajuan ekonomi, teknologi, pengetahuan dan maklumat. Akan tetapi sebaliknya, proses globalisasi juga boleh mengakibatkan cengkaman ekonomi dan politik oleh negara kuasa besar ke atas negara ketiga yang sedang membangun. Ia juga boleh menyekat perkembangan ekonomi kebangsaan, memburukkan taraf pekerja tempatan dan merosakkan nilai-nilai budaya rakyat yang murni.

 

Dalam dunia global, kuasa besar terutama sekali Amerika Syarikat menguasai ekonomi, politik, teknologi, ketenteraan dan senjata nuklear. Sekarang ini  tidak ada kuasa lain yang boleh mengimbangi kuasa AS. Oleh kerana itu ia boleh bermaharajalela dalam sebuah dunia yang sudah menjadi “dunia sebuah  kuasa besar” (one superpower world). Kuasa besar ini  menguasai agensi-agensi antarabangsa seperti Majlis Keselamatan, Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), dan melaluinya ia cuba menjalankan dasarnya untuk menguasai dunia, terutama sekali dunia ketiga..

 

Dengan  penguasaannya ke atas Majlis Keselamatan, misalnya, kuasa besar AS boleh meneruskan dasar-dasar sekatannya yang kejam terhadap  Iraq, Libya, Iran, Korea Utara dan Cuba. Ia juga memberi kekuatan kepada Israel untuk terus menguasai dan menzalimi rakyat Palestin. Di sini kami ingin mengucapkan tahniah kepada gerakan Hizbullah yang telah berjaya mengundurkan tentera Israel dari Lubnan Selatan. Akan tetapi, Majlis Keselamatan telah menjadi lumpuh untuk memberhentikan segala jenis kezaliman yang berlaku di Chechnya, Kashmir dan Kosovo.

 

Melalui Bank Dunia dan IMF, secara tidak langsung kuasa besar boleh mempengaruhi bahkan menentukan hala perkembangan ekonomi dan juga politik negara-negara yang berhutang dengannya. Dasar pasaran bebas yang dibawa oleh kuasa besar dan dikembangkan ke seluruh dunia, telah berjaya memperkukuh penumpuan kekayaan ekonomi dan  kekuasaan politik pada kuasa besar itu. Masalah-masalah pokok seperti kelaparan, kemiskinan, kematian bayi dan sebagainya masih tidak selesai. Bahkan di setengah-setengah negara ia semakin meruncing. Kira-kira 100 buah negara mencatatkan  pendapatan per-kapita yang kurang daripada 15 tahun dulu.

 

Di beberapa buah negeri atau kawasan, telah berlaku  peperangan atau pertentangan antara kaum dan agama. Peristiwa yang berlaku di Fiji sangat dikesalkan. Kita berharap apa saja penyelesaian yang dicapai tidak akan bertentangan dengan lunas-lunas keadilan serta kesaksamaan. Konflik agama yang membawa tumpah darah di Ambon dan Maluku boleh mengancam keutuhan, keselamatan dan perpaduan seluruh Indonesia. Sekiranya benar bahawa ada golongan, terutama dari tentera, yang mengapi-api serta mencetuskan konflik tersebut, mereka hendaklah dibawa ke hadapan pengadilan dan dihukum. Saya gembira kerana nampaknya keadaan sudah mulai dapat dikawal. Ia tidak boleh dibenarkan merebak kerana implikasi buruknya sangat besar ke atas seluruh rantau ini.

 

Masalah masyarakat minoriti di beberapa buah negara tetangga juga nampaknya akan terus bergelora. Di Indonesia, soal Acheh semakin tegang, terutama selepas masalah Timor Timur mencapai penyelesaian. Begitu juga keadaannya dengan masalah Moro di Selatan Filipina. Di Thailand pula, walaupun keadaannya agak reda, namun masalahnya belum selesai lagi. Peristiwa penculikan dari Pulau Sipadan dan pembunuhan seorang pemimpin Acheh di Kuala Lumpur  menegaskan bahawa masalah-masalah minoriti ini akan mempengaruhi juga keadaan di Malaysia.

 

PRM berharap segala masalah dapat diselesaikan dengan cara damai. Hak menentukan nasib diri sendiri hendaklah diberikan kepada golongan-golongan tertentu di semua negeri ini. Mudah-mudahan penyelesaian masalah akan memperkukuhkan lagi perpaduan bangsa, dan tidak mengakibatkan perpecahan atau perpisahan wilayah. 

 

Dalam satu dua tahun ini kita telah melihat kejatuhan rejim lama dengan diganti oleh pemerintahan baru, misalnya di Indonesia dan Taiwan.  Kami bukannya senang  dengan  semua  perkembangan dan tidak begitu bersetuju dengan beberapa dasar pemerintahan  di kedua-dua negara itu. Namun, kami berasa gembira kerana rakyat di sana telah berani memilih perubahan. Keberanian seumpama itu perlu ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Akan tetapi perubahan tidak bermakna melainkan ia membawa kepada keadilan, demokrasi, perpaduan, keamanan, ketinggian moral dan kesejahteraan yang berpanjangan.

 

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

 

Penutup dan Perasmian 

 

Saya kira cukup panjanglah saya berbicara. Saya berasa gembira kerana masanya sudah sampai untuk merasmikan Kongres ini. Dengan lafaz Bismillah saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres ke-33 Parti Rakyat Malaysia.

 

Hidup Rakyat! Sekian. Terima kasih.

 

 

Kuala Lumpur

11hb Jun 2000