KENYATAAN MEDIA PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)
 
KETUA POLIS PERAK MESTI MEMINTA MAAF TERBUKA
 
PRM mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk
Syed Abdul Rahman Abdul Kadir semalam. Beliau berkata polis sedang memantau
kegiatan 11 kumpulan pelampau termasuk NGO yang mengikut beliau “berusaha
mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kerajaan”. Beliau berkata
sesetengah kumpulan ini cuba mencabar polis dengan mengadakan ceramah tanpa
permit. Beliau mengugut bahawa polis berkuasa menggunakan undang-undang
darurat untuk mengenakan curfew.
 
Kami ingin menegaskan perkara-perkara berikut:
 
Pertama, kami mencabar supaya Ketua Polis Perak itu menerangkan dengan
terbuka nama 11 kumpulan yang dituduh, dan memberi alasan lengkap mengapa
beliau menganggap mereka sebagai “pelampau”.  Kami berharap beliau tidak
cuba bersembunyi di sebalik tuduhan yang samar-samar.
 
Kedua, kami berpendapat bahawa dalam sebuah negara yang mengamalkan
demokrasi, adalah menjadi hak rakyat untuk mempertikaikan atau menentang
kerajaan. Bahkan mereka berhak juga mempengaruhi rakyat lain berbuat
demikian juga. Sangat bebal sesiapa saja  menyuruh, seperti yang dilakukan
oleh Ketua Polis Perak ini, supaya setiap orang  yang hendak menentang
kerajaan hendaklah masuk bertanding dalam pilihanraya.
 
Ketiga, pegawai-pegawai  polis hendaklah jangan cuba berlagak sebagai
sesetengah pemimpin pemerintah, yang selalu menggertak dan mengugut rakyat.
Tugas mereka ialah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman secara
profesional berlandaskan  lunas-lunas Perlembagaan dan undang-undang negara.
 
Keempat, pihak polis mesti faham bahawa kadang-kadang ceramah diadakan juga
tanpa permit kerana polis kini sering mencabul hak asasi manusia dengan
enggan mengeluarkan permit tanpa memberi alasan yang munasabah. Bahkan
selalu berlaku polis memberitahu keputusan mereka tentang permit ini pada
saat paling akhir sehingga tidak ada masa bagi penganjur membatalkannya.
Sekarang ini pihak polis kelihatan lebih sering hanya mengikut perintah tuan
politik mereka yang berkepentingan sendiri.
Kelima, pegawai-pegawai polis hendaklah bersikap dengan bertanggungjawab
serta profesional, dan jangan meniru sesetengah pemimpin politik yang cepat
sangat  menuduh bahawa siapa saja yang menentang kerajaan adalah seperti
Ma’unah atau komunis.
 
Akhir sekali, PRM mendesak supaya  Datuk Syed Abdul Rahman, selaku Ketua
Polis Perak hendaklah memberi keterangan serta alasan yang lengkap. Jikalau
tidak beliau harus  menarik balik tuduhannya dan meminta maaf secara terbuka
kepada rakyat.
 
 
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
                       9hb September 2000