Anda mungkin tertanya kenapa saya menyentuh moto PDRM iaitu MESRA, CEPAT DAN BETUL yang diperkenalkan sempena sambutan pengingatan hari Polis pada 25 Mac 1999 dan dicadangkan moto itu ditukar kepada KASAR, LEMBAB DAN SALAH. Mesra, inilah perkataan yang saya betul-betul tertarik. Pihak polis diminta agar sentiasa memberi khidmat mesra terhadap rakyat sepanjang masa tak kira di mana dan waktu. "Secara ringkasnya, MESRA didefinisikan sebagai interaksi yang harmoni antara individu berteraskan keikhlasan dan kejujuran. Mesra itu sendiri membawa konotasi bahawa segala pemikiran dan tindakan itu mempunyai nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Dalam konteks PDRM, ia merujuk kepada interaksi ahli pasukan degan pelanggan iaitu orang ramai".(dipetik dalam laman web). "Di antara ciri-ciri "Khidmat Mesra" ialah kesediaan untuk bermesra, peramah dan berbudi bahasa, tingkahlaku dan pertuturan yang sopan, sentiasa bersedia untuk menolong, nada suara yang tidak dipengaruhi emosi, tidak emosional dan tenggelam punca, air muka yang manis, menghindari perang mulut, tenang dan mengawal keadaan, bersabar dan tidak menyeleweng, pendengar yang baik, mengutamakan maklumat daripada sentimen, memberi penjelasan bukan leteran, cekal hati dan tegas." (dipetik dari laman web)

Tetapi lain pulak "khidmat mesra" diberikan kepada rakyat terutama budak-budak reformasi, peyokong dan pemimpin BA. Bermacam bentuk "khidmat mesra" diberikan oleh polis untuk "keselesaan dan kepuasan" budak-budak reformasi dan orang BA. Sepak terajang, penampar Jepun, maki-hamun, hedik, rotan, tumbukan ala "Mike Tyson", dipaksa berbogel dalam keadaan air-cond yang sejuk dan tidak dibenarkan tidur. Mereka sudah menikmati "khidmat mesra" ini. Begitu baik khidmat polis terhadap mereka. Memang bagus tapi apa pasal "khidmat mesra" sedemikian tidak diberikan kepada Naib Pemuda UMNO dan pengikut-pengikutnya serta MB Selangor sekali. Tak acilah macam ini. Berilah mereka rasa "khidmat mesra" dan beri feedback kepada polis agar polis boleh memperbaiki lagi "khidmat mesra" pada masa hadapan. Tak kan budak-budak reformasi dan orang BA saja menikmati "khidmat mesra. Pihak polis juga mestilah memberi "khidmat mesra" kepada Sheikh Fadzir dan Mohd Khir Toyo dan Sanusi Junid. Barulah fair and square.

Cepat tu memang cepat tapi cepat tu bergantung kepada keadaan. Polis cepat bertindak menahan budak-budak reformasi kerana permit tidak diberikan untuk berhimpun. Bukan sahaja budak-budak reformasi ditahan malah mereka telah diseksa, dipukul dan disepak terajang oleh polis. Sungguh ganas dan garang polis berbaju biru gelap. Pihak polis juga telah awal-awal lagi telah membuat sekatan jalan pada 8/8/2000 untuk menghalang budak-budak reformasi cuba memasuki ibu kota untuk mengetahui keputusan perbicaraan DSAI. Bukan main cekap dan cepat lagi polis menjalankan tugas. Entah kenapa ya polis terhegeh-hegeh ambil tindakan terhadap kes mata lebam DSAI yang dilakukan oleh bekas IGP Rahim "Mike Tyson" Noor, Sanusi Junid didakwa memukul dua pekerja KLIA kerana lambat bawa kerusi roda, Tian Chua diseksa dan didera oleh polis, perhimpunan haram di Putra Jaya anjuran kumpulan NGO Melayu, "bantahan" bukannya demonstrasi yang diketuai oleh Naib Pemuda UMNO, Abdul Aziz Kadir Sheikh Fadzir terhadap SUQIU di hadapan bangunan Perniagaan Cina Selangor dan perkataan kurang ajar iaitu "bermandi darah" yang dikeluarkan oleh MB Selangor, Mohd Khir Toyo.

Kita sentiasa memikirkan apa yang dilakukan oleh polis betul ke tidak ni. Kalau bukan betul maknanya salahlah tu. Dalam pengamatan saya perkataan betul iaitu polis mestilah menjalankan tugas dan tangungjawab mereka mengikut kod etika PDRM. Dalam laman web PDRM ada lima kod etika iaitu:-

SETIA: Taat setia yang tidak berbelah-bagi kepada Raja,Negara, Kerajaan dan pucuk pimpinan pasukan 

 BERDISIPLIN: Mengutamakan disiplin diri dan tugas pada setiap masa dengan tekun, tabah dan beramanah  

BERWIBAWA: Melaksanakan segala kewajipan dan kuasa-kuasa dengan tegas, berani, adil dan saksama  

PRIHATIN DAN MESRA: Sentiasa memberi perkhidmatan yang mesra, cepat, betul serta terkini dan mengutamakan hak dan kepentingan masyarakat  

CEMERLANG: Sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran; mengamalkan cara hidup sederhana, suci dan bahagia untuk mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang serta sikap positif dan proaktif bagi mewujudkan sebuah organisasi yang unggul dan peka terhadap perubahan semasa

Sudah sah PDRM tidak menjalankan tugas mengikut kod etika iaitu melaksanakan segala kewajipan dan kuasa-kuasa dengan tegas, berani, adil dan saksama. Mana perginya tegas, berani, adil dan saksama. Kepada IGP Tan Sri Norian Mai, jikalau anda ingin menjaga dan memelihara kredibiliti PDRM supaya tidak tercemar sehingga ke satu tahap yang amat mengecewakan , tunggu apa lagi mailah tangkap dan tahan Naib Pemuda UMNO dan MB Selangor.

Kalau begitu saya ingin beri sedikit cadangan iaitu polis disaran menukar moto MESRA, CEPAT dan BETUL kepada KASAR, LEMBAB dan SALAH. Polis tidak memberikan khidmat dan bersikap mesra terhadap tahanan dan rakyat. Mana boleh belasah budak-budak reformasi sampai mak bapak pun tak dapat cam muka anak-anak mereka. Kalau pandai belasah orang, lebih baik join WWF (World Wrestling Federation), WCW dan tinju. Ada manfaatnya, taklah bakat-bakat polis terpendam dan terkubur begitu saja. Rezeki Tuhan jangan ditolak. Bolehlah tahun hadapan, Don King mencungkil bakat anak-anak tempatan kita seperti Rahim "Mike Tyson" Noor dan Sopak Bikini. Dapat juga kita dapat lihat orang kita bertinju dengan Mike Tyson, Evander Holyfield dan lain-lain. Walaupun Rahim Noor sudah berumur 50 lebih tapi tumbukannya sangat berbisa dan tidak keterlaluan kemungkinan Mike Tyson akan meminta tunjuk ajar dari beliau sebagai si foo bagaimana memperbaiki tumbukannya yang sememangnya berbisa. Kita juga ingin lihat kelibat orang kita beraksi menentang ahli gusti yang terkenal. Mesti glamour habis punya. Mana tak glamour kalau dapat fight dengan ahli gusti seperti HHH, Edge dan Christian, X-Pac, Chris Benoit, Goldberg, Chris Jericho, The Rock, Kane, Undertaker dan Rikishi. Kalau ada masa, bolehlah tackle Stephanie, bini HHH tapi kalau silapharibulan kena belasah pulak oleh HHH. Tapi yang masalahnya orang kita ni badan kecil, macam mana nak lawan. KASAR adalah perkataan saya fikirkan amat sesuai. Pihak polis mengambil sikap pilih kasih dengan memberi khidmat mesra terhadap seseuatu golongan tertentu dan golongan lain jangan harap pihak polis bersikap mesra terhadap mereka. Adakah PDRM mempraktikkan ciri-ciri "Khidmat Mesra" kepada budak-budak reformasi dan orang-orang BA? Tepuk dada tanya selera.

Pihak polis gagal bertindak cepat, tegas, adil dan saksama dalam menangani kesemua kes sepanjang masa dan waktu. Oleh itu, perkataan LEMBAB lebih sesuai digunakan.

Pihak polis tidak mematuhi etika polis iaitu mereka menyalah gunakan kuasa mereka. Kes lebam mata DSAI, budak-budak reformasi dan pemimpin BA adalah contoh terbaik di mana mereka memukul, mendera, menumbuk dan menyeksa tahanan polis dengan sewenang-wenangnya. Pihak polis gagal memelihara ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara semasa "bantahan yang diketuai oleh Naib Pemuda UMNO pada 18/8/2000 di hadapan bangunan SUQIU. Kumpulan ini membawa sepanduk yang boleh menimbulkan ketegangan dan kemarahan diantara dua kaum. Mereka mengutuk David Chua dan beramai-ramai menjerit hidup Melayu, hidup Mahathir. Mereka juga mencederakan pemberita dan mengugut mahu membakar bangunan itu. Tindakan mereka adalah keterlaluan dan sikap mereka tak ubah seperti gangster. Ini lagi satu golongan yang boleh diketengahkan di mana mereka sememangnya mempunyai bakat berlakon yang terserlah. Mereka boleh memegang watak gangster dan ahli kongsi gelap. Manalah tahu kalau rezeki datang menggolek mereka ni dapat tawaran berlakon di Hollywood, Bollywood dan Hong Kong jika pengarah terkenal seperti John Woo (Broken Arrow dan Mission Impossible ll) mengenali bakat mereka. Dapat juga mereka berpeluang berlakon bersama Mel Gibson, Shah Rukh Khan dan Jackie Chan. SALAH atau tidak beretika memang sesuai dengan apa yang dilakukan oleh PDRM.

Secara keseluruhannya, pencapaian polis adalah memuaskan dan sememangnya ia boleh diperbaiki lagi selaras dengan hasrat PDRM memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyaratkat, mempunyai hubungan yang erat dan mesra diantara polis dan masyarakat dan memiliki sikap prihatin dan memelihara kepentingan masyarakat. Saya pun tidak mahu moto polis yang ada sekarang ini ditukar mengikut cadangan saya. Saya minta maaf jika kata-kata saya menyinggung perasaan kepada mana-mana anggota polis yang membaca artikel saya. Diharap artikel saya membuka mata PDRM agar kewibawaan dan imej polis dihormati semula oleh masyarakat.

Saya benarkan artikel saya diedit. Yang penting kandungan asal saya dipelihara. saya tak mahu dedahkan identiti saya. sila guna Terima Kasih Pengirim