PM TERUS BERCAKAP DENGAN LIDAH BERCABANG

Kononnya tujuan polis menahan tujuh orang pemimpin keADILan dan aktivis reformasi di bawah ISA ialah untuk melindungi hak asasi majoriti rakyat. Begitulah dakwaan PM Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada media semalam. Akan tetapi, sebenarnya ia adalah untuk mempertahankan kedudukan Dr Mahathir sendiri serta kroni politik dan ekonomi di sekeliling pinggangnya. Oleh itu beliau memperalatkan polis untuk memperalatkan ISA. Beliau terus bercakap dengan lidah bercabang.

Rakyat ramai marah kerana Dr Mahathir menjalankan dasar politik yang zalim, tidak adil serta berbuih dengan rasuah, dan beliau melaksanakan dasar ekonomi yang membenarkan segelintir suku-sakatnya merompak kekayaan negara sehingga mengakibatkan berbagai-bagai kesulitan ke atas rakyat yang susah seperti kenaikan harga barang dan kejatuhan harga hasil petani-petani. Dalam UMNO sedang berlaku perpecahan, bahkan penentangan terhadap Dr Mahathir sendiri. Dalam masyarakat pula seolah-olah sengaja diapi-apikan isu perkauman dan ketegangan kaum masih belum kendur lagi. Suasana yang tidak menentu menyebabkan pasaran sahan turun merudum.

Untuk memesongkan perhatian rakyat daripada segala masalah yang berpunca daripada tindakannya, Dr Mahathir telah cuba menimbulkan berbagai-bagai isu, antaranya isu Siuqiu, isu kononnya orang bukan Melayu mencabar soal bahasa, agama dan kedudukan istimewa orang Melayu, dan isu perpaduan orang Melayu yang kononnya pecah-belah kini. Segala percubaan beliau ini tidak berjaya untuk memulihkan sokongan rakyat kepada beliau dan BN.

Sekarang beliau menimbulkan dakwaan kononnya ada rancangan militan gerakan reformasi dan oleh kerana itulah polis menangkap tujuh orang di awah ISA dan memberi amaran bahawa beberapa orang lagi akan ditangkap. Mungkin dengan menimbulkan suasana takut ini, pucuk pimpinan UMNO/BN berkira-kira sekurang-kurangnya mereka boleh memenangi hati orang Tionghua semula. Sebenarnya, rakyat ramai tidak mudah boleh ditipu lagi. Kebanyakan mereka tahu bahawa tuduhan ke atas tujuh orang tahanan ini adalah bohong dan palsu belaka. Sekiranya tuduhan ini benar, mengapa tidak dihadapkan saja mereka ke mahkamah terbuka?

Kononnya, mengikut Dr Mahathir, penangkapan di bawah ISA itu merupakan tindakan untuk mencegah kekacauan dan mungkin juga kematian daripada berlaku. Beliau sanggup mengatakan bahawa tindakan tidak boleh diambil di bawah undang-undang yang lain kerana mungkin polis akan mengambil masa yang lama kerana tidak mempunyai bukti yang cukup. Jadi gunakan sajalah ISA, kerana bukti yang kukuh tidak perlu. Pihak polis hanya perlu membuat tuduhan, walaupun palsu.

Apakah jenisnya undang-undang ini yang membenarkan tangkapan tanpa cukup bukti dan penahanan berlanjutan tanpa yang dituduh dibawa ke mahkamah? Adakah ini dia ajaran Islam dan prinsip kemanusiaan yang dianuti oleh Dr Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain? Adakah ini yang dikatakan hak asasi bagi rakyat ramai?

Kononnya, mengikut polis, ada bukti sejak dua tahun dulu gerakan reformasi telah bertemu 12 kali secara sulit. Bagaimana sulit jikalau nama jawatankuasa diumumkan dan keputusan disiarkan dalam internet? Seterusnya, mengikut polis kononnya gerakan reformasi sudah terlibat dengan rancangan menggunakan senjata dan bahan letupan sejak gerakan ini bermula. Sebenarnya, sudah berulang-ulang kali berlaku, apabila pemerintah mengambil tindakan menahan beramai-ramai di awah ISA, tuduhan menggunakan senjata ini dibuat terhadap mereka yang ditahan. Pada awal tahun-tahun 60an, ramai pemimpin parti-parti pembangkang telah ditahan kononnya kerana terlibat dengan gerakan militan. Pada tahun 1974 pula, berikutan penangkapan beramai-ramai selepas Peristiwa Baling, ada golongan pelajar yang dituduh kononnya terlibat dengan latihan senjata, walaupun bukti yang dikemukakan oleh pihak polis hanya senapang kayu yang digunakan untuk latihan drama.

Tidak ada bukti yang nyata telah dikemukakan bahawa pemimpin dan pelajar yang ditangkap beramai-ramai di bawah ISA itu terlibat secara langsung dengan penggunaan senjata. Begitu juga tuduhan rancangan militan yang kononnya melibatkan tujuh orang tahanan ISA terbaharu, tidak akan dapat dibuktikan tanpa ragu dalam mahkamah terbuka oleh Dr Mahathir atau pegawai-pegawai polis yang diperalatkannya. Melainkan pucuk pimpinan UMNO/BN dapat memperalatkan mahkamah pula, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini dalam kes-kes lain.

Kononnya, mengikut Dr Mahathir semalam, bahawa pada 14hb April ada rancangan mereka yang berhimpun secara aman untuk menyerahkan Memorandum Rakyat kepada SUHAKAM itu akan membawa bahan-bahan letupan serta senjata. Seperti yang berulang-ulang kali berlaku, perhimpunan reformasi biasanya berjalan dengan aman. Ia menjadi kelam-kabut hanya apabila pihak polis bertindak kasar. Dan kita tahu memang ada “agen-agen provokasi” yang digunakan oleh pihak pemerintah untuk mencetuskan kekacauan dan menggambarkan imej yang buruk terhadap gerakan reformasi.

Kami bimbang bahawa apabila Dr Mahathir membuat tuduhan kononnya perhimpunan pada 14hb April itu akan menggunakan senjata dan bahan letupan, maka akan ada pula nanti pihak-pihak tertentu yang akan memperalatkan “agen-agen provokasi” untuk menimbulkan kekacauan dan sekaligus membuktikan tuduhan Dr Mahathir itu adalah benar. Sekiranya ini benar-benar berlaku, ia akan merupakan satu perbuatan yang sangat zalim dan amat kotor. Kami menyeru anggota-anggota parti politik serta NGO, dan para reformis tulen yang berhimpun secara aman tidak akan membenarkan diri mereka terperangkap oleh taktik-taktik kotor pihak musuh.

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

13hb April 2001