Oleh Ummu Natasya

ummu_natasya@hotmail.com

 

Pindaan Untuk Selamatkan Mahathir

 

PRESIDEN Umno “seumur hidup” Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad berjaya “menipu” Ahli-ahli MT Umno. Sebenarnya cadangan “pertandingan” mengikut penggal Dewan rakyat adalah idea Dr. Mahathir dan pindaan itu diperkenalkan sebagai “menunjukkan” dialah seorang yang paling berkuasa menentukan “tempoh” pemilihan.

Dr. Mahathir memang boleh digelar diktator. Pemilihan Umno dia seorang sahaja yang tentukan. Pembubaran Parlimen juga dia yang tentukan. Maknanya, dalam negara ini dialah paling berkuasa dan sekaligus, menafikan hak ahli-ahli Umno yang sudah “mengajarnya” dalam pilihan raya umum ke 10 yang lalu.

Tanpa segan, tanpa silu, Dr. Mahathir menafikan suara bawahan dengan menolak semua cadangan dari ahli-ahli di peringkat bawahan dan hanya satu perubahan dilakukan, iaitu pemilihan hanya dibuat dalam tempoh 12 bulan selepas pilihan raya Dewan Rakyat.

Inilah cadangannya dan ahli-ahli Umno tertipu kononnya Umno mahu meminda perlembagaan supaya menjadi lebih demokratik tetapi “hanya untuk mengekalkan kedudukan” Dr. Mahathir yang tidak mahu turun dari kerusi itu.

Dr. Mahathir tidak sedar, masalah Umno sekarang adalah masalah dia seorang. Ahli-ahli Umno bencikan dia. Ketua-ketua bahagian Umno bencikan dia. Yang dia ada cuma para pengampu yang tidak berjawatan dalam Umno.

Dia ada Rais Yatim dan dia ada Zainal Abidin Zin yang cukup kuat mengampu sekarang. Kedua-duanya bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 yang “terpaksa menjilat” Dr. Mahathir.

Tiada satupun cadangan yang dikutip dari bawahan diterima oleh MT yang dikuasai Dr. Mahathir. Pemilihan MT di peringkat bahagian ditolak mentah-mentah kerana Dr. Mahathir tahu, dia akan dihina apabila bahagian-bahagian dan cawangan diberi kuasa. Dia akan dilawankan dengan seorang pemandu teksi yang berani dan sanggup bertanding menentangnya.

Dalam Umno, Dolah Badawi sudah tidak boleh diharapkan. Dia bukan pejuang seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia pak turut dan dia memang layak digelar Habibie Malaysia. Dia tumpang seronok dengan keputusan MT yang mengekalkan quota pencalonan. Dia tahu, tanpa quota, dia akan “tergugat” dengan kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh tunggu apa lagi? Nak tunggu lagi dalam Umno, bermakna Tengku Razaleigh akan “dikorbankan”. Betul dulu dia masuk Umno kerana mahu menawarkan diri menjadi gurkha tetapi hakikatnya dia dihina begitu rupa, bimbang kalau-kalau dia akan bertanding jawatan tinggi.

Umno sudah boleh ditalqinkan. Umno sudah boleh dikebumikan. Dan semua parti-parti dalam Barisan Alternatif (BA) mestilah menyediakan borang yang banyak kerana semakin hari semakin ramai bekas ahli Umno akan memohon menjadi ahli keADILan, Pas, DAP dan PRM. Mereka merajuk kerana mengharapkan Umno akan berbuat sesuatu untuk menarik kembali sokongan orang Melayu tetapi rupa-rupanya pindaan hanya dibuat untuk “mengekalkan” kedudukan Dr. Mahathir sehingga pilihan raya umum 2004.

Inilah saat kebanggaan parti-parti pembangkang yang sepatutnya diraikan. Umno sudah semakin teruk dengan keputusan ini. Pergaduhan Azalina Othman dengan Rafidah Aziz juga sedikit sebanyak akan menyebabkan Wanita Umno akan menyisihkan diri dari parti itu.

Dr. Mahathir mahukan Puteri Umno manakala Rafidah tidak mahu. Dr. Mahathir mahu menunjukkan kepada dunia bahawa “Umno” serius untuk mengajak remaja menyertai parti itu tetapi hakikat sebenarnya dia sebenarnya sedang menjahanamkan Umno yang sudah semakin reput.

Tunggu apa lagi… marilah beramai-ramai menyertai BA yang jelas cukup demokratik dan Islamik. Ahli-ahli Umno jangan terus bernostalgia kononnya Umno mesti terus hidup bagi menjamin kesejahteraan orang-orang Melayu di negara ini.