PERNYATAAN BERSAMA AKTIVIS REFORMASI - Lokman Adam

Kami para pejuang reformasi menentang sekeras-kerasnya langkah Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menimbulkan keresahan hubungan kaum sebagai tindak balas terutamanya setelah kekalahan Barisan Nasional di Pilihanraya Kecil Lunas pada 29 November lalu.

Kami mengutuk sesiapa sahaja dan mana-mana golongan yang merelakan diri mereka menjadi tali barut kepada agenda politik adu-domba perkauman Dr. Mahathir sebagai langkah permulaan bagi beliau untuk melakukan tindakan ganas terhadap Gerakan Reformasi dan musuh-musuh politik beliau.

Kami menegaskan bahawa Gerakan Reformasi adalah gerakan pelbagai kaum yang berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan dan prinsip sama rata. Kami juga menegaskan bahawa perjuangan reformasi adalah berteraskan ketuanan rakyat, iaitu rakyat pelbagai kaum secara kolektif dan bukannya ketuanan mana-mana kaum tertentu.

Gerakan Reformasi adalah perjuangan yang menggembling kesatuan rakyat pelbagai kaum di atas prinsip-prinsip murni dan bukannya di atas “expediency politik” atau kepentingan segelintir manusia berkuasa, kaya dan rakus.

Berdasarkan pendirian ini maka kami mendukung hasrat Suqiu atau Rayuan Pilihanraya Masyarakat Cina secara menyeluruh.

Dengan ini kami mengistiharkan solidariti kami dengan pemimpin-pemimpin Suqiu dan menganggap perjuangan mereka sebagai perjuangan kami.

Kami juga mengistiharkan bahawa kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh beberapa laman web yang mendakwa diri mereka sebagai pro-reformasi yang mengatakan bahawa “Suqiu harus ditolak dan menarik balik tuntutan yang melibatkan hak Bumiputera (Melayu)” adalah TIDAK MEWAKILI FIKRAH REFORMASI.

Kami dengan ini mengistiharkan bahawa pemikiran yang berada disebalik kenyataan bersama tersebut adalah bertentangan dengan semangat dan pendirian yang diperjuangkan oleh pemimpin Gerakan Reformasi Anwar Ibrahim dan aktivis-aktivis reformasi.

Kuala Lumpur
22 Disember 2000

1. Abdul Malek Hussin
2. Lokman Noor Adam
3. Khalid Jaafar
4. Sharifuddin Budin
5. Hishamuddin Rais
6. Mohd Fadil Abu Bakar
7. Abd Rahman Ibrahim
8. Zulkifli SM Anuar (ZUNAR)