Oleh Pena Suasa

 

Risaunya Dollah bila orang tak percaya

 

TIMBALAN Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi nampaknya “betul-betul” risau apabila orang ramai masih tidak percaya kes rompakan senjata di Grik sebagai benar-benar kejadian jenayah sebaliknya mereka menganggap sebagai “sandiwara Umno” dan skrip yang sengaja disusun.

Abdullah seharusnya menilaikan semula peranannya sebagai orang nombor dua negara, selepas dia hilang kemaruk nak jadi TPM, mengapa terlalu banyak sekatan dikenakan terhadap media cetak yang agak bebas.

Paling baru, dia yang nampak lembut, pijak semut pun tak mati, rupa-rupanya menjadi Habibie kepada Dr. Mahathir Mohamad dengan mengharamkan Eksklusif, sebuah akhbar mingguan yang tidak segarang mana.

Majalah DETIK diharamkan terus, seperti laporan mengatakan memang arahan Menteri Dalam Negeri. Sebelum itu, Panji Masyarakat juga diharamkan dan Harakah dikurangkan kekerapan penerbitannya, dari seminggu dua kali kepada sebulan dua kali.

Apakah Abdullah ingat dengan membuat pelbagai sekatan, maka rakyat akan membaca hanya akhbar yang pro pemerintah dan menonton TV lakonan Dr. Mahathir dan Abdullah? Jawapannya tidak. Rakyat menonton TV tetapi apa yang Abdullah cakap, apa yang Dr. Mahathir beritahu mereka “abaikan”. Malahan, warta berita atau buletin utama dianggap sebagai “drama minggu ini” yang pengarahnya adalah Dr. Mahathir dan Abdullah ‘Habibie’.

Rakyat tidak percaya apa yang dilaporkan oleh akhbar. Jadi, Abdullah dan Dr. Mahathir tentunya risau kerana inilah alat terakhir mereka untuk membohongi rakyat. Setiap kali pilihan raya, macam-macam berita pembohongan selain dari propanganda tidak diterima lagi. Habislah mereka kali ini, kerana tiada siapa yang akan terpengaruh.

Ada seorang dua “alat-alat” Umno yang akan bertempik menerangkan kononnya ini adalah kejadian jenayah. Arahan supaya sembahyang hajat dan doa kesyukuran yang diarahkan Majlis Tertinggi Umno tidak mendapat sambutan. Umno sudah jadi kera sumbang sekarang, apa yang dibuat semuanya tidak menjadi.

Hancurlah harapan Abdullah Habibie nak menjadi Perdana Menteri kerana tiada siapa yang mahu percaya cakap dia lagi. Kemaruknya untuk menjamah kerusi TPM sudah kesampaian tetapi dia tidak lepas untuk melangkah kerusi Perdana Menteri kerana Dr. Mahathir tidak mahu berundur dan dia tidak mendapat kepercayaan rakyat.

Apa yang dia cakap, rakyat ketawakan. Alahai… kesihannya Abdullah. Berapa bulan lagi dia dapat duduk di kerusi TPM itu, tiada siapa dapat meramalkan. Yang malang, isterinya yang selalu mewarnakan rambut tentunya akan hilang semangat untuk terus bersama-samanya, kerana Abdullah terpaksa berundur. Badan semakin kurus, suara semakin hilang dan rambut semakin jarang.

Dalam politik, modal paling besar ialah “percaya”. Bayangkan kalau tiada siapa mahu percaya dia lagi. Bayangkan kalau tiada siapa mahu percaya dia masih TPM. Bayangkan kalau tiada siapa mahu percaya dia mampu dan bayangkan kalau semua orang percaya dia berbohong mengenai tragedi Grik.