Oleh Pena Suasa

 

Usah peduli penulis yang kejar nama

 

KEBELAKANGAN ini ada-ada saja penulis buat onar. Dia dedah itu dan dedah ini, selepas 10 tahun pemerintahan PAS di Kelantan. Macam ada sejenis penyakit dalam diri mereka ini, mencari kesalahan PAS, keADILan, PRM dan DAP. Tugas membongkar penyelewengan, kezaliman dan skandal BN diketepikan.

Jesteru itu, saya menyokong tulisan SARJAN OPS 2004 dalam Minda Rakyat mengenai “penulis yang banyak buang masa” menulis mengenai seolah-olah pertelagahan berlaku antara PAS dengan keADILan.

Malangnya, dia tidak pula mahu mendedahkan pekung kepimpinan BN walaupun negara ini di perintah lebih 45 tahun oleh BN dan Perikatan.

Apa tujuan, apa motif, hanya Allah SWT dan dia sahaja yang mengetahuinya. Tapi, memang ada perancangan dari pihak Umno, mahu membuatkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur dari menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan.

Dengan ketiadaan Tuan Guru, senanglah mereka (Umno) mahu melaga-lagakan pemimpin pelapis PAS yang mereka yakin lebih mudah “dilaga-lagakan” jika Tuan Guru tidak lagi menjadi MB.

Memang ada sedikit kelemahan dalam pentadbiran PAS di Kelantan. Tidak semuanya cemerlang tetapi yang pasti, tiada rasuah yang dilindungi.

Maish banyak kepincangan berlaku dalam pentabiran BN di Malaysia. Lihat apa yang jadi di Kedah ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi MB. Malangnya, sehingga kini belum ada seorang pun penulis yang mahu tampil untuk mengorek cerita itu.

Akhbar-akhbar besar berusaha untuk menutup cerita Sanusi Junid. Wartawan kanan bernama Dato’ Zainuddin Maidin (Zam) tidak pula tampil untuk menyerang Sanusi. Dia asyik-asyik melahirkan dendamnya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kononnya, Anwarlah yang menyebabkan dia kehilangan kerusi Ketua Pengarang Utusan Melayu.

Alahai Zam, sikap berdendam tidak akan menguntung. Walaupun dia seorang yang cukup baik terhadap kedua ibu bapanya tetapi hatinya terlalu busuk terhadap Anwar yang didakwanya mengarahkan Dato’ Khalid Abdullah (Pengerusi Utusan Melayu ketika itu) mengumumkan pemecatan Zam di Alor Setar. Zam betul-betul gila talak mahukan semula kerusi Ketua Pengarang, lebih-lebih lagi ketika Anwar sudah tidak berada di dalam Umno sekarang.

Berbalik kisah penulis yang asyik-asyik mahu menulis soal PAS dan keADILan. Mereka mahu melihat PAS dan keADILan rosak. Mereka mahu menegur tetapi ada “udang di sebalik batu”. Mereka ada tujuan lain. Mereka punya motif. Mereka akan menafikannya. Tunggulah sehari dua ini, mereka akan melenting dan menuding kepada orang lain pula. Hanya orang lain yang salah, mereka tidak salah. Tuan Guru salah. Datin Seri Wan Azizah salah. Yang tidak salah, mereka. Penulis berwibawa kononnya! Cukuplah. Kalau ada idea, hulurkan atau lontarkan secara betul. Memang keADILan dan mungkin PAS memerlukan pandangan dan komen, tetapi bukan dengan cara “menghulur di hujung kaki”.

Penulis jenis ini sebenarnya memang tidak ramai. Maka, mereka ambil kesempatan untuk menjadi popular. Kononnya mereka sahaja yang betul. Orang lain semuanya tidak betul. Kalau boleh, usah dilayan penulis jenis ini. Rakyat di bawah tidak harus dikelirukan.

Bagi penulis jenis ini, mereka tidak ada perjuangan. Asalkan nama mereka “meletup” dan dapat habuan, mereka akan lakukan apa saja. Perjuangan ditolak ke tepi. Mereka tidak peduli, apakah kesan kerja-kerja kotor yang mereka lakukan itu merugikan atau tidak perjuangan orang Melayu dan Islam negara ini.

Usah layan. Penulis jenis ini akan menjadi lebih-lebih dan akan melatah. Penulis jenis ini akan terus menyerang dan terus membuat cerita-cerita buruk yang lebih dahsyat lagi. Tuan Guru tidak harus menoleh kebelakangan kerana masih banyak agenda yang mesti diteruskan.

 

habis