Salam Sejahtera, Salam Reformasi. Saya cukup pening dengan apa yang berlaku sepanjang minggu ini. Cuma saya rasa terpanggil untuk mmbuat satu comparison antara para pemimpin kita.



YB Ustaz Fadzil Noor
YB Dr Wan Azizah
Sdr Lokman Noor Hj Adam


‘Jangan Terus Membakar Api Perkauman’

Selepas empat bulan menerbitkan satu kenyataan akhbar dengan tajuk ‘Jangan Mempolitikkan Hak Istimewa Orang Melayu’ pada 19 Ogos yang lalu, saya cukup terpanggil untuk mengingatkan seluruh rakyat di negara ini amnya dan pimpinan partai politik dari Barisan Nasional dan organisasi bukan-kerajaan khususnya supaya ‘Jangan Terus Membakar Api Perkauman’.

Rentetan pergolakan politik terkini sudah cukup kritikal untuk rakyat berhak menyatakan kebimbangan dan kekhuatiran kesudahan trend retorik perkauman yang sedang disaksikan. Rakyat sedia memaklumi akan usaha desperate Dr Mahathir untuk memenangi semula hati orang Melayu sejak kemerosotan keyakinan yang dialami Umno selepas pilihanraya umum 1999. Tambahan, dengan kekalahan di Lunas, wujud semacam satu penentangan dari dalam Umno seperti kenyataan Dato Shahrir Samad untuk meletakkan punca kekalahan kepada Dr Mahathir sendiri. Umno/BN sendiri dalam keadaan yang amat tertekan dengan suasana politik mutakhir ini. Apa jua yang dilakukan untuk mendapat sokongan rakyat sekaligus untuk memecahbelahkan kesepakatan BA dan mempamerkan percanggahan pendirian dan kenyataan pimpinan BA tidak kesampaian. Rakyat sedia memaklumi perncangan jahat ini. Mutakhir adalah laporan kenyatan saya sendiri dimuka depan Utusan Malaysia (20 Disember) yang didakwa berdolak-dalik tentang kedudukan Suqui.

Sebaliknya Umno/BN terus-menerus tertekan akibat gelagat dan polisi yang dilihat sendiri oleh rakyat sebagai tidak konsisten dan berpura-pura. Kini Umno mahu nyalakan semula api perkauman untuk membuktikan bahawa merekalah juara dan pembela orang Melayu. Kenyataan Perdana Menteri sebelum pilihanraya Lunas tentang kaum ekstremis Cina yang seumpama komunis dalam Suqui serta penolakan mereka terhadap Sekolah Wawasan dan kritikan bahawa kaum Cina tidak mengenang budi dan berterima kasih kepada kerajaan telah menggoreskan hati dan maruah kaum Cina hingga menjadi penyebab utama kehilangan undi kaum Cina di Lunas.

Kelantangan Perdana Menteri yang mengulang-ulang tema ucapannya beberapa kali seperti biasa mengundang beberapa retorik lapuk pimpinan tertinggi Umno seperti kenyataan tidak bertanggungjawab Dato’ Rais Yatim yang lantas mendapat respons segera pimpinan BA dengan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi. Datuk Ali Rustam selaku Presiden Belia 4B pula memberi ‘muka’ kepada 100 tuntutan GPMS yang dikemukakan bagi menandingi 17 tuntutan Suqui bagi menjayakan perhimpunan 100,000 rakyat Melayu di Bukit Jalil. Tindakan GPMS yang seolah-olah mahu mendahului dan menyudutkan Pemuda Umno dari segi menjadi wira dan juara pembela Dr Mahathir dan Umno mencetuskan tandatanya besar bagaimana sebuah pergerakan pelajar yang sewajarnya mengangkat agenda perpaduan dan keharmonian antara kaum, telah berjaya diperkudakan oleh politik perkauman. Ini mengingatkan kita kepada senario politik Dr Mahathir selepas tahun 69 yang menggunakan wadah pelajar ketika menentang Al-Marhum Tengku. Senario politik negara diramalkan akan terus menjadi semakin gawat sehingga ramai yang telah pun mula gusar dan takut akan bahaya bencananya.

Negara yang baru sahaja pulih dari kegawatan ekonomi, sangat sangat berhajatkan kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum. Mainan politik perkauman adalah satu yang paling tidak bertanggungjawab dan akan memusnahkan dan meruntuhkan perpaduan antara kaum. Adalah sukar untuk menolak dakwaan bahawa suasana ini sengaja dirancang supaya senario perhubungan kaum menjadi keruh dan tegang. Tampaknya seperti akan berulang suasana sebelum berlaku Operasi Lalang 1987 di mana kerajaan menggunakan dakwaan konflik kaum sebagai alasan untuk menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi melenyapkan suara pembangkang.

PAS dan Barisan Alternatif ingin mempertegaskan supaya rakyat awam jangan sekali kali termakan dengan diayah Umno/BN bahawa konflik perkauman adalah terbitan dari tuntutan Suqui dan penolakan Sekolah Wawasan. PAS dan BA adalah cukup jelas dalam perkara ini kerana penerimaan kita terhadap peruntukan dalam tuntuan Suqui pada pilihanraya yang lalu adalah tertakluk kepada apa jua yang menasabah, adil dan wajar dalam tanggapan pimpinan BA. Penerimaan terhadap tuntutan Suqui juga adalah sejauhmana ia sejajar dengan peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dari segi kedudukan orang Melayu dan agama Islam, sepertimana ia juga sedia dihormati dan diterimapakai oleh seluruh komponen parti BA. PAS dan BA menerima tuntutan Suqui dari perspektif yang berteraskan Prinsip dan penilaian Keadilan. Bahkan dalam perspektif amalan demokrasi berparlimen, PAS dan BA bersedia untuk menyaksikan bahawa Suqui dibenarkan mengenengahkan tuntutan mereka untuk didialog dan didebatkan dengan rasa penuh tanggungjawab oleh semua pihak demi mencari kebaikan bersama dan memperbaikki apa jua kepincangan perlaksanaan dan polisi-polisi kerajaan Barisan Nasional. Presiden MCA dan pimpinan BN yang lain tidak perlulah terlalu hendak mengampu Pengerusi BN sangat kerana mereka telah sepakat menerima tuntutan Suqui ini ketika pilihanraya 1999 yang lalu. PAS dan BA adalah konsisten dengan sikap kami dengan sokongan yang diberikan semasa pilihnaraya dulu.

Ternyata bahawa penerimaan BN terhadap tuntutan Suqui ketika pilihanraya dahulu ialah bermotifkan politik. Kenyataan Dr Mahathir kepada soalan lisan MP Kota Melaka akan mengapa BN menerima tuntutan Suqui sebelum pilhanraya umum 1999 menyerlahkan semua muslihat UMNO/BN. Jawapan beliau yang menyebutkan bahawa penerimaan mereka adalah untuk mempastikan bahawa BN mendapatkan sokongan kaum Cina benar-benar mencelikkan kesedaran kaum Cina serta memaparkan tembelang Umno/BN. Bukan sahaja kenyataan beliau awal-awal ini mencetuskan kontroversi yang tidak berkesudahan dan mencurigakan kaum Cina seumpama orang bukan Melayu boleh jadi PM, kenyataan-kenyataan mutakhir ini, mendedahkan sebenar-benarnya Dr Mahathir mahu kembali menjadi pelampau Melayu dan ultra-nasionalis Melayu. Sikap tidak konsisten dan penuh kontradiksi ini sentiasa meletakkan rakyat terus tertanya-tanya berapa lama lagikah negara ini akan dipimpin oleh pimpinan seperti ini.

Umno/BN akan terus membakar api perkauman di negara ini. Selama ini, inilah pendekatan yang menjadikan Umno dilihat oleh kaum Melayu sebagai juara dan pembela orang Melayu. Umno terus-menerus kehilangan sokongan orang Melayu. Dosa dan jenayah Dr Mahathir telah sampai kekemuncaknya. Api perkauman yang cuba dimainkan Umno tidak akan membakar orang lain kecuali diri mereka sendiri. Rakyat perlu bertenang dan bertindak wajar dan bijak untuk mengelakkan konflik perkauman dapat diulang tayang di bawah ‘pengarahan’ Umno/BN. Kita tidak mahu Operasi Lalang berulang sepertimana kita tidak mahu permusuhan antara kaum dan agama dapat dieksploitasikan oleh golongan oportunis yang selama ini kekal berkuasa dengan ‘memperbodohkan’ rakyat dengan pendekatan ‘pecah dan perintah’.

PAS dan BA ingin memberi jaminan kepada rakyat seandainya kita kekal dengan kewajaran dan mendukung keadilan dan keluhuran perundangan maka dengan izin Allah, kita akan dapat mengelakkan episod dan tragedi konflik perkauman yang dikatakan sengaja dirancang dan ditaja oleh Umno/BN. Saya menyeru seluruh warga PAS dan BA khususnya dan rakyat amnya supaya tidak terjebak dengan panggilan samada atas nama bangsa Melayu atau Cina untuk keluar berdemonstrasi bagi menuntut hak dan pembelaan kaum masing-masing. Negara tercinta ini memerlukan formula politik baru dan falsafah perhubungan kaum yang baru seperti yang ditampilkan oleh Barisan Alternatif untuk mendukung tinggi cita-cita untuk mengembalikan Keadilan dan Kesejahteraan di bumi Malaysia ini seperti yang termaktub dalam Manifesto Bersama BA: – “Ke Arah Malaysia Yang Adil”

Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor
Presiden PAS
19 hb Disember 2000


Pakatan pembangkang tolak tuntutan Suqiu - Wan Azizah

Dari Utusan Malaysia, Ahad

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pakatan pembangkang menolak tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang bertentangan dengan asas perlembagaan negara khususnya pemansuhan status bumiputera dan bukan bumiputera serta sistem kuota.

Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, konsep perlindungan kepada kedudukan istimewa bumiputera telah termaktub dalam perlembagaan negara.

''Bagi kami, (konsep itu) bermakna membantu secara adil bumiputera yang miskin dan yang tertinggal dari arus pembangunan negara,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang difakskan ke sini, hari ini.

Menurut beliau, pakatan pembangkang mempunyai pendirian yang jelas dan jitu dalam menolak tuntutan-tuntutan yang sensitif itu.

Bagaimanapun pada masa yang sama, katanya, keempat-empat gabungan parti pembangkang masih berpegang pada pendirian yang dibuat pada 19 Oktober tahun lalu, untuk menerima sebahagian besar daripada tuntutan Suqiu.

Ini kerana, katanya, sebahagian besar daripada tuntutan tersebut tidak ada kena-mengena langsung dengan kedudukan bumiputera atau sistem kuota bumiputera.

''Tumpuan memorandum Suqiu yang diumumkan sebelum pilihan raya umum 1999 adalah tentang keadilan sosial, pembahagian kekayaan negara, pembanterasan rasuah, sistem kehakiman yang bebas, media yang tidak dikawal eksekutif dan pilihan raya yang adil,'' katanya.


PERNYATAAN BERSAMA AKTIVIS REFORMASI
Lokman Adam

Kami para pejuang reformasi menentang sekeras-kerasnya langkah Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menimbulkan keresahan hubungan kaum sebagai tindak balas terutamanya setelah kekalahan Barisan Nasional di Pilihanraya Kecil Lunas pada 29 November lalu.

Kami mengutuk sesiapa sahaja dan mana-mana golongan yang merelakan diri mereka menjadi tali barut kepada agenda politik adu-domba perkauman Dr. Mahathir sebagai langkah permulaan bagi beliau untuk melakukan tindakan ganas terhadap Gerakan Reformasi dan musuh-musuh politik beliau.

Kami menegaskan bahawa Gerakan Reformasi adalah gerakan pelbagai kaum yang berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan dan prinsip sama rata. Kami juga menegaskan bahawa perjuangan reformasi adalah berteraskan ketuanan rakyat, iaitu rakyat pelbagai kaum secara kolektif dan bukannya ketuanan mana-mana kaum tertentu.

Gerakan Reformasi adalah perjuangan yang menggembling kesatuan rakyat pelbagai kaum di atas prinsip-prinsip murni dan bukannya di atas “expediency politik” atau kepentingan segelintir manusia berkuasa, kaya dan rakus.

Berdasarkan pendirian ini maka kami mendukung hasrat Suqiu atau Rayuan Pilihanraya Masyarakat Cina secara menyeluruh.

Dengan ini kami mengistiharkan solidariti kami dengan pemimpin-pemimpin Suqiu dan menganggap perjuangan mereka sebagai perjuangan kami.

Kami juga mengistiharkan bahawa kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh beberapa laman web yang mendakwa diri mereka sebagai pro-reformasi yang mengatakan bahawa “Suqiu harus ditolak dan menarik balik tuntutan yang melibatkan hak Bumiputera (Melayu)” adalah TIDAK MEWAKILI FIKRAH REFORMASI.

Kami dengan ini mengistiharkan bahawa pemikiran yang berada disebalik kenyataan bersama tersebut adalah bertentangan dengan semangat dan pendirian yang diperjuangkan oleh pemimpin Gerakan Reformasi Anwar Ibrahim dan aktivis-aktivis reformasi.

Kuala Lumpur
22 Disember 2000


Saya pun pun pening...Tak pernah pulak saya dengar Suqui beri sokongan 100% menyeluruh pada Reformasi sebelum atau sesudah pilihanraya ke 10. Namun saya yakin pucuk pimpinan tahu membuat perkara yang paling matang...

 

Bapa Yang Pening,
Kuala Kubu Bharu