PENDAPAT

 

 

Secara ringkas, saya berpendapat apa yang disyaki oleh Afa dalam tulisannya bertajuk : Berita Mengenai JIM, ingin saya mengajak mereka, sesiapa sahaja yang berminat dengan keADILan atau Barisan Alternatif (BA), supaya menyerahkan segala aduan mereka, syak mereka, prejudis mereka kepada pucuk pimpinan parti.
Alamatkan sahaja aduan atau rasa tidak puashati mereka kepada Ibu Pejabat keADILan dan jangan ditulis dimana-mana media, termasuk lama-laman pro reformasi kerana dikhuatiri disalah tafsir dan dikutip media massa pro pemerintah untuk menunjukkan betapa keADILan memang dalam krisis.
Ini pandangan saya. Saya tidak berhasrat mengajar sesiapa tetapi jika kita para penyokong reformasi tidak dapat menerima sesuatu yang kita tidak senangi, usah kita ikutkan perasaan dan fikiran kita. Mengesyaki JIM atau mana-mana pertubuhan yang mirip kepada reformasi amat merugikan.
Alhamdulilah JIM bersimpati dengan reformasi. Apa akan jadi kalau mereka, JIM keseluruhannya meninggalkan kita, iaitu perjuangan reformasi?
Hari ini, siapa mereka dan apa fahaman mereka tidak penting. Yang penting mereka bersimpati. Nak mengajak mereka, tiada habuan yang boleh dijanjikan. Kita bukan parti yang berkuasa. KeADILan bukan parti yang banyak duit, walaupun dituduh sebaliknya.
Demi Allah, saya sendiri kalau nak berkcil hati, memang sudah saya tinggalkan keADILan. Tetapi saya yakin perjuangan keADILan adalah benar Saya yakin keADILan akan menang juga bersama-sama BA.
Saya sendiri pernah dituduh di depan khalayak oleh seorang Ahli Parlimen keADILan mengatakan; "Usah percaya dia (menunjukkan jari ke arah saya). Dia banyak beri maklumat kepada Umno."
Saya tidak ambil hati walaupun saya malu sebenarnya. Tetapi keADILan bukan Ahli Parlimen itu seorang. Dia hanya salah seorang penyokong dan mungkin ahli seperti kita juga. Saya tetap menyokong, bersimpati dan yakin kepada keADILan.
Saya sendiri pernah menulis mesej kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. Mesej saya berbunyi; "Inilah sumbangan saya. Saya tidak diberikan apa-apa peranan dan saya mainkan peranan yang saya termampu dan yakin boleh membantu keADILan."
Saya tahu mesej itu sampai. Kalau tidak silap saya Saudara Saifuddin Nasution melihat mesej itu ketika Dato' Seri Anwar membacanya di Mahkamah Tinggi. Beliau tidak menjawabnya semula tetapi ia tidak menyebabkan saya mengesyaki yang saya tidak diperlukan. saya terus memberikan simpati dan kalau perlu, saya akan ke hadapan di mana-mana sahaja, di depan sesiapa sahaja untuk mempertahankan Dato' Seri Anwar dan keADILan.
InsyaAllah, saya masih kental dengan kepercayaan dan keyakinan saya selama-lamanya.

Pena Suasa