Oleh Pena Suasa

 

Berita Internet Jadi Kenyataan

 

SEBULAN yang lalu, iaitu pada 3 Julai 2000, saya ada menulis satu berita bertajuk Abu Hassan Pula Diserang….

Seperti biasa, berita itu tidak mendapat sebarang respon terus dari pembaca semua. Saya tidak risau kerana saya mempunyai asas kukuh ketika menulis berita itu.

Hari ini, lebih kurang 36 hari selepas berita itu tersiar (dikebanyakkan laman pro reformasi), ia menjadi kenyataan.

Yang membantu mempercepatkan lagi proses perletakan jawatan Abu Hassan itu ialah aduan dan kenyataan yang dibuat oleh Saudara Ahmad Lutfi Othman dan laporan-laporan berkaitan Abu Hassan dalam beberapa media cetak terbitan Sdr. Ahmad Lutfi.

Benar, sebab paling munasabah Abu Hassan berundur ialah kes Jais dan kemudiannya, cerita beliau mempunyai anak luar nikah.

Tetapi, cerita disebalik kejadian terbuka ini ialah Abu Hassan sebenarnya diminta berundur kerana terlibat dengan politik wang ketika kempen bertanding jawatan Naib Presiden Umno dahulu.

Dr. Mahathir Mohamad tidak membenarkan ia didedahkan kerana boleh membawa kerugian kepada Umno yang sudah cukup tenat. Siapa akan menggantikan Abu Hassan sebagai MB Selangor? Nama paling atas ialah Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad, Timbalan Menteri Besar Selangor sekarang dan seorang lagi, Dato’ Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan.

Abu Hassan juga kecewa dengan beberapa wakil rakyat di Selangor yang melaga-lagakannya dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Abu Hassan juga kecewa apabila beliau tewas dan kemudiannya tidak mendapat tempat sebagai anggota MT tambahan.

Kepala ‘batu api itu’ ialah Dato’ Shariff Jajang yang mula-mula mencadangkan supaya Abu Hassan bertanding kerusi Naib Presiden dan merupakan satu-satunya calon dari Selangor yang disokong oleh Perhubungan Umno Negeri itu.

Orang kedua yang mengapi-apikan Abu Hassan supaya meneruskan hasrat itu ialah Dato’ Seri Onn Ismail yang turut bertanding Timbalan Pengerusi Tetap Umno.

Akhirnya Abu Hassan tewas, Onn menang dan yang kekal menjadi Exco ialah Shariff Jajang. Permainan politik Selangor yang cukup licik ini mudah diketahui. Mana-mana pihak yang memegang kuasa, secara mudah mendapat sokongan tetapi yang tidak berkuasa lagi, akan dilupakan begitu sahaja.

Soalnya sekarang, selepas Abu Hassan, Menteri Besar manakah yang akan terpaksa mengundurkan diri pula?

Ada satu sumber dari ibu pejabat Umno memberitahu, Tan Sri Isa Samad yang cukup kuat memaki hamun Perdana Menteri akan menerima nasib serupa Abu Hassan.

Isa cukup berkecil hati dengan Dr. Mahathir kerana tidak melantiknya menjadi salah seorang anggota MT tambahan setelah beliau tewas kerusi Naib Presiden Umno. Hujah Isa, Negeri Sembilan mempunyai tujuh bahagian, sepatutnya mempunyai dua wakil dalam MT.

Berbanding dengan Perlis, dari tiga bahagian kini diwakili dua anggota MT. Seorang menang bertanding dan seorang lagi dilantik.

 

 

9hb. Ogos 2000