Oleh Pena Suasa

 

Untuk Apa Polis Kawal Markas Tarbiyah?

 

SAYA, seperti penyokong dan pendokong re-for-ma-si yang lain memang marah betul dengan pihak polis, khususnya yang hadir dan mengelilingi Markas Tarbiyah PAS, Taman Malewar malam 4 Ogos lalu kerana tidak ada perlunya mereka beramai-ramai ke situ.

 

Di persimpangan Greenwood, sudah ada dua tiga anggota polis trafik, yang berdiri di tepi jalan, seolah-olah mahu menakut-nakut orang ramai yang berhasrat masuk ke Taman Malewar. Tiada siapa takut kepada polis. Kalau orang ramai takut, mustahil kereta peronda polis yang ada mesin gun dan gari dibawa lari?

 

Saya dapat tahu, ceramah perdana yang mahu dianjurkan oleh penceramah keADILan melalui laman web pro reformasi dan menjadi lebih terkejut, geram dan marah kerana suasana tenang dalam kesibukan orang yang ke hulu ke hilir di sekitar Markas Tarbiyah PAS itu, diselangselikan dengan kehadiran anggota polis berpakaian seragam dan tidak berpakaian seragam.

 

Untuk apa mereka berkawal di situ? Apakah ada maklumat yang mereka terima akan berlaku kekecohan? Mengapakah pembesar suara yang biasanya boleh didengari di kawasan sekitar dimatikan kononnya kerana arahan pihak polis?

 

Sukalah saya mencadangkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan menjadikan polis sebagai musuh rakyat.

 

Walaupun tanpa hebahan berita dari media massa kebangsaan, rakyat masih mampu mendapat maklumat.

 

Kalau polis yang lebih ramai dari penunjuk perasaan di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad sudah dianggap biasa, tetapi kehadiran polis yang begitu ramai dan lengkap bersenjata di sebuah taman dan perkampungan Melayu Taman Malewar, cukup tidak bersesuaian.

 

Sedikit sebanyak, ia akan menjadikan penduduk di kawasan itu gelisah dan risau, kalau-kalau berlaku perkara yang tidak diingini dengan kehadiran sejumlah besar anggota polis.

 

Kalau benar polis berkawal di situ atas aduan orang ramai penduduk kawasan itu, usahlah dihantar sebegitu ramai berkawal di situ. Orang ramai tahu, tanpa arahan pihak atasan, khususnya Abdullah Ahmad Badawi, menteri yang lemah dan penakut ini, tidak mungkin mereka datang ke situ.

 

Banyak lagi tugas polis yang perlu dilaksanakan. Anggota yang ramai itu sepatutnya menumpukan tugas menyiasat aduan yang sudah dibuat oleh orangramai mengenai pelbagai kes, termasuk dakwaan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafiee Yahaya mengenai tindakan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menghalangnya menyiasat bekas Ketua Pengarah EPU, Tan Sri Ali Abu Hassan Sulaiman yang didapati mempunyai RM100,000 di laci pejabatnya. Sumber wang itu disangsikan.

 

Anggota polis sepatutnya diberikan tugas dan tanggungjawab supaya lebih tertumpu kepada masalah-masalah rakyat dan jangan cuai ketika bertugas. Amat membuang masa apabila mereka digunakan untuk berkawal di sekitar perumahan orang-orang Melayu yang tidak pernah berlaku apa-apa rusuhan akibat ceramah dan aktiviti parti-parti pembangkang di situ.

 

Atau, Malaysia akan menjadi sebuah negara polis? Bolehkah Abdullah Ahmad Badawi diberikan peluang menjadi Perdana Menteri jika begini sikapnya? Para pendokong dan penyokong reformasi mestilah mempunyai satu tekad memastikan Abdullah Badawi tidak sampai ke kerusi Perdana Menteri. Dia akan menjadi seorang pemimpin yang cukup zalim, mungkin lebih zalim dari bossnya, Dr. Mahathir Mohamad atau setidak-tidaknya, setanding dengan kezaliman bossnya.

 

Orang lemah akan menggunakan segala-gala sumber untuk menutup kelemahannya. Orang lemah, akan menunjukkan dia lebih kuat dari orang lain. Orang lemah, akan menjadi zalim yang amat sangat bagi menyampaikan hajatnya menjadi Perdana Menteri.

 

Kuatkan semangat, lipat ganda usaha dan tambah kawan-kawan, sanak saudara untuk bersama-sama kita. Pastikan di dada dan fikiran mereka hanya Barisan Alternatif (BA) dan tolak Barisan Nasional (BN). Cukuplah, mereka sudah terlalu lama berkuasa. Mereka sudah terlalu lama zalim. Mereka sudah terlalu lama melakukan penyelewengan. Kita, rakyat yang boleh menyebabkan mereka semua turun dari tahkta. Gunakan kuasa yang kita ada. Cuba kita tukar sekali, kita tukar seperti rakyat Kelantan dan Terengganu menukar. Apakah rakyat Kelantan dan rakyat Terengganu susah sekarang? Tentu jawapannya tidak. Jadi, takut apa kita buat perubahan. Tanamkan tekad dan kuatkan azam. Kita tukar kerajaan persekutuan dalam pilihan raya akan datang.

 

Usah risau dengan cerita-cerita DAP tidak selesa dengan PAS. Usah risau dengan cerita beberapa orang bertindak meninggalkan keADILan. Usah risau jika kita dengar ada pemimpin-pemimpin keADILan berkrisis sesama sendiri.

 

Mereka tidak penting. Yang penting diri kita. Gunakan hak kita semua semaksimunya. Kita beri sumbangan kepada BA. Yang tidak ada jawatan dalam parti, gunakan kebolehan bercakap untuk mengajak, memujuk dan menerangkan kepada sanak saudara, kawan-kawan dan jiran supaya mereka menyokong perjuangan kita.

 

Yang ada wang, gunakan sedikit wang untuk fotostat risalah, artikel dan apa juga bahan-bahan yang berfaedah kepada BA.

 

Yang ada tenaga dan masa, gunakan untuk membantu penyebaran risalah dan maklumat dengan apa cara sekali pun, khususnya melalui internet, bahan bercetak dan sebagainya. Poskan kepada kenalan risalah-risalah perjuangan. Atau, e mail kepada kawan-kawan bahan-bahan yang baik, supaya mereka tidak tertinggal dari mendapatkan maklumat.

 

5hb. Ogos 2000