REFORMASI VS KEADILAN

 

 

Kebelakangan ini banyak diperkatakan di Laman-laman Reformasi tentang masa depan Reformasi malahan ada yang secara terang-terangan menyalahkan kepimipinan Parti keADILan terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan perjuangan REFORMASI. Pada masa kita terlalu sebok dengan Pilihanraya Telok Kemang tempohari kita di sibukkan lagi dengan protes Laman-laman Reformasi yang bertafakkur untuk menuntut keadilan di dalam keADILan.

Pertama sekali saya berpendapat kita harus lebih rasional dalam menangani isu-isu sebegini dan tidak seharusnya keADILan sahaja yang dibebankan dengan agenda Reformasi kerana kita harus sedar bahawa Reformis itu sendiri terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi ahli pelbagai parti, baik keADILan, PAS, DAP, PRM dan mungkin juga UMNO. Jadi seharusnya Agenda Reformasi menjadi agenda bersama BA kerana semua pemimpin BA harus sedar bahawa kecemerlangan mereka pada pilihanraya ke 10 yang lepas adalah terhasil dari gelombang Reformasi.

Keduanya Laman-laman Reformasi tidak seharusnya menjadi satu medan untuk menekan sesama kita. Contohnya usaha mendesak beberapa orang Pimpinan kita meletakkan jawatan tidak wajar dimainkan secara berleluasa di Laman-laman Reformasi. Mungkin ada beberapa kelemahan atau kesilapan yang telah dibuat oleh beberapa individu Pimpinan Parti namun saya merasakan biarlah ianya di selesaikan mengikut saluran Parti. Kita mungkin berniat untuk mengukuhkan parti dengan cara menegur secara terbuka dan ianya tidak menjadi satu kesalahan namun perkara ini akan digunakan oleh pihak musuh untuk menghancurkan kita nanti. Biarlah kita berhabis-habisan menentang kemungkaran BN dan jangan bazirkan masa kita dengan berbalah sesama sendiri.

Kalau kita benar-benar mengimpikan kehancuran BN maka sebaiknya Laman-laman Reformasi ini kita gunakan sepenuhnya untuk mendedahkan segala kebusukan mereka. Segala kemungkaran mereka sejak merdeka lagi harus kita dedahkan di sini. Dan di Laman-laman ini juga menjadi satu medan ilmiah untuk kita meluahkan pendapat dan kepakaran kita untuk kita gembelengkan menjadi satu kekuatan menentang musuh politik kita yang satu iaitu BN. Ingatlah musuh kita bukan kepimpinan kita tetapi adalah BN.

Ketiganya Parti keADILan juga harus bersikap terbuka dan pro aktif di dalam menghadapi cabaran sebegini. Segala kelemahan dan kepincangan tidak harus di sorokkan ke bawah permaidani semata-mata. Ianya perlu diselesaikan dengan seberapa segera yang mungkin. Jangan sampai ahli di peringkat bawahan merasa jelik dengan kelemahan-kelemahan parti. Parti keADILan tidak harus merasakan bahawa usia muda kita boleh dijadikan satu alasan untuk melindungi kelemahan-kelemahan yang telah dikenal-pasti. Pengurusan Parti amat berbeza dengan pengurusan NGO namun beberapa aspek pengurusan dalam NGO boleh digabung-jalinkan kepantasan Politikus serta keberanian Reformis untuk menjadi faktor kejayaan keADILan di dalam arena politik Malaysia.

Juga setiap Pimpinan Tertinggi keADILan dalam masa terdekat ini MESTI membina 'NAMA' mereka tersendiri. Kita tidak harus malu mengakui tidak ramai di kalangan Pimpinan keADILan yang dikenali masyarakat umum. Setiap Pimpinan harus berjaya menempatkan diri mereka ditengah-tengah arena politik negara sekurang-kurangnya untuk menyaingi ramai Pimpinan BA yang lain. Tiada gunanya kita mewar-warkan kepada umum kita akan menjadi Alternatif kepada BN yang korup namun pada masa yang sama kita gagal mengenengahkan Pimpinan Alternatif kita. Agenda perjuangan parti harus melangkaui faktor DSAI namun Pembebasan DSAI harus menjadi satu perjuangan utama. Harus ada agenda menaikkan nama Pimpinan kita ini dan kita tidak harus segan mencontohi keberkesanan Agenda Sumpah Keramat Pemuda keADILan yang telah berjaya menaikkan nama ramai Pimpinan Pemuda keADILan.

Keempatnya Reformis juga harus bertanya kepada hati kecil masing-masing apakah semangat kita sudah mulai luntur. Atau adakah kita merasakan tuntutan kita yang bersulamkan siraman air asid dan gas pemedih mata serta hentaman dan hentakan FRU selama ini sudah tercapai. Jangan kita jadikan alasan kelemahan pihak lain yang menyebabkan kebosanan di dalam perjuangan ini. Reformis harus menyertai parti kerana inilah laluan utama kita mencapai kuasa politik dan parti amat memerlukan individu yang berani, bersemangat dan kuat bekerja yang dimiliki oleh setiap Reformis. Perjuangan mesti di teruskan selagi nyawa dikandung badan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang mandi biar sampai basah. ALANG-ALANG BER-REFORMASI BIAR SAMPAI KEZALIMAN DIKUBURKAN.

Wassalam

ZackWhy
Shah Alam