PERGERAKAN PEMUDA KEADILAN MELAKA

KENYATAAN AKHBAR

20 April 2001

PENAHANAN TERBARU BUKTI MAHATHIR TERDESAK

Pergerakan Pemuda keADILan Negeri Melaka mengecam keras tindakan polis menahan beberapa orang aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 termasuk mangsa yang kelapan Dr. Badrul Amin dan menggesa agar semua tahanan dibebaskan dengan segera. Penahanan tersebut yang dibuat sehari selepas laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dibentangkan di Parlimen seolah-olah seperti mencabar SUHAKAM bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mereka. Malah kenyataan biadab Dr. Mahathir seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Malaysia hari ini seolah-olah memandang sepi "fact findings" dan "recommendations" daripada SUHAKAM.

Walau apapun alasan yang diberikan Pergerakan Pemuda keADILan Melaka menegaskan bahawa penahanan tersebut adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang kerana ianya tiada kaitan dengan ‘ancaman terhadap keselamatan negara’ seperti yang digembar-gemburkan oleh pemerintah. Sebaliknya, penahanan tersebut adalah bermotifkan politik, iaitu untuk melemahkan kebangkitan rakyat menentang segala bentuk kezaliman dan kepincangan pemerintah serta menakut-nakutkan para lawan politik mereka. Ini terbukti apabila penyerahan Memorandum Rakyat kepada Suhakam pada 14 April 2001 berlangsung dalam keadaan yang aman walaupun sebelum itu Ketua Polis Negara mendakwa bahawa perhimpunan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan para aktivis reformasi untuk menggulingkan kerajaan melalui keganasan.

Penahanan para aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri menunjukkan bahawa pihak pemerintah tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka di bawah mana-mana undang-undang jenayah di negara ini. Sekiranya pihak pemerintah mempunyai bukti yang kukuh, Pemuda keADILan Negeri Melaka menggesa agar mereka segera dibawa ke mahkamah untuk didakwa dan diadili. Penahanan mereka secara berterusan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri hanya akan mengesahkan pandangan umum bahawa tuduhan-tuduhan liar pemerintah terhadap para aktivis reformasi yang dipropagandakan melalui media-media mereka adalah tidak berasas dan berunsurkan fitnah semata-mata. Tindakan tersebut juga merupakan satu bentuk pencabulan yang serius terhadap hak seseorang individu yang dituduh untuk dibacarakan dan membela diri di mahkamah keadilan.

Pemuda keADILan Negeri Melaka juga mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa para tahanan tersebut berkemungkinan menerima layanan yang buruk di tempat tahanan. Ini adalah berdasarkan kepada tragedi yang pernah menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di lokap polis serta aduan-aduan mengenai kekejaman polis sepertimana yang telah dilaporkan oleh orang awam. Justeru, untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin, Pemuda keADILan Negeri Melaka menggesa agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dibenarkan untuk melawat tempat di mana para tahanan itu ditahan selaras dengan fungsi mereka di bawah Seksyen 4(2)(d) Akta Suruhanjaya Hak Asassi Manusia 1999.

Pemuda keADILan Negeri Melaka dengan ini menggesa agar kesemua aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dibebaskan dan mengecam keras tindakan pemerintah menggunakan undang-undang yang represif untuk menjayakan strategi kotor politik mereka. Ingatlah, tindakan itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat rakyat untuk menentang kezaliman pemerintah, sebaliknya semakin menyemarakkan daya juang mereka untuk melakukan perubahan.

t.t
SHAMSUL ISKANDAR HJ. MOHD. AKIN
Ketua Pemuda keADILan Negeri Melaka. (shamsuliskandar@yahoo.co.uk)