KOMENTAR

SALAM REFORMASI

15hb Januari 2001

 

 

 

KITA HARUNGI SEKALI LAGI PERTANDINGAN DALAM MEREBUT JAWATAN DALAM keADILan (CAWANGAN & BAHAGIAN)

 

 

 

Dalam mesyuarat MPT yang di adakan pada 8hb Januari 2001 (keADILan/04/01(MAT01)01, MPT telah meluluskan agar Mesyuarat Agung Cawangan  dan Bahagian yang berdaftar  diadakan (selewat-lewatnya) 28 Feb 2001 bagi cawangan dan bahagian pada (selewat-lewatnya 31hb MAC 2001). Setiausaha Agung keADILan telah memaklumkan semua MPT mengenai Mesyuarat tersebut.

 

Dalam melalui Mesyuarat seumpama ini pada tahun sudah, Komentar berdepan dengan pelbagai masalah perebutan dan masalah-masalah lain yang hampir menyamakan kita dengan budaya lama politik UMNO yang sepatutnya kita ubah dalam menuntut reformasi.

 

Kalangan ahli politik keADILan harus mempunyai kesedaran bahawa agenda politik baru yang mahu di bawa oleh Barisan Alternatif tidak menjamin tanah berekar-ekar, projek berjuta dan kehidupan yang mudah andai BA memerintah kelak (Insyallah). Politik baru seharusnya menjamin bahawa kepimpinan lahir dari rakyat dan jangan sekali-kali menutup pintu parti itu kepada rakyat. Komen yang mengatakan bahawa sebarang  kritikan tidak wajar di buat andai kita bukan orang parti meleset dari slogan yang kita laungkan " suara rakyat suara keramat". Apakah dengan berdaftarnya sesaorang itu sebagai ahli parti  baru seorang boleh bergelar rakyat? Ikhlas pesanan dari Komentar adalah " kritikan dapat membina kesedaran dan kesedaran dapat menjana kekuatan lantas kekuatan adalah resipi kejayaan dalam mengharungi politik tanahair ini"

 

Adalah menjadi syarat bagi kita yang bernaung di bawah sistem demokrasi untuk mengadakan pemilihan. Pemilihan memang baik untuk dijalankan agar ia menjana kepastian bahawa kepimpinan yang di pilih dapat menjana kejayaan dan keharmonian. Sungguhpun begitu sekiranya pemilihan  hanya di adakan demi mengikuti syarat demokrasi maka jelas ianya menyimpang dari matlamat asal perjuangan kita. Politik baru yang mahu di janakan harus melihat pemilihan bukan hanya sebagai memenuhi syarat tuntutan demokrasi  tetapi sebagai asas memantapkan erti keadilan berlunaskan sistem demokrasi.

 

Penjanaan politik baru yang kita laungkan harus mengambil ikhtibar kesan pemilihan yang diadakan pada tahun 1999, semasa Bahagian-bahagian dalam keADILan baru di lahirkan. Baru mahu di lahirkan sudah di sogok dengan kerenah demokrasi yang di laksanakan atas dasar riak kita pada sistem tersebut. Asas keadilan bukan sahaja mengikuti syarat demokrasi tetapi asas keadilan melihat semua faktor-faktor yang ada  dalam kita melaksanakan sistem pemerintahan demokrasi yang adil lagi saksama. Landasan demokrasi yang pincang sewaktu di awal penubuhan akan menjadi satu kecacatan yang tidak dapat disempurnakan andai tindakan drastik perubahan tidak di lakukan.

 

Komentar khuatir pemilihan kali ini akan terus menjadi medan perjuangan antara sesama dan tidak menepati resipi sistem demokrasi yang baik tetapi hanya berlegar sekadar menunjukkan bahawa demokrasi itu wujud dan menjadi alas kepada agenda individu. Masakan ingatan pada pemilihan 1999 sudah dapat kita lupakan. Sekarang rintitan dari proses yang pincang yang pernah berlaku dalam kita menamakan ianya DEMOKRASI mungkin akan datang lagi menghantui kita. Apakah resipi yang baik untuk menghalang perkataan demokrasi dari terus menjadi sekadar sebutan sistem tetapi penuh liku yang menyekat sistem itu dari terus subur memerintah negara? Bayangkan nama demokrasi itu menjadi alas untuk segala bentuk kecacatan yang diperlakukan oleh kita. Apakah tidak ada kesamaan kita dari sistem demokrasi yang senget yang menjadi asas pemerintahan sekarang ini. Apakah suara yang mengatakan "KITA SERUPA DENGAN UMNO" tidak mencacatkan usaha kita menuntut REFORMASI nanti ?

 

Komentar jesteru itu ingin menyarankan agar kebijaksanaan kita mendahului sentimen kehendak. Penglihatan kita jangan terpesong dengan kekaburan angan-angan kemewahan, darjat, kuasa dan pangkat. Sedarlah kita belum menang lagi. Sedarlah andai kita buta pada realiti maka kita akan melangkah setapak kebelakang dalam perjuangan ini.

 

Landasan formula bagi kejayaan kita tidak jauh dari sebutan harian kita dalam perjuangan yakni REFORMASI. REFORMASI itulah yang harus dijana agar demokrasi yang ada dapat berkembang melewati segala sekatan yang ada selama ini. Bagi pemilih, ingatlah pilihan harus menepati perjuangan dan bagi petanding sedarlah andai kemampuan terhad maka lepaskan, agak yang baru dapat meneruskan larian obor kemenangan REFORMASI.

 

Hanya pesanan ikhlas Komentar yang sedia di kritik secara membina.

 

KOMENTAR