Pandangan:
 
Dr M – PELAKON ANTI-PENJAJAHAN BARU
 
Oleh Dr Syed Husin Ali
 
Beberapa tahun lalu PM Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad  mengumumkan dasar
“Buy British Last”, yang bererti sengaja membeli barang-barang British akhir
sekali. Sehubungan ini bilangan pelajar yang dihantar belajar ke
universiti-universiti di Britain juga dikurangkan. Langkah ini diambil
sebagai membantah beberapa dasar dan tindakan kerajaan British yang tidak
disetujui oleh Malaysia. Apabila krisis ekonomi berlaku, semakin kurang
bilangan pelajar yang dihantar dan semakin merosot kegiatan ekonomi bersama.
 
Berikutan dasar terhadap Britain itu, Dr Mahathir  telah memperkenalkan
“Dasar Pandang ke Timur”, yang bertujuan untuk menjadikan Jepun sebagai
contoh dan ilham bagi Malaysia dari segi pembangunan serta etika  kerja.
Sehubungan ini juga lebih banyak pelajar dan juga pekerja diberi biasiswa
untuk mengambil kursus di institusi pengajian tinggi dan kilang di Jepun.
Universiti Malaya mengadakan Pusat Pengajian Jepun dan mahasiswa dari sana
dihantar ke Jepun untuk melanjutkan pendidikan mereka.
 
Pada satu ketika, semua dari Britain bahkan dari Barat seolah-olah dianggap
tidak baik. Kuasa-kuasa besar dari Barat sering dikritik oleh Dr Mahathir
sebagai penjajah atau imperialis bentuk baru. Beliau semacam  tidak sedar
bahawa  Jepun juga merupakan sebuah kuasa besar, dan dasar ekonominya tidak
ubah seperti dasar penjajah bentuk baru Britain atau Amerika Syarikat, yang
sering dikritik hebat oleh Mahathir  itu.
 
Sebenarnya, saya kadang-kadang tertarik juga dengan pelbagai kritikan Dr
Mahathir terhadap penjajah atau imperialis bentuk baru ini. Tidak kiralah
jikalau beliau agak ketinggalan zaman. Sebabnya, apa yang dijaja oleh beliau
seolah-olah sebagai perkara baru sekarang, sebenarnya telah lama diucapkan
oleh para pemimpin Asia-Afrika, seperti Sukarno, Nehru, Nasser  dan Nkrumah
  lebih tiga 30 atau 40 tahun dulu.
 
Cuma bezanya ialah pemimpin-pemimpin lama itu terbukti oleh sejarah sebagai
lebih tulen dan tegas. Sebaliknya, Dr Mahathir lebih banyak mendedahkan
unsur-unsur berlakon dan berpura-pura. Betapa tidak? Pada satu waktu,
misalannya, beliau menghentam Amerika Syarikat yang dituduhnya sebagai
imperialis  baru. Tetapi, pada masa yang sama beliau membuat Perjanjian
Pertahanan dengan Kerajaan AS pada tahun 1984, yang membenarkan tentera
udara, laut dan darat AS berlatih bersama di rantau ini. Di samping itu
kapal perang AS yang membawa senjata nuklear dibenarkan  melalui Selat
Melaka dan berlabuh di pelabuhan Malaysia.
 
Begitu juga, Dr Mahathir mengkritik imperialis AS (atau pura-pura saja) yang
kononnya hendak menguasai dunia melalui proses globalisasi, perjanjian WTO
dan sebagainya. Akan tetapi, dalam masa yang sama, beliau dan
pemimpin-pemimpin lain dari BN sering melambai para kapitalis dari AS dan
kuasa-kuasa besar lain supaya lebih banyak  melabur modal di sini. Modal
asing ini diberi berbagai-bagai keistimewaan dan kerajaan Dr Mahathir tidak
campur tangan jikalau pemodal-pemodal luar tersebut membayar gaji rendah,
membuang pekerja tempatan,  atau tidak membenakan pekerja menyusun kesatuan
mereka sendiri.
 
Seterusnya, Dr Mahathir mengecam (atau acah-acah saja) nilai-nilai budaya
buruk yang berpunca daripada negara-negara barat yang digelarnya penjajah
bentuk baru. Akan tetapi pada masa yang sama, saluran-saluran TV yang
dikuasai kerajaan atau kroni-kroni pucuk pimpinan BN, bertalu-talu
menyiarkan program yang penuh berunsur percintaan, tahayul, seks serta
kekejaman, tidak kira dari barat atau timur, yang merosakkan nilai-nilai
unggul warisan negeri ini. Pada hal begitu banyak program yang bermutu serta
bernilai seni yang boleh dibawa masuk, tetapi mungkin kurang menguntungkan
dari segi perdagangan. Begitu juga tidak ada tindakan tegas terhadap import
dan penjualan pita serta c.d. video berunsur lucah dan kejam.
 
Sekarang ini Dr Mahathir berada di England. Beliau berjumpa dengan PM
Britain, Blair, dan menjemputnya datang ke Malaysia. Beliau berdialog dengan
ahli-ahli perusahaan dan perdagangan British. Seperti yang sering berlaku di
tempat-tempat lain yang dilawati Dr Mahathir, dialog seumpama ini
dikendalikan oleh ASLI, sebuah badan yang diketuai  oleh anaknya Mirzan.
Rakyat tentu ingin tahu apakah kerajaan,  melalui jabatan atau kementerian
tertentu, membayar Mirzan untuk mengelolakan majlis-majlis dialog itu.
Perkara ini perlu ketelusan.
 
Dr Mahathir memujuk pemodal-pemodal British supaya datang melabur lebih
banyak lagi. Dia juga menggalakkan para peniaga dan pengusaha Malaysia
melabur di Britain. (Sebenarnya ini sudah berlaku. Lihat saja pelaburan oleh
kawan baik beliau  dari Country Heights dalam projek Millenium di London).
Selanjutnya, Dr Mahathir menegaskan bahawa tenaga manusia yang mempunyai
kepakaran harus dibenarkan bergerak bebas, seperti modal juga, ke mana saja
pendapatan atau keuntungan lebih besar boleh diperolehi.
 
Saya lihat bahawa Dr Mahathir hendak membuktikan kepada kapitalis-kapitalis
di Britain, yang pernah dituduh sebagai penjajah bentuk baru itu, betapa
liberalnya beliau dan betapa kuatnya beliau berpegang kepada dasar pasaran
bebas. Ini bukan saja bertujuan untuk menguatkan lagi hubungan ekonomi dan
politik antara kedua-dua negara, dan membaiki ekonomi negara yang belum
cukup pulih, bahkan sekaligus mengurangkan tekanan ke atas dirinya. Tekanan
seperti ini bertambah kuat akhir-akhir ini kerana beberapa tindakan kuku
besi Dr Mahathir,  terutama sekali berikutan penyingkiran Anwar Ibrahim.
 
Saya lihat juga bahawa “Dasar Pandang ke Timur” semakin kurang diperkatakan.
Tidak lama lagi rancangan pengajian Jepun di UM pun akan tamat. Bilangan
pelajar yang dihantar ke Britain dipertingkatkan semula. Begitu juga ke
Amerika Syarikat. Saya tidak pelik jikalau selepas pilihanraya Presiden AS
nanti, terutama jikalau Bush menang, Dr Mahathir akan cuba menguatkan lagi
hubungan ekonomi, politik dan ketenteraan  dengan AS, yang memang sudah agak
  kuat sekarang. Kemudian bertemu dengan Bush pula. Lepas itu, kalau boleh,
Dr Mahathir akan berusaha mengundangnya melawat Malaysia.
 
Bahkan, sekalipun yang menang nanti Gore, saya tidak hairan jikalau Dr
Mahathir akan berusaha membaiki hubungan dengannya. PM Dr Mahathir  ini
memang pragmatik orangnya, dan sanggup membuat apa saja untuk mengurangkan
kesan Anwar Ibrahim menghantui kehidupan beliau. Ke mana saja beliau pergi
sekarang, ada saja kumpulan yang berdemonstrasi menentang beliau. Bilangan
yang menunjuk perasaan masih kecil. Akan tetapi kesan psikologinya besar.
 
Dr Mahathir bertambah gelabah. Pada zahir beliau nampak tenang, akan tetapi
di dalam bergelora. Itu sebab banyak orang mengatakan beliau  perlu lebih
berkesan berlakon dan berbohong. Dr Mahathir sedia mengubah dasar politik
dan ekonomi negara dan parti untuk kepentingan diri sendiri.  Beliau akan
sanggup menukar sikap anti kepada penjajah bentuk baru yang dilaung-laung
selama ini sekiranya ia boleh membantu  melanjutkan usia kekuasaannya. Dr
Mahathir yakin Malaysia Boleh.
 
6hb Oktober 2000