Beri Pampasan Kepada Mangsa Banjir Di Rawang

Tanah merah yang mewarnai air bah di Rawang kelmarin jelas menunjukkan akibat dari pembangunan yang tidak selari dengan pengurusan alam sekitar. Penebangan hutan secara besar-besaran di kawasan tapak Empangan Sungai Selangor yang terletak di hulu memusnahkan kebolehan menyerap dan menakung lebihan air hujan selain mengakibatkan sungai tersebut menjadi cetek akibat pemendapan kelodak. Ini merupakan prinsip asas pengetahuan ekologi.

Pakar-pakar tempatan telah banyak kali mengingatkan tentang kepentingan memelihara kawasan takungan hujan terutama di kawasan tanah tinggi bagi mengelakkan banjir. Sebaliknya pandangan ini sering diketepikan dengan alasan keperluan manusia adalah lebih penting dan kita tidak seharusnya menyekat pembangunan bagi menyelamatkan monyet di hutan. Pandangan ini jugalah yang diulangi ketika delegasi S.O.S. Selangor bertemu Menteri Besar Selangor bagi menyerahkan memorandum mereka tentang pembangunan di kawasan Empangan Selangor ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa manusia memerlukan air untuk kehidupan dan sewajarnya masyarakat tidak dinafikan keperluan asas ini. Sebaliknya, keperluan ini tidak seharusnya dikelirukan dengan kerakusan manusia. Pembinaan empangan berturut-turut bagi memenuhi keperluan permintaan air tanpa menyelesaikan kadar kehilangan air yang telah dirawat setinggi 35% adalah sikap tidak bertanggungjawab yang melampau. Selangor sudah kehabisan sungai untuk diempang. Sungai Kelau di Pahang pula perlu disekat bagi memenuhi kehendak penduduk di Lembah Klang. Empangan ini juga tidak akan dapat menampung kadar permintaan yang meningkat sebanyak 9 % setahun. Dalam masa itu lebih banyak lagi kawasan yang akan dimusnahkan dan seterusnya menimbulkan kesan negatif terhadap persekitaran.

Kerajaan seharusnya membuat penyelesaian jangka masa panjang dengan memastikan langkah-langkah penjimatan air dikuatkuasakan. Pembinaan empangan menjanjikan kontrak besar kepada syarikat berkepentingan. Pada masa yang sama bebannya akan ditanggung oleh rakyat melalui kenaikan tarif seperti yang telah dilaksanakan di Selangor dan dimulakan di Negeri Sembilan.

Berbalik kepada banjir di Rawang, kesan pembinaan empangan dan logi rawatan air ini dirasai dengan lebih mendadak oleh ribuan penduduk di kawasan tersebut yang mengalami kerugian besar akibat banjir tersebut. APPRM berpandangan bahawa jika terbukti bahawa pembangunan di kawasan empangan tersebut telah mengakibatkan bencana ini maka Kerajaan Selangor dan GAMUDA sebagai kontraktor utama projek tersebut perlu segera memberikan pampasan serta gantirugi yang setimpal kepada para penduduk yang telah ditimpa bencana tersebut.

Muhammad Ali Syed Hussein
Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia.