ISA tidak akan digunakan 4 Ogos
Oleh: Fathi Aris Omar [emel: faomar@yahoo.com]
 
Ada orang takut untuk menyertai perhimpunan aman 4
Ogos (Jumaat) ini? Ada penyokong reformasi "rasa"
kerajaan akan menggunakan akta karut ISA (akta
keselamatan dalam negeri)?
 
Semuanya itu tidak benar. Semuanya itu kesimpulan yang
cetek.
 
Kerajaan TIDAK AKAN dan tidak bersedia menggunakan
akta drakonian ini kerana kesalahan berhimpun boleh
didakwa melalui akta-akta lain yang jelas, misalnya
Akta Polis seperti lazim digunakan.
 
Kedua, ugutan dan gertakan kerajaan untuk menggunakan
ISA sejak dua minggu lalu selama 10 hari
berturut-turut menunjukkan akta ini TIDAK AKAN
digunakan. ISA tidak bertindak begitu. Kerajaan
selalunya menangkap secara diam-diam dan tidak
mengeluarkan kenyataan awal -- ia akan mengganggu
tugas polis.
 
Ugutan dan gertakan yang bertubi-tubi setiap hari
selama 10 hari itu menunjukkan kerajaan TIDAK BERANI
menggunakan akta karut itu. Pemimpin Umno serba-salah
untuk menggunakan akta ini ke atas aktivis politik dan
penggerak serta penyokong reformasi.
 
Mengapa?
 
Pertama, dunia sudah tahu aktivis pembangkang dan
penyokong reformasi (juga dikenali penyokong Anwar
Ibrahim) bertindak dan berkumpul secara aman. Tindakan
mereka bersifat politik, bukannya ancaman ke atas
keselamatan negara.
 
Dunia juga tahu bahawa isu Anwar menggambarkan
demokrasi di Malaysia sedang digugat oleh seorang
pemimpin tua -- Mahathir yang paling lama memerintah
di Asia!
 
Seluruh dunia, sama ada kerajaan Eropah dan Amerika,
sama ada badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat
antarabangsa, sama ada negara-negara jiran seperti
Thailand, Indonesia dan Filipina sedang memerhatikan
gelagat Mahathir.
 
Jangan bimbang, Mahathir sedang ditekan oleh seluruh
dunia jika menggunakan ISA untuk menutup mulut aktivis
pembangkang dan penyokong reformasi. Mereka akan
bertindak mendesak pelaburan, syarikat dan dasar luar
mereka.
 
Oleh itu, kini Mahathir bimbang untuk menggunakan ISA.
 
 
Lagipun, kempen anti-ISA yang dilancarkan oleh Gerak,
PAS, Suaram dan Barisan Alternatif berjaya menyedarkan
rakyat bahawa kerajaan BN mem-per-alat-kan ISA untuk
menjaga kedudukan mereka; bukannya untuk keselamatan
negara dan bukan untuk keamanan rakyat.
 
Isu Anwar juga mendapat liputan meluas di seluruh
dunia sejak September 1998 hinggalah pada 4 Ogos
(Jumaat) ini. Malaysia kini semakin terkenal di serata
dunia. Bukan hanya dikenali kerana imej positifnya
tetapi juga kerana imej negatif.
 
Semakin ramai warga dunia mengenali Anwar, nasib
malang yang menimpa dirinya dan keluarganya,
rakan-rakannya dan penyokong-penyokongnya. Di
mana-mana, mereka mengenali kita (jika anda melancong
ke luar negara) melalui kes Anwar. Mereka cukup
bersimpati dengan Anwar dan rakyat Malaysia.
 
Kalau di negara-negara ASEAN seperti Indonesia,
Singapura, Thailand, Filipina dan Brunai -- mereka
dengan automatis mengecam dan mengutuk kepimpinan
Mahathir.
 
Tiga buah negara jiran utama (bermula Thailand
[1970-an], Filipina [1980-an], dan Indonesia
[1990-an]) sudah mengecapi kesakitan diperintah
diktator. Tanpa bercerita panjang lebar, rakyat di
tiga negara ini cukup faham apa ertinya "pemerintahan
Mahathir" sebab mereka pernah diperintah oleh
"mahathir-mahathir" di negara mereka dahulu!
 
Malaysia masih dianggap negara penting di rantau ini.
Malah, di peringkat organisasi antarabangsa dan dunia,
Malaysia masih dihormati. Tetapi... ini tidak bermakna
Mahathir juga dihormati sebagaimana Malaysia disegani.
 
 
Mahathir akan disisihkan. Hubungan diplomatik,
perdagangan dan sosial antara Malaysia (di bawah
Mahathir) akan melalui jalan sukar jika Mahathir
menggunakan ISA lagi.
 
Sebab itu, pemimpin kerajaan seperti Pak Lah dan Rais
Yatim tiap-tiap hari mengugut rakyat untuk menggunakan
ISA, akta hasutan dan penulis internet. Apa mereka
boleh buat? Apakah selama ini ugutan-ugutan
dikeluarkan dahulu sebelum ISA digunakan? Tidak ada,
bukan?
 
Sebab itu, gertakan kerajaan Umno itu hanya kenyataan
dalam media, dalam surat khabar, TV dan radio. Mereka
tidak sanggup menggunakannya. Hanya orang bodoh
(termasuk wartawan) yang percaya dan melayan ugutan
kerajaan untuk menggunakan ISA.
 
Negara kita (dan pemimpin Umno) LEBIH memerlukan
negara-negara luar daripada negara asing memerlukan
Malaysia. Negara kita perlukan kepakaran dan teknologi
asing. Negara kita perlukan modal dan pelaburan asing.
Negara kita perlukan kestabilan mata wang dan wang
pelancong asing.
 
Oleh itu, imej Malaysia mesti dikekalkan bersih dan
demokratik. Negara-negara asing tidak akan datang ke
Malaysia jika negara ini tidak demokrasi. Akta ISA
bertentangan dengan demokrasi.
 
Satu lagi hujahnya ialah KEBANYAKAN (atau hampir
semua) syarikat gergasi di negara ini dimiliki oleh
kroni-kroni Umno dan BN. Anak-anak Mahathir sahaja
mempunyai beratus-ratus buah syarikat. Anak-anak
pemimpin lain? Pemimpin-pemimpin, wakil-wakil rakyat
dan aktivis BN ada berapa banyak syarikat?
 
Sanggupkah syarikat ini terlingkup apabila disisihkan
atau diketepikan oleh rakan pelaburan asing mereka?
Tidak... Percayalah mereka tidak akan sanggup.
 
Oleh itu ISA tidak akan digunakan.
 
NGO asing, wakil-wakil kerajaan negara luar dan
pertubuhan dunia di negara-negara asing dengan mudah
melobi dan mendesak kerajaan masing-masing untuk
MENILAI SEMULA hubungan ekonomi dan diplomatik dengan
Malaysia jika Mahathir masih menggunakan ISA.
 
Tetapi kenapa pengikut Al-Ma'unah ditahan ISA? Sebab
mereka didakwa terlibat merampas senjata berat di dua
buah kem tentera dan membunuh dua anggota keselamatan.
Sama ada benar atau tidak, kita belum tahu tetapi
jelas isu keselamatan seumpama itu boleh "meyakinkan"
negara-negara asing.
 
Tetapi apakah perhimpunan aman, yang disertai
beribu-ribu rakyat, dengan laungan slogan dan
nyanyian, tanpa senjata dan kerosakan harta benda,
lelaki dan perempuan, secara terbuka, selama beberapa
jam boleh dianggap "mengancam keselamatan negara."?
 
Apakah dosa perhimpunan aman 4 Ogos itu sama dengan
rampasan senjata? Jawabnya... jelas dan ketara TIDAK
SAMA. Oleh itu, ISA tidak akan digunakan.
 
Lagipun, hak kita berhimpun dijamin dalam Perlembagaan
Persekutuan dalam Perkara 10. Perlembagaan Malaysia
membenarkan kita menyertai persatuan, berkumpul
beramai-ramai, berucap dan menulis -- kenapa kita
harus takut?
 
Bagaimanapun, kerajaan yang gila akan tetap
menggunakan ISA. Pemimpin yang nyanyuk tidak berfikir
panjang. Rakyat yang bacul sudah cukup percaya "pada
burung yang terbang dipipiskan lada."
 
Guruh di langit, air di tempayan dicurahkan -- itu
bukan sifat penyokong reformasi.
 
**Nota: Sila cetak dan sebarkan jika tulisan ini baik
untuk pengetahuan orang ramai