Salam Reformasi
14-03-2001

POLIS TELUS DAN PROFESSIONAL DALAM MENGENDALIKAN INSIDEN KG MEDAN.

RUJUK AFP KLIK SINI


Apabila menjenguk lapuran berita AFP 14-03-2001 barulah Komentar sedar bahawa pada pagi Rabu (tadi) berlaku satu pertelingkahan yang menyebabkan 4 pemuda India cedera parah berhadapan dengan sebuah kuil India.

Ketua Polis Selangor Nik Ismail Nik Yusuff yang menjelaskan bahawa polis senantiasa bertindak telus dan professional dengan cepat mengatakan bahawa beliau "merasakan" bahawa kes di Puchong tidak ada kena mengena dengan insiden Kg Medan dan sekitar kawasan krisis tersebut. Kecekapan Ketua Polis itu merasakan amat kita kagumi.

Dalam pada itu juga Polis mahu bertindak menangkap penyebar kabar angin dan pihak pembangkang kerana mengatakan bahawa jumlah kematian yang berlaku melebihi dari apa yang dilapurkan oleh kerajaan.

Apakah sebenar fungsi Polis? Apabila pihak pembangkang menyatakan bahawa mereka menjangka bahawa jumlah kematian melebih dari jumlah yang dilapurkan BUKANKAH menjadi tugas polis untuk menyiasat kebenaran kenyataan tersebut. Ini tidak polis mahu terus menangkap mereka yang mengatakan sedemikian. Apakah Malaysia sekarang ini menjadi satu negara yang paling bahaya untuk kita berkata-kata atau meluahkan pendapat dan mengatakan jangkaan.

Professinal manakah Polis kita dalam mengatakan bahawa insiden Puchong tidak ada kena mengena dengan insiden Kg Medan tanpa siasatan menyeluruh?

Polis juga memaklumkan seperti terkandung dalam lapuran AFP bahawa akan menahan ahli-ahli dari Parti Keadilan dan PAS kerana hadir di sana untuk mengetahui keadaan dan kedudukan sebenar angka kematian. Apakah ini salah? Apakah untuk hadir disana dan melihat situasi disana menganggu gugat kedudukan polis? Apakah dengan menyoal keluarga terlibat maka polis takut berita sebenarnya terselongkar.

Datuk Nik Ismail Nik Yusoff turut memaklumkan bahawa angka penangkapan sehingga kini adalah 220 termasuk 5 askar. 98 antara mereka Melayu, 57 India dan 12 Indonesia. Angka-angka penangkapan ini memberi indikasi bahawa apa yang berlaku di Kg Medan bukanlah insiden kecil seperti lapuran media tempatan. Penangkapan 220 orang dan angka kematian yang dilapurkan sebagai 6 adalah insiden besar dan harus ditangani dengan segera. Media perlu memaklumkan kepada rakyat keadaan sebenarnya kerana itu adalah tanggung jawab sosial mereka.

Bagi pihak Polis yang senantiasa telus andai angka kematian dan kecederaan lebih BESAR dari yang dilapurkan apakah Datuk Nik Ismail Nik Yusoff sanggup meletak jawatan atau sanggup ke penjara atas tuduhan memalsukan berita dan meletakkan rakyat dalam keadaan bahaya kerana lalai memaklumkan kepada rakyat bahawa kawasan itu tidak selamat untuk hadiri.

Sebenarnya hanya rakyat yang tidak mahu berfikir sahaja yang akan mengatakan bahawa keadaan sudah selesa sedangkan indikasi menunjukkan bahawa keadaan tidak seselesa dahulu. Keadaan mungkin sudah beransur pulih tetapi jangan menipu dan mengatakan seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

Komentar