From: 

"Parti Sosialis Malaysia PSM" <parti_sosialis@hotmail.com>

Subject: 

Hak Bumiputra- Dr. Nasir Hashim (PSM)

Date: 

Tue, 29 Aug 2000 02:24:08 MYT

ISU HAK BUMIPUTRA
Oleh Dr. Mohd Nasir Hashim - Pengerusi  Parti Sosialis Malaysia(PSM)

Senario
-------

Baru-baru ini, wakil dewan perniagaan and persatuan Cina Datuk David Chua
telah membangkitkan isu hak keistimewaan Melayu dalam mesyuarat Majlis
Perundingan Ekonomi Negara II (Mapen II). Chua juga menyuarakan perkara yang
sama dalam satu interviu dengan majalah Far Eastern Economic Review.

Selepas itu, sebuah akhbar tempatan membesar-besarkan isu itu dengan
mengaitkan sebuah NGO Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya China (Suqiu) yang
dikatakan mempertikaikan keistimewaan Melayu.

Peristiwa ini diikuti dengan satu demonstrasi oleh Pemuda UMNO di hadapan
Dewan Perhimpunan Cina Selangor yang marah dengan Suqiu atas alasan mencabar
maruah Melayu.

Pihak-pihak tertentu termasuklah media massa dan Perdana Menteri sendiri
telah mengeruhkan lagi keadaan ini. Mereka haruslah siasat terlebih dahulu
dan menjelaskan perkara ini agar dapat
mententeramkan golongan yang menganggap diri mereka dianiayai dan
dianaktirikan.

Walaupun begitu kita harus berwaspada terhadap kegiatan-kegiatan yang
mendewa-dewakan atau mengutuk kaum atau puak tertentu kerana amalan ini
boleh menimbulkan sifat ketuanan, perkauman dan nasionalisma yang sempit dan
dasyat hingga mewujudkan diktator-diktator zalim seperti Hitler, Mussolini
dan sebagainya.

Hak Bumiputra
-------------
Memang termaktub di dalam Perlembangaan Negara (Perkara 153) bahawa hak dan
keistimewaan kaum Melayu sudah terjamin semenjak negara kita mencapai
kemerdekaan lagi. Hak ini berkaitan rapat dengan keadaan kemiskinan yang
wujud di kalangan masyarakat Melayu dan usaha yang rapat memberi peluang
kepada mereka untuk berkecimpung ke dalam
semua sektor pembangunan.

Masyarakat Melayu khususnya Golongan Menengah Melayu tidak berpuas hati
dengan pucuk pimpinan kerajaan khususnya UMNO kerana mereka tidak dapat
menikmati kekayaan negara atau mereka ketinggalan dalam usaha merebut
keuntungan. Peristiwa Mei 13, 1969 lantang
enggambarkan ketidakpuasan ini. Maka wujudlah Dasar Ekonomi Negara dan Dasar
Pembangunan Negara untuk mengimbangkan keadaan ini.

Malangnya masyarakat Melayu masih tidak dapat melepaskan ‘stigma’ atau
cemuhan bahawa mereka masih tidak boleh berdikari. Masyarakat Melayu pula
masih mengharapkan kepada hak keistimewaan Bumiputra walaupun sudah lama (43
tahun semenjak Merdeka 1957) dipimpin oleh empat Perdana Menteri yang
berbangsa Melayu hingga memasuki abad ke dua puluh satu.

Soalnya, mengapakah pemimpin-pimimpin negara yang dilengkapi dengan
jentera-jentera pentadbiran tidak berupaya mengatur langkah hingga kaum
Melayu dapat bebas bersaing dalam semua sektor pembangunan tanpa dibantu
daripada mana-mana pihak ? Di manakah kelemahan mereka ini dan adakah ini
bermakna keistimewaan hak Bumiputra akan dikekalkan untuk selama-lamanya.
Bukankah pautan yang sudah berpanjangan ini memalukan dan menjatuhkan
martabat kaum Melayu sendiri ?

Ataupun pemimpin-pemimpin ini sudah menjeratkan diri ke dalam Sistem
Kapitalisma hingga sanggup bergelumang ke dalam kancah penindasan, salahguna
kuasa, rasuah, nepotisma, kronisma dan kezaliman ? Sebenarnya amalan-amalan
inilah yang melambat, membantut dan
menghalang kaum sendiri terus maju. Amalan ini juga dapat menghancurkan
seluruh negara.

Kelemahan Pemimpin-Pemimpin Negara
--------------------------------------------------
Soalnya benarkah pemimpin-pemimpin negara ini bersikap sambil lewa dan
merasa selesa kerana kaum lain tidak boleh mempertikaikan hak keistimewaan
Bumiputra ini. Lagipun mereka pula tidak merasa tertekan kerana tidak
terikat dengan masa.

Amalan seperti ini memang ada persamaan dengan isu bantuan subsidi
/keistimewaan dagangan yang pernah kita nikmati dari negara maju khususnya
Amerika Syarikat. Kita sudah terseronok dengan bantuan ini hingga kita tidak
merasa tertekan dan tidak terdesak untuk membangunkan negara mengikut jadual
masa yang telah ditetapkan. Yang anehnya adalah kalau negara kita ini
dianggap sudah maju maka kita akan kehilangan keistimewaan ini maka
pemimpin-pemimpin negara akan berusaha meyakinkan negara yang sudah maju ini
bahawa negara kita belum maju lagi.

Usaha ini menggambarkan bahawa kita memang mengharapkan sangat kepada
bantuan dari luar. Maka bantuan yang akan diterima itu sudahpun diambilkira
sebagai sebahagian daripada belanjawan negara. Pendekkata kita lebih selesa
hidup dengan subsidi dari negara asing dan sifat yang mengharapkan bantuan
luar (budaya pautan di peringakat antarabangsa) ini akan melemahkan semangat
kita untuk berdikari dan kita pula tidak segan silu mengemis dipinggiran
kekayaan negara maju. Keadaan ini menguntungkan negara maju kerana kita
terpaksa bertolak ansur dengan mereka kerana sudah terhutang/termakan budi
kepada mereka.

Budaya Pautan
------------------
Dengan bantuan dan bimbingan yang tidak serius yang diberikan kepada rakyat,
maka pemimpim-pemimpin politik ini mewujud dan mengekalkan suatu hubungan
budaya pautan (‘dependency’), minda subsidi, atau ‘dole mentality’
dikalangan rakyatnya. Amalan ini mampu
menghancurkan semangat untuk berdikari.

Pemimpin-pemimpin pula berpaling tadah dan sanggup mengutuk dan menuduh kaum
mereka kerana mengharapkan sangat kepada bantuan kerajaan walhal pucuk
pemimpin inilah yang memula dan mengekalkan budaya pautan ini.

Yang patut berlaku adalah apabila diisytiharkan bahawa kaum Bumiputra di
beri keistimewaan tertentu semenjak 43 tahun dahulu, maka pada hari itu juga
pemimpin-pemimpin seharusnya sudah mengatur langkah agar kaum ini dapat
melepaskan diri dari pautan/cengkaman yang menghinakan ini.

Budaya Pautan Menguntungkan Pemimpin-Pemimpin
------------------------------------------------------------------
Mungkin juga apa yang berlaku memang disengajakan kerana budaya pautan ini
menguntungkan pemimpin politik yang memerintah kerana rakyat makin terhutang
budi kepada mereka. Mereka akan menyindir, menegur, mengugut dan mengutuk
golongan tertentu agar mereka sedar
bahawa bantuan yang diterima itu adalah ihsan daripada pemimpin politik yang
memerintah. Justeru itu rakyat patut memilih mereka sebagai calun di dalam
pilihanraya nanti. Dengan cara ini kedudukan mereka tetap terjamin.

Keseronokan / Keyakinan Palsu
--------------------------------------
Akibat dari keistimewaan yang diperolehi ini, maka kaum Melayu sentiasa
dilalikan dengan suatu keseronokan/harapan/keyakinan palsu (‘false
confidence’) seolah-olah mereka sudah dijanjikan dengan perlindungan yang
mutlak.

Kalau kita kaji kembali masalah-masalah yang berlaku di dalam masyarakat
seperti masalah peneroka Bandar (‘setinggan’) dan golongan miskin yang
inginkan rumah; masalah pekerja-pekerja yang di tindas oleh
majikan/kapitalis; harga barangan yang melambung tinggi; masalah dadah dan
sebagainya maka kita akan mengatakan bahawa hak keistimewaan kaum Melayu
memang samar-samar atau tidak wujud walaupun pemimpin-pemimpin politik
Melayu memang banyak Dewan Parlimen. Yang menyedihkan adalah kaum-kaum lain
juga menderita akibat dari masalah yang disebutkan tadi.

Mungkin perkara yang penting di sini bukanlah isu hak Bumiputra ataupun
ketuanan Melayu tetapi lebih kepada isu keuntungan, kuasa dan pengaruh
individu tertentu. Tanyalah kepada golongan Melayu (atau kaum-kaum lain)
yang miskin samada pemimpin politik Melayu
sanggup atau berani berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hak mereka.
Sebenarnya mereka yang mendapat keuntungan adalah pemimpin-pemimpin politik
yang rapat dengan golongan kapitalis. Isu kepentingan kaum tertentu memang
tidak timbul dalam perkiraan
mereka. Ini adalah suatu realiti !!

Kaum Melayu Dari Pelbagai Keturunan
----------------------------------- ------------
Ada kalanya kita menjadi bingung dengan penggunaan istilah-istilah kaum
Melayu dan Bumiputra ini. Soalnya tidak seorang pun yang berani menggelarkan
dirinya sebagai Melayu atau Bumiputra tulen kerana kaum pedalaman dan Orang
Asli lebih layak lagi menerima gelaran ini.

Sebenarnya kaum Melayu yang ada sekarang adalah daripada keturunan kaum
Arab, India, Cina, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Mereka ini dianggap
Melayu sekiranya mengamalkan budaya Melayu dan menganuti agama Islam. Habis,
mengapa kita harus berbalah dan mencaci satu sama lain? Kalau kita masih
berbalah, maka kita sudah melakukan satu kesalahan atau dosa yang besar
iaitu kita sanggup mencaci dan mencemar keturunan ibu bapa dan datuk moyang
sendiri.

Sekiranya kita cuba melunakkan atau menyorokkan hakikat ini maka kita
melunakkan sejarah dan budaya sendiri. Masyarakat yang tidak berbudaya
adalah masyarakat yang tidak wujud dan dikeji sepanjang zaman. Jelas bahawa
kita patut berbangga dengan keturunan kita dari berbilang kaum dan berusaha
menyatukan semua.

Ketuanan Melayu Sudahpun Dicabar
--------------------------------------------

Isu ketuanan Melayu dan hak Bumiputra sering dilaung-laungkan bagi
mententeramkan mereka yang mengharapkan sesuatu dari kerajaan yang dipimpin
oleh seorang Perdana Menteri berbangsa Melayu. Sebenarnya ketuanan Melayu
yang didewa-dewakan itu sudah pun diserang dan dipatah-patahkan semasa
berlakunya Krisis Perlembagaan di mana martabat, hak dan kekebalan Raja dan
Sultan diperbudak-budakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr. Mahathir
Mohamad.

Ramai juga rakyat, golongan cerdik pandai dan parti politik lain berganding
bahu mengutuk kerabat-kerabat ini. Apabila kedudukan Raja dan Sultan yang
melambangkan perpaduan dan ketuanan kaum Melayu dipertikai/dihina dan
perbuatan ini pula tidak dianggap melanggar
Perlembagaan Negara maka dengan itu isu ketuanan Melayu sudah tercabar,
makin pupus dan menjadi sumbang.

Mungkin ada Raja dan Sultan yang sudah melampaui batasan tingkah laku,
angkuh dan ghairah melepaskan harta kerajaan negeri kepada golongan
kapitalis dan kuncu-kuncu kesayangan mereka. Mungkin juga Sistem Feudalisma
memang sudah tidak sesuai lagi pada zaman moden ini.

Antara Bumiputra dan UMNOputra
-------------------------------------------

Nampaknya pemimpin politik yang memerintah sudah berjaya mendefinasikan
semula istilah Bumiputra menjadi UMNOputra untuk ahli-ahli UMNO dan
Bumiputra yang lain untuk golongan yang bukan ahli UMNO. Setakat ini
UMNOputralah yang mendapat pelbagai
keistimewaan dan yang lain mendapat serpihannya sahaja.

Di kalangan UMNOputra pula mereka yang terdekat sekali dengan pucuk pimpinan
dan kapitalis UMNO akan meraih keuntungan yang paling besar. Maka persaingan
hebat berlaku di antara mereka ini untuk melayakkan diri menjadi kuncu-kuncu
yang setia dan terhormat. Masyarakat bukan Bumiputra juga dapat menyaksikan
percanggahan ini hingga bersimpati
dengan nasib masyarakat Melayu yang malang yang kononnya mempunyai
keistimewaan sebagai Bumiputra.

Minda Pencerobohan
-------------------------
Nampaknya isu-isu pembangunan dan keagamaan yang digunakan semasa
pilihanraya sudah tidak dapat menyalakan emosi rakyat kerana pihak
pembangkang dan golongan intelek berjaya mendedah dan mematahkannya. Namun
begitu pemimpin-pemimpin politik ini akan cuba menimbulkan ketegangan yang
menggambarkan seolah-olah negara kita diancam dari
luar dan dalam negara (‘siege mentality’).

Tujuan sebenarnya adalah untuk memecah-belahkan perpadauan
(‘divide-and-rule’) rakyat yang menentang mereka dan mereka pula tidak ingin
lagi mendengar keluhan dan tuntutan rakyat. Justeru itu ketegangan ini dapat
menghalalkan tindakan mereka untuk menggunakan ISA ataupun mengisytiharkan
keadaan darurat. Dengan ini keganasan, kekejaman dan penganiaaan dapat
dilakukan tanpa mendapat halangan daripada mana-mana pihak.

Perbalahan Yang Disengajakan?
-----------------------------
Peristiwa perbalahan kaum sudahpun berlaku pada 1987. Pemimpin-pemimpin UMNO
dan MCA yang mendalangi peristiwa ini telah di hantar ke Indonesia dan
Australia untuk berehat. ISA (‘Operasi Lalang’) telah digunakan untuk
menahan pemimpin-pemimpin parti pembangkang, golongan akademik dan
aktivis-aktivis sosial.

Peristiwa yang berlaku sekarang memang mempunyai persamaan dengan apa yang
sudah berlaku pada 1987. Nampaknya ada yang cuba mengaitkan isu kaum
semata-mata untuk menimbulkan ketegangan dan seterusnya menjadi wira kaum
masing-masing. Mungkin dirasakan cara ini sajalah dapat mengembalikan
populariti mereka yang makin merosot itu.

Peristiwa seperti Mei 13, 1969 sengaja ditonjol-tonjolkan untuk meraih
simpati dan kemarahan kaum tertentu. Walhal rakyat ingin melupakannya dan
sebahagian besar rakyat berbilang kaum pula belum lahir lagi apabila
tercetusnya peristiwa ini. Mengapi-apikan peristiwa ini adalah suatu hasutan
yang merbahayakan keselamatan rakyat dan negara.

Penindasan Sebagai Isu Utama
-------------------------------------
Apa yang diperlihatkan di sini adalah gejala-gejala yang sudah timbul di
dalam sistem Kapitalisma yang pincang ini. Perkara-perkara yang penting dan
harus mendapat perhatian ramai adalah masalah kemiskinan dari berbilang
kaum; pengagihan kekayaan negara yang
berat sebelah; keadilan yang tidak wujud; kehancuran demokrasi; salahguna
kuasa; korupsi, kronisma, nepotisma, dan sebagainya.

Kesemuanya ini membabitakan masalah penindasan dalam pelbagai bentuk dan
rupa. Penindasan terhadap pekerja-pekerja dari berbilang kaum telah
mengakibatkan yang kaya menjadi kaya raya dan yang miskin menjadi papa
kedana.

Penindasan ini juga berjaya memisahkan rakyat ke dalam dua kelompok/sifat
yang bercanggah seperti, kaya-miskin; pemimpin-pengikut; ekonomi-sosial;
teori-praktis; kuat-lemah; pandai-bodoh; mahir-buruh kasar; dan sebagainya.

Sifat-sifat ini juga turut melimpah ke dalam masyarakat dalam berbagai
bentuk hubungan di antara individu-keluarga; individu-masyarakat;
bandar-luar bandar; perindustrian-pertanian; saingan bebas-monopoli; dan
sebagainya. Unsur-unsur penindasan tetap terjalin di dalam kesemua hubungan
ini.

Penindasan yang melumpukan golongan pekerja-pekerja telah menimbulkan
pelbagai tekanan terhadap pekerja-pekerja yang ingin menampung keluarga
mereka dengan gaji yang rendah. Maka rakyat merasa tersisir dan tersepit.

Mereka yang tidak menemui jalan keluar daripada kesesakan hidup ini makin
terdedah dan terheret ke kancah penghinaan seperti salahguna dadah; membunuh
diri; masalah juvana; keretakan dalam keluarga; penyiksaan anak isteri;
jenayah; amalan fanatik dan sebagainya.

Kemiskinan/Keperluan Hidup Tidak Memilih Kaum
---------------------------------------------------------------

Jelas bahawa masalah yang harus di atasi adalah masalah kemiskinan yang
menimpa pelbagai kaum dan berpunca daripada penindasan di tempat kerja.
Usaha yang membantu kaum atau golongan tertentu harus berkisar kepada tahap
kemiskinan/keperluan mereka.

Bantuan yang diberi patut memupukkan semangat untuk berdikari agar mereka
dapat menyertai di dalam pembangunan negara. Bantuan yang diberi memanglah
terhad dan akan dikaji semula supaya tidak sesiapa pun yang tertinggal di
dalam arus pembangunan negara.

Ikhlas daripada

Dr. Mohd Nasir Hashim
Pengerusi PSM