Analisis Pena Suasa

 

KeADILan…nak keluar…silakan!

 

DUA tiga laporan kebelakangan ini mengambarkan ketenatan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) untuk meneruskan pelayaran.

Paling baru, dakwaan mengatakan seorang Pengerusi keADILan sebuah negeri akan melepaskan jawatan dan bertindak sama seperti Naib Presidennya, Hajah Marina Yusof.

Bekas Setiausaha Pemuda keADILan Selangor, Wan Indra Putra Ahmad pula mendakwa 13 lagi bahagian keADILan akan dibubarkan.

Apakah mereka ini semuanya tahu perlembagaan keADILan? Berapa orang ahli yang dijadikan syarat minima membolehkan satu-satu cawangan ditubuhkan? Berapa cawangan pula menjadi syarat minima boleh ditubuhkan satu bahagian?

Kalau mereka tahu, tiada apa yang hendak dihebohkan. Bahagian-bahagian boleh sahaja dibubarkan kerana dengan adanya dua cawangan, maka satu bahagian boleh diujudkan. Apa yang hendak dihairankan dengan perkembangan ini? Hari ini dua cawangan dibubarkan, esok, InsyaAllah tiga cawangan boleh diujudkan. Maka bahagian yang dibubarkan itu boleh bergerak semula. KeADILan bukan Umno. KeADILan bukan PAS. Mereka memang tidak ada jentera di peringkat cawangan, tetapi mempunyai simpatisan. Ahli Umno sendiri ramai yang menyenangi keADILan dan memberikan undi mereka kepada calon-calon BA dalam pilihan raya yang lalu. Mahu diharapkan undi ahli-ahli keADILan, mustahil BA boleh menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu. Begitu juga dengan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Teluk Kemang baru-baru ini. Undi simpatisan menyebabkan majoriti BN merosot begitu teruk. Tak kan tak faham.

KeADILan ditubuhkan dahulu (ditukar nama dari parti Ikatan) hanya kerana mahu membawa para penentang Umno yang tidak mahu menyertai PAS, DAP dan PRM. Setelah beberapa kali perbincangan dibuat, maka majoriti berpendapat perlu ada satu wadah untuk mengisi vacum ini. Biarlah keADILan tinggal sepuluh orang, biarlah tinggal Datin Seri Wan Azizah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ezam, Azmin Ali dan Abdul Rahman Yusof, parti ini perlu diteruskan. Yang hendak keluar, silalah. Siapa yang menjemput mereka dahulu menyertai keADILan? Apakah kerana mereka disediakan permaidani merah menyebabkan mereka melibatkan diri dengan keADILan? Tentulah jawapannya tidak.

Oleh yang demikian, kalau mereka mahu menyertai semula Umno, kalau masih diterima, pergilah. Tiada siapa yang memujuk dan tiada siapa yang akan meratap pemergian mereka. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Jika masing-masing merasakan tiada lagi perjuangan dalam ke ADILan, tunggu apa lagi… pergilah berjuang bersama-sama Umno.

Ingat! Masalah dalaman Umno sendiri terlalu rumit untuk diselesaikan. Sudah ada suara-suara yang menentang kemasukan bekas ahli keADILan. Kata mereka; “Jangan songkok diletakkan di kaki dan kasut di letakkan di kepala.”

Maknanya, utamakan ahli-ahli Umno daripada asyik melayan ahli-ahli keADILan yang mahu melompat parti.

Pujian harus diberikan kepada Dato’ Kamarudin Jaffar. Walaupun beliau dianggap sahabat rapat Dato’ Seri Anwar, beliau memutuskan masuk PAS dan tidak keADILan. Keputusannya bijak dan beliau nampak selesa dengan parti itu.

Berbeza dengan seorang dua yang mahu masuk dan mahu keluar ini, nama mereka sendiri tidak dikenali sesiapa. Nasib baiklah mereka sanggup memaki hamun keADILan, maka surat khabar yang laparkan berita mengampu, menggunakan kesempatan ini untuk memberikan mereka peluang. Selepas itu, tiada siapa mengetahui apa yang mereka lakukan, selain terkejar ke sana sini untuk “menyalak bukit” mengejar peluang perniagaan atau pun berucap kalau diminta; bertujuan memfitnah Mohd Ezam dan kawan-kawan lain yang pernah makan sepinggan dengan mereka semua.

Mohd Ezam juga dikatakan lebih rela dipenjarakan daripada meneruskan tugas sebagai Ketua Pemuda keADILan. Tiada siapa dapat memastikan dakwaan ini kecuali Mohd Ezam sendiri. Beliau juga tentunya tidak akan menyertai Umno hanya kerana kecewa dengan permainan kawan-kawan sendiri.

Umno tidak untung apa-apa kalau keADILan rebah. Yang hendak menyertai Umno semula, sudah menetapkan pendirian masing-masing walaupun keADILan tidak rebah. Yang menentang Umno akan terus menentang walaupun keADILan ditakdirkan rebah menyembam bumi.

Sekali lagi, seruan perlu diberikan dan dianjurkan… keluarlah. Yang hendak keluar usah dipujuk, usah dirayu. Usah dilayan. Mereka ini semuanya ahli-ahli kaki lima yang tidak tahu erti perjuangan, melainkan pandai bergaya dengan songkok senget dan berbaju putih. Ahli-ahli Umno akan mengajar mereka suatu hari nanti seperti mana ahli-ahli Umno mengajar Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Dr. Rais Yatim, Dato’ Zainal Abidin Zin dan Tengku Dato’ Azlan Sultan Abu Bakar.

Kesemua bekas orang besar Parti Melayu Semangat 46 ini tidak diterima sama sekali. Yang mahukan mereka hanya Dr. Mahathir. Tengku Razaleigh Dr. Mahathir bagi jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Rais Yatim disuruh bergasak dengan Ketua Hakim Negara. Zainal Abidin Zin pikul beban penagih dadah dan Tengku Azlan jaga Wilayah Persekutuan. Jawatan dalam parti…hanya yang dilantik. Ahli Umno tidak mahu memilih mereka. Tunggulah… perkara yang sama akan berlaku pada opturnis keADILan.