Oleh Pena Suasa

 

Masihkah Najib berangan-angan

 

DALAM satu wawancara dengan sebuah majalah mingguan, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Najib Tun Razak mendakwa pencalonan dan kemenangan yang dicapainya sebagai Naib Presiden Umno adalah kehendak akar umbi.

Najib mengutip 1,289 undi daripada 150 pencalonan. Setiap satu bahagian menghantar 12 perwakilan, iaitu lima dipilih secara otomatik kerana jawatannya, iaitu ketua, timbalan, naib, ketua pemuda dan ketua wanita. Manakala tujuh diundi perwakilan dalam mesyuarat agung tahunan.

Jika diukur dari dakwaan Najib itu, dia sepatutnya mengutip sekitar 1,800 undi. Dari apa yang didapatinya itu, bermakna Najib kehilangan sekitar 511 undi. 511 undi ini adalah datangnya dari 42 bahagian. Cara mana Najib mengira “suara akar umbi” yang dimaksudkannya?

Umno sudah meminda banyak kali perlembagaan dan peraturan mesyuarat selain dari undang-undang ad-hoc bagi menyelamatkan Presidennya, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak Umno ditubuhkan, selepas mati dalam tahun 1987, Dr. Mahathirlah satu-satunya Presidennya yang menang kerana “imuniti” yang dicipta sendiri.

Saban kali sampai masa pertandingan, akan ada undang-undang supaya jawatan Presiden tidak boleh dipertandingkan. Alasannya, perpaduan dan mengelakkan perpecahan.

Contoh yang bakal diberikan ialah pertandingan tahun 1987 adalah punca kepada masalah parti dibawa ke mahkamah.

Ahli-ahli Umno ditakut-takutkan, kononnya jika jawatan Presiden dipertandingkan, perpecahan akan berlaku.

Dalam tahun 1999, tarikh pemilihan ditangguhkan. Dr. Mahathir terselamat. Bila habis tarikh tangguhan itu, buat pula satu halangan pertandingan dengan nama “nasihat”. Tetapi nasihat itu adalah nasihat Residen British, iaitu nasihat yang berupa arahan, dan mesti diikuti.

Hakikat sebenarnya, pemilihan yang berlaku di dalam Umno bukan mengambarkan kehendak akar umbi sebaliknya, disusun begitu rupa oleh mereka yang berkuasa di peringkat MT, negeri dan bahagian-bahagian.

Itulah sebabnya, salah seorang calon Naib Presiden yang menang tempohari, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pernah mengeluarkan kenyataan, ada yang tidak kena dengan cara pencalonan dibuat, seolah-olah ada “barter trade”.

Timbalan Presiden Umno yang menang kerana “diselamatkan oleh Dr. Mahathir”, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi peringkat awalnya menafikan dakwaan Muhyiddin itu kerana dia dikatakan mahukan Dato’ Abdul Ghani Othman (Menteri Besar Johor) menang. Ghani disukai oleh Tun Daim Zainuddin dan Daim mengarahkan Abdullah supaya memastikan Ghani menang.

Khabarnya Ghani ada memberi peluang perniagaan kepada kroni Daim di Johor menyebabkan Daim mahukan Ghani berada di barisan tertinggi Umno.

Sebagaimana yang diketahui, Abdullah “dipandu” oleh Daim dalam setiap gerak gerinya. Dia bukan Timbalan Perdana Menteri dalam erti kata sebenar kerana Daim lebih berkuasa darinya selepas Dr. Mahathir. Kadang-kadang, Daim lebih berkuasa dari Dr. Mahathir sendiri. Mereka sama-sama “rompak” negara ini untuk mereka dan kroni mereka. Zahid Hamidi sedang berusaha untuk “kembali” ke dalam kumpulan ini, kumpulan perompak khazanah negara.

Najib masih berangan-angan kononnya dia memang bakal Perdana Menteri selagi Umno berkuasa. Itulah sebabnya, dia selalu menyangka undi yang didapatinya adalah undi akar umbi, tetapi tidak menyebut berapa banyak wang dihabiskan untuk belanja berkempen, memberi rasuah kepada perwakilan dan membeli undi.