Oleh Pena Suasa

 

Tidur Najib Tidak Lena

 

DI KALANGAN pemimpin Umno hari ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah menteri yang tidak lena tidur.

Dia hanya menang dengan majoriti 241 undi di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum lalu.

Sebagai Naib Presiden, dia mendapat 150 pencalonan. Malangnya, jumlah undi yang dikutipnya sekitar 1,200. Ini menandakan, sekitar 600 undi hilang begitu sahaja. Satu bahagian diwakili 12 perwakilan. Jika di diharabkan dengan 150 bahagian, sepatutnya Najib mampu mendapat 1,800 undi.

Jika ada rombokan kabinet, Dr. Mahathir Mohamad dikatakan mahu menurunkan pangkat Najib, mungkin kembali sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Dulu, ketika dia jadi Menteri Pendidikan, guru-guru menentang kerajaan. Soalan peperiksaan murid-murid dijadikan alasan Perdana Menteri benar-benar marah kepada Najib yang tidak mampu mengawal tingkah laku guru-guru.

Kini, setelah dia diturunkan pangkat, kembali ke Kementerian Pertahanan, tiba-tiba keputusan pilihan raya Parlimen Teluk Kemang memperlihatkan undi pos yang rata-rata dipunyai anggota tentera jelas menyokong pembangkang. Apa malang nasib Najib, tiada siapa yang tahu. Di mana dia berada, di situ menjadi lubuk pembangkang.

Sekali lagi Najib dikatakan berpeluh dingin untuk menjelaskan kepada Perdana Menteri, mengapa boleh berlaku demikian.

Angan-angan Najib untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri nampaknya semakin jauh. Dia teruji dan gagal melepasi ujian.

Dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang lalu, bukan sekali dua Najib berada di Teluk Kemang, di kawasan kem-kem askar tetapi nyata semakin kerap dia ke sana, semakin kurang undi yang Barisan Nasional dapat.

Jika selama ini calon-calon BN mengharapkan undi pos tetapi sebaik sahaja Najib kembali ke Kementerian Pertahanan, keadaan sudah banyak berubah.

Dalam Umno, Najib mungkin sentiasa menang jika dia bertanding. Sejarah membuktikan dia belum pernah dikecewakan dalam pertandingan, bermula sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pemuda dan kini selama tiga penggal sebagai Naib Presiden.

Cuma sekali, dalam tahun 1993, undi yang dimilikinya tertinggal di belakang Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Selepas itu, dia kekal dengan undi tertinggi.

Semua tahu, Najib cukup tidak senang dengan keputusan pemilihan 1993 menyebabkan dia menyumbangkan tenaga dan idea untuk menumbangkan Muhyiddin dalam tahun 1996. Dengan kerjasama Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, dia berjaya. Muhyiddin bukan sahaja tewas, tetapi tewas dengan teruk dan menduduki tempat keenam dari tujuh calon yang bertanding.

Perkembangan terbaru melalui keputusan pilihan raya kecil Teluk Kemang menyebabkan Najib benar-benar makan tidak kenyang, tidur tidak lena walaupun mandi, dia basah.