MEDIA PERDANA HENTAM PAS...

Masing-masing punya rasa, masing-masing punya pandangan. Malam ini, sehari selepas tergendalanya musyawarah yang dirancang, media utama negara telah memaparkan ketidaktelusan pemimpin parti Alternatif terutamanya PAS dalam menghadapi kasus tersebut ? Namun jika ditinjau dari posisi yang sebaliknya, kenapa wawancara yang dijalankan lebih terdorong kepada mereka yang bersifat pro-kerajaan borjuis ini ? Tidakkah ini suatu ketidakadilan, atau boleh dikira suatu pencabulan.

Umumnya mengetahui sewaktu penarikan pingat terhadap dua exco negeri Kelantan tempohari, media elektronik juga memaparkan sikap yang sama. Akan tetapi, mereka tidak pula menanyai sianu yang terbabit. Kenapa perlukan ulasan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Bukan Mursyidul Am PAS yang terlibat, tambahan pula mereka yang dinafikan hak mereka oleh pihak istana itu masih lagi wujud, bukannya telah pergi buat selam-lamanya.

Hal sedemikian sekali lagi wujud, malahan tidak mustahil berulang kali memekakkan telinga mereka yang sememangnya pekak badak. Antara yang ditampilkan adalah seperti Haji Nakhaei Ahmad, yang dianggap oleh pembela PAS sebagai pembelot...benarkah itu ? Yang pentingnya Ustaz Nakhaei ada agendanya tersendiri di dalam UMNO...mungkin saudara kita itu mahu meng-Islam-kan UMNO dari dalam, atau mungkin juga mencari kemewahan peribadi. JUga tidak ketinggalan mengutarakan Profesor Ramlah Adam, yang bagi saya beliau ini sendiri tidak liberal dalam ulasannya. Bukan setakat isu bersifat perdana ini sahaja, bahkan dalam bukunya mengenai Datuk Ahmad Boestamam "Satu Biografi Politik" , yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka yang berharga RM30.00, beliau juga tidak memperlihatkan ketelusannya dalam penulisannya. Mungkin beliau tidak mengkaji sedalam-dalamnya buku "Testamen Politik Api" itu. Yang nyata media eletronik negara sekarang dalam proses memejalkan fikiran penonton dan pendengar.

Media negara sekarang ini seolah-olah menyimpang dari agendanya yang sebenar. Nyata mereka menjalankan kerja, yakni tidak bergaji buta, akan tetapi mereka menyerong dari memberikan perkhabaran yang benar lagi jelas. Tidakkah motif penubuhan antaranyanya bagi melahirkan suatu sikap kenegaraan yang padu, berfikiran matang, berpaksi kepada kebenaran dan sebagainya. Ironiknya permasalahan ini jika tidak dibahu pihak pemerintah, maka kemanakah lagi mahu dihadapkannya ? Ini bukan suatu anekdot baru dalam polemik negara Malaysia. Ini suatu tindakan pasif kepada masyarakatnya. Mereka sudah tersalah haluan lantaran dibawah pimpinan berkepentingan.

Siapa yang bakal memperbetulkannya ? Secara kasarnya, pemerintah perlulah mendidik rakyatnya dengan sikap amanah. Dan ini semestinya bermula dari peringkat awal didikan lagi. Yang paling penting, ibubapa penjaga menerapkan kepadanya persekitaran yang bersifat pengimbangan antara duniawi dan ukhrawi. Barulah mereka menyedari ciri-ciri seorang manusia yang sebenar. Berbaloilah mereka menetap di bumi ini jika mereka menyeru serta berpesan dengan kesabaran serta dengan kebenaran. Jika tidak apalah gunanya, menadah ilmu hingga ke menara gading, tapi proses pertumbuhan penerapan nilai terpuji masih menjalar di kaki para pengeji.

Hancurkan Kapitalisme, Imperialisme dan Neo-Liberalisme !

Lukman Al-Hakim anjaib@freeanwar.com 9.00 p.m 20/02/2001