PAS anjur muktamar 4 hari
Isu usul Umno paksa gugur kekata 'Islam' dari parti bakal dibincang
KUALA LUMPUR -- Seminggu selepas Umno mengadakan Perhimpunan Agungnya yang
ke-54, kini Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula bercadang hendak mengadakan
muktamar atau perhimpunan besar-besaran yang dijangka dihadiri 200,000 orang
minggu depan, menurut laporan semalam.
Setiausaha Agung parti itu, Encik Nasharuddin Mat Isa, berkata PAS akan
mengadakan muktamar selama empat hari di Terengganu mulai 1 Jun ini, demikian
akhbar Sunday Star dan New Sunday Times melaporkan.
Encik Nasharuddin berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat,
dan Menteri Besar Terengganu, Ustaz Abdul Hadi Awang, dijangka turut memberi
ucapan.
Semasa perhimpunan agung Umno minggu lalu, Dr Mahathir dan pemimpin Umno
yang lain menyatakan PAS cuba menggunakan Islam sebagai alat untuk
memecahbelahkan umat Islam.
PAS sebaliknya menuduh kerajaan pusat meninggalkan ajaran Islam yang
sebenar dalam mengejar pemodenan.
Ia menuduh Dr Mahathir menggunakan kuasanya untuk mendakwa para penentang
beliau dan pemimpin pembangkang.
Menurut Encik Nasharuddin, muktamar PAS itu akan membincangkan pindaan
kepada perlembagaan parti dan membangkitkan pelbagai isu, termasuk usul Umno
minggu lalu hendak memaksa PAS menggugurkan perkataan 'Islam' daripada
digunakan sebagai nama partinya.
"Kami dimaklumkan bahawa usul serupa itu dibangkitkan oleh anggota
Umno semasa perhimpunan agung mereka baru-baru ini.
"Kami memandang berat niat mereka itu," kata Haji Abdul Hadi
Awang, ditukil sebagai berkata oleh akhbar New Straits Times semalam.
Encik Nasharuddin berkata muktamar tersebut yang akan dilangsungkan di
Stadium Tertutup Darul Iman, akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Haji
Fadzil Noor.
Para diplomat dari beberapa negara asing termasuk Amerika, Perancis,
Singapura, Bangladesh dan Iran, dilaporkan telah mengesahkan kehadiran
masing-masing. -- AP, NST.