KOMENTAR

Komentar 1

23.05.2000

 

Permuafakatan Bersejarah

 

Suatu sejarah baru telah tertulis dalam lipatan perjuangan kita. Belum selama ini salah satu penggerak utama reformasi yakni “Media Internet” bergabung dalam menyelaras arah tujuan perjuangan dengan satu matlamat bersama iaitu menuntut keadilan. Pengusaha Laman-laman Reformasi bergabung tenaga agar arah tuju perjuangan ini dapat dibela dari mereka yang berkepentingan dan beragenda tersendiri. Laman-laman Reformasi ini telah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dan kental. Pengusaha Laman ini terus aktif dalam menjadi media alternatif setelah semua media lain dibendung dan dibelenggu ketakutan. Suara Media sedia ada menjadi suara media kerajaan dengan mencalari etika mereka sendiri. Laman-laman Reformasi tumbuh bagai cendawan dan kuncup setelah pilihanraya ke 10 berlalu. Saban hari media internet reformasi menyajikan berita-berita dari segala aspek kehidupan terutamanya politik dan kepincangan mereka dalam menjalankan tugas amanah rakyat. Kerajaan lupa konsep hak rakyat dan suara rakyat lalu media ini mengembalikkan hak tersebut. Kerajaan bangkit menggelapkan kepincangan mereka agar tertutup kesalahan terbuka poket kemewahan mereka tetapi mereka tidak lepas dari kritikan laman-laman ini.

 

DAN sekarang , gabungan dibentuk bagi satu tujuan yakni menegakkan kebenaran dan keadilan. Kehadiran Web Master Asal Laman Reformasi (Mahazalim) membentuk satu era baru dalam perjuangan ini.

 

Kesedaran Web Master ini dan juga web master beberapa Laman Utama tentang keperluan menyelamatkan perjuangan ini dari terus tergelincir dari matlamat asal menjadi agenda sementara yang perlu dilaksanakan segera. Kepincangan sudah muda kelihatan, agenda asal tergelincir, perebutan kuasa dan berpolitik berlebihan sudah mula kelihatan. Tergelincir sudah perjuangan ini, menuntut keadilan dan kebenaran, menghapuskan kezaliman dan menggesa Mahathir untuk undur menjadi agenda No 2. Parti sebok memanipulasi perlembagaan untuk menyempurnakan birokrasi. Demokrasi yang jadi dokongan dijadikan landasan memperkuatkan pengaruh. Apa inikah sudah perjuangan kita? Apakah inikah penentu kejayaan? Apakah berpolitik berlebihan boleh membawa kepada kemenangan dalam perjuangan.?

 

Perubahan itu perlu, aliran perjuangan harus dipastikan berada mengikuti landasan sebenarnya.

 

Kita pastikan semula, kita tentukan kembali kerana kita kini:

 

GERAKAN REFORMASI RAKYAT

Permuafakatan Laman-laman Reformasi