Teks Perbahasan Perancangan Jangka Panjang Ke 3

Oleh YB Haji Abd Rahman Yusof

Ahli Parlimen Kemaman

Tuan Yang di Pertua,

Sebelum saya mulakan , saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Menteri Kewangan di atas jawapan yang diberikan pada 29hb. Mac 2001 bahawa hutang Kerajaan sudah meningkat ke RM165.0 billion. Apabila saya menyatakan bahawa hutang negara sudah mencecah atau melebihi RM1.0 trillion saya hanya mengambil kira hutang Kerajaan sehingga September 2000 berjumlah RM123.7 billion dan hutang sektor awam dan swasta berjumlah RM782.5 billion. Ini bermakna hutang kerajaan meningkat sebanyak RM41.3 billion atau 33.4% dalam masa lima bulan. Sekiranya hutang kerajaan sudah meningkat 33.4% ini bermakna sektor awam dan swasta pun meningkat begitu ketara juga. Ini mengesahkan lagi bahawa hutang negara sudah melampaui RM1.0 trillion.

Pendedahan YB Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan akan mengeluarkan bon sebanyak RM5.5 billion untuk menyelamatkan syarikat pengendali sistem LRT dan STAR sebuah sistem pengangkutan impian negara menguatkan lagi kebimbangan saya penggunaan bon untuk membiayai keperluan kewangan negara.

Tuan Yang di Pertua,

Baru-baru ini laporan Mckinsey & Co, Penasihat dan Perunding kerajaan untuk project Multimedia Super Corridor [MSC] telah membentangkan satu laporan mengenai kedudukan muktakhir Multi Media Super Corridor [MSC]. Menurut laporan tersebut kedudukan MSC tidak menggalakkan dan kerajaan terpaksa menyediakan lebih banyak infrastrktur kegunaan Teknologi Maklumat untuk memberangsangkan pertumbuhan MSC. Secara kasarnya apa yang hendak diperkatakan oleh laporan tersebut ialah projek MSC di Malaysia menempuh kegagalan dan kerajaan mesti keluarkan lebih banyak wang lagi untuk menjayakan projek impian Perdana Menteri ini. Ini adalah amaran terakhir untuk kerajaan menilai semula projek impian yang telah menelan belanja lebih RM40.0 billion. Berapa banyak lagi wang rakyat akan dicurah sebelum menempuh kegagalan mutlak. Apabila ahli-ahli parlimen Barisan Alternatif memberi peringatan kami dituduh tidak berfikiran "futuristic" tetapi apa yang kami suarakan ialah penyelewengan pelaksanaan projek ini serta kesesuaiannya dan keperluannya kerana ia melibatkan kegunaan wang rakyat yang begitu besar. Sekarang pakar luar telah mengesahkan kebimbangan kami.

Pembangunan MSC buka pembangunan hartanah tetapi ia memerlukan dengan izin "Tireless innovation. Constant change. Robust financials. Outstanding leadership. Impeccable intergrity. Hire the super-smart and the talented. Dinstinctive personality. Operational excellence. Aligning resources. Unique marketing. Knowledge-based dominance. Have a global all-star team. Take-no-prisoners philosophy. A winning culture. Built-to-last. Tenacity. And it must be in the ‘DNA’." Inilah intipati yang diperlukan untuk Malaysia menjadi Multimedia Super Corridor kelas dunia. Apakah MSC Malaysia mempunyai kriteria ini.

Bill Gates mengakui "sekiranya dikeluarkan 20 orang terbaik beliau, Microsoft akan menjadi sebuah syarikat yang tidak penting lagi". Apakah aspek pembangunan minda IT ditekankan atau pembangunan infastruktur dalam pembangunan MSC kita.

Saya minta satu "Kertas Putih" dibentangkan di parlimen ini untuk membuat penentuan samaada kerajaan harus meneruskan atau membuat pengubahsuaian atau tinggalkan sahaja projek impian ini. Kita tidak mahu tragedi Perwaja berulang lagi dimana kerajaan terpaksa menanggong kerugian lebih dari RM10.0 billion dan terus menanggong berbillion ringgit lagi setiap tahun untuk penerusan operasinya.

Kerajaan telah memberi beberapa galakan untuk memperluas kegunaan teknologi maklumat seperti pengkomputeran sistem hospital bernilai RM1.0 billion. Apa yang mengejutkan ialah konsesi atau tender ini diberikan kepada syarikat yang baru ditubuhkan dan tidak mempunyai pengalaman atau "track record" dengan izin mengendalikan sistem pengkomputeran hospital. Malah sistem ini juga tidak pernah dilaksanakan dimana-mana negara dalam dunia ini termasuk Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah. Bagaimana kita boleh membuat perbandingan samaada tawaran harga yang dibuat berpatutan atau tidak sedangkan kerajaan tidak mempunyai kayu ukur untuk membuat perbandingan.Yang mengejutkan lagi ialah pendedahan yang dibuat oleh Yang Berhormat Kuala Kedah bahawa syarikat yang mendapat konsesi ini ialah Solution Protocol Sdn Bhd yang dimiliki oleh Josephine yang merupakan salah seorang isteri Menteri Kewangan kita.

Kerajaan juga cuba menggalakkan penggunaan teknologi maklumat oleh pasukan Angkatan Tentera. Satu kontrak bernilai RM600 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk membolehkan Angkatan Tentera melaksanakan sistem 3CI iaitu COMPUTER, COMMUNICATION, COMMAND AND INFORMATION. Walaubagaimanapun sistem ini tidak dapat berfungsi dengan memuaskan kerana syarikat yang mendapat kontrak ini tidak mempunyai "competency" untuk pengendalian sistem 3CI yang diperlukan oleh Angkatan Tentera dan terpaksa ditinggalkan. Kerana kegagalan melaksanakan sistem 3CI sekarang Angkatan Tentera memerlukan sistem yang lebih canggih pula iaitu 4CI pula. Keperluan Angkatan Tentera meningkatkan keupayaan mereka amat digalakkan tetapi pelaksanaannya dipersoalkan. Kali ini syarikat mana pula yang akan dipilih atau kerajaan sudah mempunyai syarikat pilihan untuk diberikan kontrak. Berapa pula jumlah yang diperlukan untuk pelaksanaan sistem 4CI ini.

Kerajaan juga menggalakkan pembelian komputer oleh masyarakat melalui kemudahan pengeluaran wang KWSP tetapi mereka hanya boleh membelinya melalui syarikat-syarikat tertentu sahaja yang mana pihak-pihak tertentu disyaki mempunyai kepentingan dengan harga yang lebih mahal dari luar. Hanya setelah rakyat mempersoalkan kaedah ini maka beberapa lagi syarikat diseneraikan oleh KWSP. Kalau beginilah cara kerajaan melaksanakan penggunaan teknologi maklumat jangan mimpikan kejayaan MSC. MSC hanya dijadikan kuda tunggangan oleh kroni kepimpinan negara untuk mengaut keuntungan dari wang peruntukkan projek MSC.

Untuk menutup malu dan mengabui mata rakyat akan kemungkinan projek MSC impian Perdana Menteri ini gagal saya difahamkan kerajaan akan membuat "back-door listing" dengan izin yang melibatkan pembelian Gadek Bhd oleh anak syarikat Multimedia Development Corporation, Maytag Sdn Bhd yang mungkin kemudiannya mangambilalih POS Malaysia bagi menyelamatkan projek ini. POS Malaysia akan digunakan untuk menjana keperluan kewangan MSC dan ini amat membimbangkan kedudukan POS Malaysia dimasa hadapan. Apakah nasibnya akan mengalami nasib yang sama seperti Petronas yang digunakan untuk "Bail-out" projek-projek dan syarikat-syarikat yang gagal. Apa justifikasi POS Malaysia diambilalih oleh MSC. Apakah rakyat tidak akan dibebankan dengan kos yang meningkat akibat pengambilanalih ini sepertimana Indah Water Konsortium atau Jabatan Bekalan Air lakukan apabila diswastakan.

Tuan Yang di Pertua,

Pada bulan lepas satu acara impian negara kejohanan Litar Formula Satu diadakan di Sepang. Kerajaan serta sektor awam dan swasta membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menjayakan acara impian ini.Hasilnya amat menghambarkan. Tiket-tiket hanya mampu dijual tak sampai 30% sahaja Hotel-hotel serta kemudahan dan persiapan lainnya terbengkalai kerana tidak ada sambutan. Pulangan secara tidak langsung yang diharapkan tidak tercapai. Sektor awam seperti Petronas, MAS, TV3 dan sebagainya mengalami kerugian yang besar. Apatah lagi sektor swasta seperti hotel-hotel, pengiklan, penyelia dan sebagainya mengalami nasib yang lebih buruk lagi. Yang memalangkan lagi acara ini ialah Perdana Menteri kita mengalih awan berlebihan ke kawasan perlumbaan sehingga menyebabkan hujan lebat di akhir-akhir perlumbaan sepertimana yang dilaporkan oleh media perdana baru-baru ini. Kalau sesiapa mempercayai kata-kata Perdana Menteri ini mereka boleh jatuh syirik melainkan rakyat sudah tidak mempercayai lagi segala kata-kata Perdana Menteri kita.

Berapa jumlah sebenar negara berbelanja untuk menaja acara ini setiap tahun. Saya difahamkan Malaysian Airport Berhad [MAB] tidak lagi sanggup menganjur acara ini kerana terpaksa menanggung beban kerugian yang besar setiap tahun apabila acara ini dipersembahkan.Bagaimana kerajaan akan menyelamatkan MAB dan siapa pula akan dibebankan dengan projek ini. Saya harap Petronas tidak digunakan lagi. Biarlah Petronas menumpukan kegiatan mereka dalam perindustrian petroleum, petrokimia dan gas sahaja. Jangan diperah susu lembu yang sihat sehingga kekeringan. Tinggallah sedikit untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Tuan Yang di Pertua,

Perdana Menteri kita amat berbangga dengan pembinaan Kota impian Putrajaya. Sebuah kota yang diberi nama jolokan "Kota Pintar di Bawah Sinaran Cahaya". Projek yang diperuntukkan perbelanjaan pembangunan sehingga RM22.0 billion ini akan diawasi pula oleh beliau dari atas sana apabila meninggal nanti sepertimana yang dinyatakan semasa menobatkan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan. Baru-baru ini bangunan kompleks kerajaan di Putrajaya mengalami keretakkan sehingga pejabat Ketua Setiausaha Negara terpaksa dikosongkan selama dua bulan untuk kerja-kerja baik-pulih. Bagaimana sebuah projek mewah yang menelan belanja berbillion ringgit boleh retak sedangkan ia diawasi sendiri oleh Perdana Menteri. Bagaimana beliau akan mengawasinya dari atas sana sedangkan semasa berada di Putrajaya pun keretakan boleh berlaku.

Tuan Yang di Pertua,

Begitu jugalah projek-projek impian Bangunan Tertinggi di dunia KLCC yang menelan belanja RM4.5 billion tidak termasuk persiapan dalaman yang menelan belanja berbillion ringgit lagi mengalami kerugian kerana kurang sambutan penyewaan dan pembelian pejabat dan perniagaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang yang menelan belanja RM10.0 billion yang menghadapi kekurangan penerbangan asing menjadikannya sebagai tempat persinggahan, projek laluan kedua antara Malaysia- Singapura di Gelang Patah-Tuas yang menelan belanja berbillion ringit yang kurang mendapat sambutan oleh pengguna, pelancaran satelit Measat dan Tiungsat yang menelan belanja berbillion ringgit yang kurang kapasitas kegunaannya sehingga melumpuhkan syarikat Binariang dan terpaksa dijual kepada syarikat asing, pembinaan Pusat Pameran Dunia di Lapangan Terbang Subang yang menelan belanja RM1.0 billion ringit dibina oleh Kamunting Corporation yang dimiliki oleh anak Perdana Menteri sedangkan Putra World Trade Centre masih belum berupaya menjana keuntungan, pembinaan projek hydro Bakun yang akan menelan belanja RM10.0 billion sedangkan Indonesia menawarkan penjualan letrik dari janakuasa arang batu di Sumatra untuk memenuhi keperluan letrik negara dan banyak lagi yang dibina bukan berdasar keperluan tetapi memenuhi impian pimpinan negara.

Banyak lagi projek impian yang akan dilaksanakan seperti pembinaan jambatan diantara Malaysia-Indonesia yang merintasi Selat Melaka, pembinaan laluan ketiga Malaysia-Singapura melalui dasar laut, pembinaan rel keretapi yang menghubungkan Johor Bahru hingga Negeri Cina dan pelbagai lagi. Sekiranya projek-projek ini dilaksanakan negara akan kekeringan sumber kewangannya dan rakyat akan terpaksa menanggong bebannya.

Tuan Yang di Pertua,

Sampai bila rakyat akan dikhayalkan dengan impian-impian gila ini. Sampai bila rakyat akan diperbodohkan bahawa projek- projek ini menguntungkan mereka. Berapa banyak lagi wang rakyat akan dicurahkan untuk memenuhi nafsu impian pimpinan negara. Sampailah masanya untuk negara membuat "soul-searching" dengan izin dimana silapnya perancangan dan perencanaan negara selama ini. Sampailah masanya untuk negara memikirkan pembelaan terhadap nasib rakyat terbanyak yang menghadapi keperitan kemiskinan akibat kegawatan ekonomi. Tibalah masanya untuk negara memikirkan perancangan dan perancanaan yang menguntungkan dan memberi menafaat kepada rakyat terbanyak terutamanya golongan bawahan dan bukan oleh segelintir kroni-kroni dan sanak saudara kepimpinan negara yang terpilih sahaja. Jangan dimarahkan rakyat apabila mereka menyuarakan hak mereka untuk mempertahankan harta mereka dari pembolotan oleh kroni-kroni kepimpinan negara. Satu persatu projek dan konsesi penswastaan disalurkan kepada syarikat-syarikat kroni tetapi satu persatu pula kerajaan terpaksa menyelamatkannya sehingga dana-dana rakyat habis dipergunakan. Kalau rakyat tidak bangkit kerajaan tidak sedar akan kerakusan mereka. Rakyat berhak menegur atau menyedarkan pimpinan negara yang sedang bermimpi dan minta mereka berpijak dibumi yang nyata. Hak ini terjamin dalam Perlembagaan Negara tetapi cuba dinafikan oleh mereka yang sedang bermimpi.

Tuan Yang di Pertua,

Jepun dan Korea apabila membina konglomerate mereka merantau ke seluruh dunia untuk mencari peluang kerja dan menjana pulangan untuk dibawa balik kedalam negara. Ini menguntungkan negara melalui pengaliran masuk wang asing kedalam negara dan keperluan negara menyediakan projek-projek untuk penerusan operasi mereka. Di negara kita konglomerate dibina untuk dikuasai oleh kroni-kroni guna untuk menyalurkan projek-projek kerajaan tanpa saingan. Rakyat dimarahi kerana terlalu mengharap projek- projek kerajaan sedangkan syarikat-syarikat kroni begitu mudah diperuntukkan projek yang bernilai berbillion ringgit pula. Dimana letaknya keadilan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan dan pengagihan kekayaan ekonomi negara.

Tuan Yang di Pertua,

Apabila ekonomi negara jatuh merudum pada Julai 1998 kerajaan tidak pernah mengakui akan kesilapannya tetapi mengambil pendekatan mengukir atau meggambarkan anasir-anasir yang cuba memporak-perandakan ekonomi negara supaya rakyat mengalih kemarahan kepada mereka. Rakyat diberi gambaran bahawa George Soros yang berbangsa Yahudi cuba mengkhianati negara yang beragama Islam, IMF digambarkan sebagai penjajah Barat yang cuba menjajah semula negara, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan digambarkan sebagai tali-barut Barat dan tidak bermoral, media-media asing dan pro-pembangkang digambarkan sebagai lidah penjajah asing, pemimpin-pemimpin pembangkang digambarkan sebagai pemecah-belah masyarakat, negara-negara asing yang kritikal dengan tindakan kerajaan dituduh cuba campur tangan dalam urusan dalaman negara dan pelbagai gambaran lagi yang diukirkan untuk mengalih rakyat dari mempersoalkan kepincangan kepimpinan negara yang rasuah, menyeleweng, menyalahgunakan kuasa dan gagal dalam pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional yang diharap dapat mengubah nasib masa depan negara. Melalui cara ini kerajaan berharap mereka terlepas dari dipersoalkan oleh rakyat tetapi rakyat tidak sebodoh yang diharapkan.

Beberapa pendekatan telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk memulih ekonomi negara termasuk pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, ketetapan kadar pertukaran wang asing bagi US$1.0 bersamaan RM3.80, sekatan pengaliran keluar wang dan modal asing, menggalakkan rakyat membawa pulang wang yang disimpan di luar negara dan pelbagai insentif lagi yang dilaksanakan.Rakyat diberitahu kaedah yang digunakan adalah terbaik dalam dunia dan mendapat pujian pelbagai pihak. Mana-mana pihak yang mengkritik kaedah ini akan dilabel sebagai pengkhianat dan ajen penjajah asing. Rakyat dijanjikan bahawa ekonomi akan pulih dalam masa 3 bulan. Selepas tiga bulan berlalu ekonomi tidak pulih juga sekali lagi rakyat dijanjikan ekonomi akan pulih dalam masa 6 bulan lagi. Kini hampir tiga tahun berlalu keadaan ekonomi negara masih muram. Komposit Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur pada minggu lepas menjunam dibawah paras 650 mata dan akan menjunam lagi menurut para analisa Bursa Saham. Keadaannya lebih teruk lagi daripada keadaan semasa ekonomi merudum pada Julai 1998. Kalau diambil kira dalam Dollar Amerika keadaan lebih parah lagi.

Berbanding dengan Korea Selatan yang menggunakan kaedah IMF pasaran saham dan ekonomi mereka pulih 119% dan Thailand yang juga menggunakan kaedah IMF pulih 32% sedangkan Malaysia masih ditahap negatif [-5%]. Walaupun Indonesia juga pada mulanya menggunakan kaedah IMF tetapi tidak melaksanakan cadangan-cadangan yang diunjurkan oleh IMF sepenuhnya menyebabkan pasaran saham dan ekonomi mereka masih ditahap negatif [-30%]. Dan inilah yang selalu digunakan oleh kerajaan untuk membuat perbandingan kejayaan diantara kaedah yang dilaksanakan oleh negara dan IMF, satu perbandingan yang tidak berasas sama sekali. Rakyat yang tidak faham akan mekanisma ekonomi terpinga-pinga dengan segala gambaran indah yang diwar-warkan oleh kerajaan berbanding dengan Indonesia. Kenapa tidak dibandingkan dengan Korea Selatan atau Thailand.

Tuan Yang di Pertua,

Disini saya ingin bertanya adakah Korea Selatan dan Thailand hari ini dijajah apabila menggunakan bantuan IMF. Dimana kebenaran tuduhan bahawa negara akan dijajah sekiranya meminta bantuan IMF. Apakah pimpinan negara mempunyai agenda atau muslihat peribadi untuk menggunakan wang rakyat dalam skima menyelamatkan syarikat-syarikat yang dikuasai oleh kroni-kroni mereka. Akhir-akhir ini apa yang dijangkakan telah berlaku. Satu persatu syarikat-syarikat kroni di "bail-out" dengan menggunakan wang rakyat. Pemilik syarikat yang di "bail-out" mendapat bayaran yang lumayan dan menguntungkan. Kerajaan seolah-olah memberi hadiah kepada kegagalan pemilik syarikat-syarikat yang di "bail-out". Pemimpin Kerajaan tidak akan melakukan perkara sedemikian sekiranya mereka tidak mempunyai kepentingan peribadi. Kerajaan semestinya menjaga kepentingan rakyat terbanyak bukan dua tiga kerat kroni sahaja. Sebenarnya pemimpin kerajaan takut kepada IMF kerana tidak akan dapat peluang mengaut keuntungan dari skim "bail-out" yang akan dilaksanakan sekirannya diawasi oleh IMF.

Tuan Yang di Pertua,

Kerajaan menjanjikan melalui kaedah pemulihan ala-Malaysia aset negara tidak akan tergadai ke tangan asing. Apakah ini benar. Kenapa Pelabuhan Kontainer Kelang Barat (West Port) dan Pelabuhan Palapes Johor Baru yang pada mulanya diswastakan kepada syarikat milik anak Perdana Menteri dijual kepada syarikat Hong Kong atas nama "strategic partnership". Dimana janji Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan aset negara dari jatuh ke tangan asing sehingga kerajaan tidak akan minta bantuan dari IMF sedangkan syarikat yang diswatakan kepada anak beliau sendiri tergadai kepada syarikat asing.

Perlu diingatkan bahawa George Soros hanya berjaya menyerang matawang negara yang ekonomi mereka diselaputi buih atau "bubble economy" seperti Malaysia, Thailand, Korea Selatan dan sebagainya. Negara-negara yang ekonomi mereka tumbuh secara mantap seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Cina penyangat matawang tidak berupaya menyerang mereka. Ini membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi kita tidak seimbang dan mudah dilumpuhkan kalau tidak berhati-hati.

Saya minta cukuplah pimpinan negara memperbodohkan rakyat dengan ciptaan "Bogie-bogie" penjajah asing dan penyangat untuk mengabui mata rakyat akan kepincangan sebenar yang berlaku. Kerajaan mesti mengakui kesilapan- kesilapan mereka dan menyerah kepada rakyat untuk menilai keberkesanan dan keperluan penerusan pimpinan sekarang. Biarlah rakyat diberi gambaran sebenar agar mereka lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan

Tuan Yang di Pertua,

Baru-baru ini Perdana Menteri membentangkan cadangan baru untuk menghadapi kelembapan ekonomi yang berterusan lebih-lebih lagi apabila ekonomi Amerika Syarikat menunjukkan tanda-tanda kelembapan. Apabila cadangan ini dibentangkan Bursa Saham Kuala Lumpur menjunam lebih 21 mata atau 0.7% sedangkan pada hari yang sama Bursa Saham Singapura meningkat 2.8% dan Bursa Saham Bangkok meningkat 1.7%. Ini bermakna pelabur tidak yakin lagi dengan cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. Apatah lagi cadangan yang dibuat selama ini pun tidak dapat meyakinkan pelabur akan keberkesanannya. Dimana janji kerajaan untuk memulihkan ekonomi dalam masa 3 atau 6 bulan setelah langkah-langkah pemulihan diambil. Hingga hari tidak menampakkan apa-apa kesan ketara malah makin parah walaupun kerajaan melalui media-media perdana menggambarkan bahawa ekonomi sudah pulih. Banyak perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri mendapat reaksi yang negatif.

Semalam setelah Perdana Menteri membentangkan Rancangan Jangka Panjang Ke 3 Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur menjunam 17 mata. Itu pun setelah pembelian oleh Institusi disaat-saat akhir untuk melonjakkan indeks komposit BSKL. Kalau tidak keadaan lebih parah lagi. Tidakkah ini membuktikan bahawa kepimpinan negara menghadapi krisis keyakinan yang begitu parah sekarang.

Tuan Yang di Pertua,

Sudah hampir tiga tahun rakyat menunggu pemulihan ekonomi yang dijanjikan tetapi hari ini rakyat hampa melihat tindakan kerajaan yang hanya berminat menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu sahaja yang ada hubungan dengan kepimpinan negara seolah-olah pemulihan syarikat-syarikat ini bermakna pemulihan ekonomi keseluruhannya. Pelbagai kaedah digunakan untuk mengabui mata rakyat apa yang sedang dilakukan kerajaan dalam usaha untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni.

Hasilnya hutang negara meningkat, kos pinjaman meningkat, dana-dana rakyat kekeringan, pelabur tidak berminat lagi melabur di Malaysia, Bursa Saham terus menjunam, pengangguran meningkat, harga barangan keperluan meningkat, ketelusan dan kewibawaan kepimpinan negara dipersoalkan. Untuk mengekalkan kuasa pimpinan negara menggunakan institusi Kehakiman, Polis, Media dan sebagainya sehingga rakyat hilang keyakinan akan kewibawaan Institusi-institusi ini.

Tuan Yang di Pertua,

Selepas tragedi 13 Mei 1969 satu DASAR untuk memenuhi tuntutan Kotrak Sosial sepertimana yang termaktub didalam Perlembagaan Negara dimana masyarakat Melayu dan Bumiputera diberi beberapa hak dan keistimewaan diatas persetujuan mereka menerima kerakyatan masyarakat pendatang ketika itu semasa menuntut kemerdekaan Negara telah digubal dan dimeterai. Dasar ini digubal bagi mengatasi ketidakseimbangan ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera dengan syarat usaha membanteras kemiskinan terus dibuat tanpa mengira kaum. Dasar tersebut dinamakan Dasar Ekonomi Baru yang juga dikenali sebagai dasar serapang dua mata dan diberi tempoh selama 20 tahun untuk dilaksanakan bermula 1970 hingga 1990.

Dalam tempoh 20 tahun itu, masyarakat Bumiputera diberi peluang untuk mendapat kelayakan dan pendidikan tertinggi dan telah berjaya membentuk satu golongan akademik dan profesional yang setanding dengan bangsa-bangsa lain. Namun tempoh 20 tahun itu terlalu singkat untuk mencorak golongan tersebut menjadi golongan usahawan. Akibatnya, pada akhir tahun 1990, ekuiti bumiputera dalam sektor perdagangan dan perindustrian masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa lain walaupun pelbagai usaha telah dibuat termasuk penubuhan dana-dana dan syarikat-syarikat Pelaburan yang dikhaskan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera untuk mengagihkan kekayaan ekonomi negara.

Tuan Yang di Pertua,

Selepas 1990, tidak ada lagi dasar yang jelas untuk memenuhi tuntutan Kontrak Sosial didalam pengagihan perkembangan ekonomi negara secara saksama di antara kaum ditekankan. Satu dasar baru iaitu Dasar Pembangunan Nasional telah digubal tetapi objektifnya terlalu kabur dan banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berlaku didalam perlaksanaannya. Pelbagai nama yang mengelirukan seperti Malaysia Incorporation, penswastaan, kontrak turnkey dan sebagainya digunakan. Dasar ini yang sepatutnya menjadi pengganti kepada Dasar Ekonomi Baru didalam memenuhi tuntutan Kontrak Sosial telah diselewengkan dan disalahgunakan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada segelintir orang perseorangan dan syarikat-syarikat yang dipilih oleh kepimpinan negara. Kerajaan Barisan Nasional seolah-olah berpendapat bahawa setelah 20 tahun mengagih menafaat perkembangan ekonomi secara saksama maka tibalah masanya untuk mewujudkan segolongan billionaire di kalangan segelintir individu yang dipilih. Segelintir orang Melayu bersama rakan kongsi mereka dikalangan orang-orang Cina dan India telah dipilih menjadi golongan terpilih dan teristimewa untuk diagihkan kekayaan negara. Kewujudan golongan ini samalah seperti wujudnya golongan kelas teristimewa di bawah Sistem Komunis Eropah Timur.

Golongan istimewa ini telah membina bersama mereka satu budaya baru yang penuh berpenyakit. Kekayaan yang mereka perolehi disogok oleh kerajaan tanpa banyak usaha dan pengorbanan. Gaya hidup mereka penuh dengan kemewahan dan pembaziran. Mereka menjadi " anak emas " UMNO yang dianugerahkan kemewahan di bawah penggubalan dasar ekonomi negara. Merekalah yang mewakili bangsa Melayu baru.

Perdana Menteri amat berbangga dengan mereka dan senantiasa dibawa bersama mengikuti rombongan ke merata dunia terutamanya negara-negara Afrika dan negara-negara Selatan. Mereka menonjolkan gaya hidup yang serba mewah untuk memberi isyarat kepada rakan-rakan mereka di Afrika bahawa kemewahan itu boleh dikecapi jika melaksanakan dasar penswastaan ala Malaysia. Malah mereka menciplak rancangan penswastaan projek-projek yang sama ke beberapa buah negara Afrika. Sekarang kebanyakkan projek-projek ini mengalami kemelut kontrovasi yang meruncing. Baru-baru ini Badan Pencegah Rasuah dilaporkan sudah selesai menyiasat kes seorang peniaga Malaysia merasuah pegawai-pegawai kerajaan Tanzania sebanyak RM50.0 juta dan banyak lagi penyiasatan kes seperti ini sedang berjalan. Apa tindakan sudah diambil setakat ini. Adakah mereka akan dilindungi atau tindakan akan diambil.

Tuan Yang Di Pertua,

Menjelang tahun 1997, ketidakseimbangan pengagihan kekayaan negara telah membangkitkan kemarahan rakyat. Satu konfrontasi terbuka tercetus di dalam perhimpunan UMNO pada tahun 1997. Di satu pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sikap egaliltarian dan kesaksamaan telah mempersoalkan kaedah pembahagian kekayaan negara kepada segelintir individu terpilih termasuk ahli keluarga Perdana Menteri sendiri. Di satu pihak lagi Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya bahawa pengagihan dibuat secara adil dan saksama .

Konfrontasi ini sepatutnya diselesaikan dengan penggubalan dasar baru untuk memenuhi tuntutan kontrak sosial untuk semua kaum terutamanya masyarakat bumiputera dan orang-orang Melayu.Tetapi malangnya ia berakhir dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari semua jawatan kerajaan dan parti yang kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan.

Didalam perhimpunan UMNO tersebut, istilah kronisma dan nepotisma bergema dan pemimpin tertinggi UMNO dituduh mengamalkannya. Sejak itu hilanglah kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO dalam memenuhi tuntutan Kontrak Sosial diantara kerajaan yang dipimpin oleh UMNO dengan orang-orang Melayu. Pada pilihanraya yang lalu UMNO hanya mampu meraih 35% sahaja undi orang Melayu dan ini menguatkan lagi pengesahan bahawa kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO untuk memenuhi tuntutan kontrak sosial untuk orang-orang Melayu telah berakhir buat selama-lamanya. Hari ini UMNO hanyalah merupakan Parti Melayu yang terselamat dalam pilihanraya baru-baru ini hasil sokongan orang-orang bukan Melayu yang tertipu melalui penerimaan tuntutan-tuntutan Siquie tetapi menolaknya selepas pilihanraya. Mereka pasti tidak akan memilih UMNO dan Barisan Nasional lagi pada pilihanraya akan datang dan ini ternyata berlaku dalam pilihanraya LUNAS baru-baru ini.

Sejak itu orang Melayu mula mengatur langkah di bawah Parti KeADILan Nasional dan PAS dalam memenuhi tuntutan kontrak sosial mereka. Mereka menuntut diadakan REFORMASI dan mendesak kerajaan melaksanakan keadilan sosial. Bermula dengan itu maka bergemalah laungan RE-FOR-MA-SI dan TAKBIR ALLAHUAKBAR disetiap pelusuk dan ceruk negara. Laungan-laungan ini menggerunkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Orang-orang Cina juga menuntut diadakan REFORMASI. Setelah setahun pilihanraya berlalu orang-orang Cina mula bekerjasama dengan orang Melayu dalam tuntutan REFORMASI. Kerjasama ini begitu ketara dalam pilihanraya Lunas November lalu. Kemenangan Parti Keadilan Nasional di Lunas menunjukkan bahawa rakyat menolak secara total pendekatan perkauman yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional selama ini. Rakyat telah bersatu hari ini dalam menuntut KeADILan untuk semua.

Tuan Yang di Pertua,

Sudah hampir 20 tahun Perdana Menteri sekaran telah berkuasa dengan menggunakan setiap strategi dan tektik untuk terus berkuasa. Kuasa tersebut disalahgunakan sedemikian rupa sehingga membolehkan segelintir individu terpilih membolot kekayaan negara. Beliau amat berbangga dengan pencapaian dan kejayaan projek-projek yang beliau laksanakan dengan memperbesar-besarkan melebihi had apa yang sepatutnya diperkatakan. Beliau cukup berminat melaksanakan projek-projek mega yang kebanyakannya menempa kegagalan dan kerugian yang kemudiannya terpaksa diselamatkan oleh kerajaan. Kini kerajaan melalui dana-dana rakyat seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabong Haji, Tabong Amanah Pencen, Permodalan Nasional, Khazanah Holding, Danaharta, Danamodal, Bank Pembangunan dan pelbagai institusi lagi telah digunakan untuk menyelamatkan projek-projek golongan kapitalis kroni ini.

Tuan Yang di Pertua,

Pemimpin kita sanggup menggunakan puluhan billion ringgit untuk menyelamatkan sebilangan kecil kroni dan dalam nafas yang sama menafikan hak 800,000 orang rakyat Negeri Terengganu yang 90% nya terdiri dari orang Melayu yang beragama Islam dengan merampas hak pembayaran "royalti petroleum" dari kerajaan Negeri Terengganu.

Pemimpin yang membela sebilangan kecil kroni dan menzalimi 800,000 rakyat yang terdiri dari orang Melayu tidak layak digelar sebagai pemimpin Melayu. Pemimpin Melayu seharusnya memastikan nasib semua orang Melayu terbela dan tidak dianiayai untuk kepentingan politik peribadi dan politik berdendam.

Tuan Yang di Pertua,

Sebenarnya tuntutan orang-orang Melayu, Cina dan India ini adalah tuntutan untuk mendesak kerajaan menghentikan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam sistem ekonomi dan politik dan menegakkan keadilan. Mereka menuntut supaya perpaduan dilandaskan melalui program pengagihan ekonomi dibuat secara adil dan saksama yang dapat dimenafaati oleh semua kaum dan melindungi mereka yang lemah, miskin dan daif. Orang-orang Melayu, Cina dan India menuntut satu DASAR baru dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan Kontrak Sosial tetapi kerajaan Barisan Nasional merasai amat sukar untuk memahaminya.

Tuan Yang di Pertua,

Sewaktu dikenakan hukuman penjara dahulu, Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan sesuatu yang sukar difahami ketika itu. Beliau berkata " kerajaan boleh memenjara jasad beliau tetapi tidak boleh memenjara semangat dan perjuangan beliau ". Kini kita dapat memahami maksud kata-kata beliau itu kerana setelah hampir 1000 hari dipenjarakan, semangat perjuangan beliau masih bergentayangan bebas, menebusi tembok besi penjara Sungai Buloh merentasi ruang maya bukan saja negara ini tetapi seluruh pelusuk dunia menjadikan beliau tahanan politik yang paling terkenal di dunia hari ini. Ketabahan dan kecekalan beliau dalam menghadapi tindakan zalim terhadap beliau serta keluarga oleh seorang pemimpin yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan telah menyayat hati seluruh rakyat dan masyarakat bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara.

Kerajaan memenjarakan beliau 15 tahun dengan beranggapan bahawa beliau akan menjadi terlalu tua dan tidak berupaya lagi untuk meneruskan perjuangannya menuntut keadilan. Mungkin anggapan ini benar. Bagaimana jika anggapan ini salah ?

Apa akan terjadi jika negara terus dilanda kemelesetan ekonomi disebabkan keengganan negara-negara lain melabur dengan kita kerana melanggar dan mencabuli hak asasi dan etika kemanusiaan sejagat. Kita tidak hidup keseorangan tetapi saling perlu memerlu diantara satu sama lain. Kita tidak boleh bertindak zalim terhadap seseorang semata-mata kerana kepentingan politik peribadi. Kita tidak suka dizalimi tetapi kita sendiri bertindak zalim terhadap musuh politik kita. Bagaimana jika pencabulan hak asasi kemanusiaan yang dilakukan kerajaan ini mendapat tindak balas dari dunia luar yang mungkin bertindak memboikot negara kita dalam pelaburan dan perdagangan. Siapa yang akan menanggong kesengsaraan diatas kebodohan tindakan kepimpinan negara demi kepentingan agenda politik peribadi mereka. Bukankah rakyat yang akan menanggong kesengsaraan ini sedang pemimpin negara bersenang-lenang dengan kemewahan yang diperolehi secara mencurigakan.

Saya ingin mengingatkan kerajaan Barisan Nasional bahawa kita sedang diperhatikan oleh dunia. Walaupun kerajaan bertegas bahawa negara luar tidak berhak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara namun kita juga tidak berhak memaksa mereka melabur dan berdagang dengan kita. Di dalam dunia yang bertimbal balas tidak ada sebuah negara yang boleh berdiri sendiri. Negara perlu berdagang dengan negara luar. Kita perlu bersaing dan bergantung kepada negara lain, kecuali jika kita ingin menjadi seperti Burma.

Hakikatnya kes Dato' Seri Anwar Ibrahim kini menjadi perhatian dunia. Kerajaan Barisan Nasional sering mengatakan politik tidak penting kepada pelabur asing. Saya ingin mengatakan di sini bahawa politik penting cuma kerajaan yang cuba menafikan hakikat ini.

Tuan Yang di Pertua,

Kerajaan Barisan Nasional mungkin akan memenangi semua pertempuran tetapi kerajaan akan kalah kepada kebangkitan rakyat menuntut RE-FOR-MA-SI. Apabila kebangkitan reformasi ini berjaya, teraju kepimpinan negara akan diambil alih oleh Barisan Alternatif. Di bawah pemerintahan Barisan Alternatif nanti, negara akan mengalami satu era kemakmuran dan kesejahteraan yang belum pernah dikecapi sebelum ini. Kerajaan Barisan Alternatif dibentuk atas kesedaran dan rasa tanggung jawab terhadap peranan yang dimainkan baik wanita maupun lelaki dalam menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh regim Barisan Nasional. Di bawah Barisan Alternatif, negara akan menikmati erti kebebasan dan keadilan sebenar. Malaysia akan menjadi sebuah negara yang makmur, aman dan bebas di mana semua hak asasi kemanusiaan akan terjamin.

Sejarah akan mencatat bahawa kemenangan Barisan Alternatif adalah hasil semangat perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bergentayangan bebas walaupun jasad beliau terpenjara . Sejarah juga akan mencatat bahawa dengan pertolongan Allah, rakyat yang dizalimi dan ditindas akhirnya berjaya menentang kezaliman walaupun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

Sekian. Terima kasih.

YB Abd Rahman Bin Yusof Ahli Parlimen Kemaman

mpkemamn@hotmail.com