MOTIF SHAHIDAN ANJUR MUZAKARAH?

Komentar TARMIZI MOHD JAM

 


IKLAN TERBARU: Dapatkan sekarang dipasaran ISU: Mengapa Takut Haji Hadi? Pada harga RM3.50 senaskah. Eksklusif dari Editor Tarmizi Mohd Jam. Hubungi emeil isu_malaysia@hotmail.com  bagi mendapatkan keterangan lanjut dan buat pesanan. Pengedar dikehendaki segera! Sila lihat promosi pada hampir semua laman web 1, 2 & 3 Ogos 2000 atau kunjungi Laman Jebat 2020.

 


 

Tawaran Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim bukanlah suatu yang mengejutkan. Mengundang Haji Abdul Hadi Awang untuk duduk semeja atas wadah muzakarah, amat dialu-alukan. Muzakarah tentang “Amanat Haji Hadi” katanya; ketika menggulung perbahasan usul tergempar mengencam Kumpulan Al-Ma’unah yang menimbulkan ancaman kepada negara.

 

Shahidan hanya mengulangi tawaran “tawar” yang tidak pernah dipenuhi. Menawarkan diri untuk menjadi orang tengah atau penganjur dalam hal ini memang baik dan amat tepat. Tetapi, mengadakan muzakarah hanya untuk menuding jari kepada PAS dan Haji Hadi, patut dihindarkan oleh Shahidan. Siapa tidak kenal, MB Perlis itu? Kenyataan dan gelagatnya, cukup untuk mengukur motif beliau mengundang Haji Hadi berada sama dalam muzakarah “kununnya” untuk membincangkan soal “Amanat Haji Hadi” yang amat digeruni oleh para pemimpin Umno itu.

 

Muzakarah itu sarat dengan ingatan dan amaran dari Shahidan. Katanya, muzakarah yang dicadangkannya itu hanya boleh dihadiri oleh para pemimpin PAS dan anggota PAS yang berdisiplin sahaja. Apakah yang tersirat dari ungkapan itu, jika tidak dengan niat politik untuk memerangkap dan mengelak dari menjadikan kenyataan terhadap muzakarah itu. Dengan niatnya itu, Shahidan sendiri telah memasang nawaitu untuk menggagalkan muzakarah tersebut. Muzakarah hanya menjadi “buah mulut” kalangan ahli Umno dan “buah tangan” untuk santapan ringan PM, Mahathir Mohamad.

 

“Kita ingatkan PAS kerana mereka mempunyai anggota-anggota yang kurang berdisiplin dan suka memekik…tidak seperti orang Umno,” sindir Shahidan seperti yang dilaporkan Bernama 1 Ogos lalu. Ingatan itu tidak banyak menjamin ke arah wujudnya muzakarah seperti yang diidam-idamkan. Sebaliknya, ia hanya untuk dijadikan “kambing-hitam” bagi membolehkan MB Perlis itu “popular” dengan kenyataan undangannya untuk me gadakan muzakarah tersebut.

 

Sudah menjadi kelaziman kepada media pro kerajaan di negara ini, akan meminta Shahidan mengulas dan memebri komen dalam perkara sensitive terhadap PAS. “Kununnya” hanya Shahidan sahaja yang berani dan boleh berlaku “kurang ajar” terhadap parti dan para pemimpin PAS. Pendek kata, kalau bertujuan untuk “membelasah” PAS, maka carilah Shahidan yang tidak lekang dengan curut panjangnya.

Seperti niatnya untuk menyaman Kerajaan Terengganu berkaitan royalty minyak, maka begitulah juga nakalnya usikkan Shahidan itu untuk menarik perhatian rakyat terhadap usaha politiknya ke arah mengadakan muzakarah “demi perpaduan umat Islam di negara ini”, katanya dalam laporan itu. Bukankah Shahidan juga digunakan untuk “membelasah” PAS dan Haji Hadi dalam soal pemberian royalty minyak itu, sekalipun sudah ada hitam putih perjanjian dalam hal berkenaan?

 

Kebencian Shahidan terhadap PAS dan para pemimpinnya bukan suatu yang rahsia lagi. Dari mimik wajahnya, kenyataannya, kudipan bibirnya dan bahasa kesat yang digunakan amat jelas, terlahir kebencian yang amat sangat terhadap perjuangan yang dibawa oleh PAS. Tiada ruang langsung untuk kotak fikirannya “merenung” pandangan atau cadangan yang diutarakan oleh PAS melainkan terus-terusan “menyerang” dan “mengherdik” parti yang sekian kali dibencinya itu.

 

Apakah yang terkandung dalam pelawaan dan tawarannya terhadap Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hasyim Jassin kalau bukan untuk menghina dan memfitnah beliau dan PAS “kununnya” perjuangan dan kerja PAS selama ini hanya menyeru umat Islam ke arah perpecahan dan kehancuran. Shahidan mengulangi tawarannya untuk menyerahkan gajinya kepada Ustaz Hasyim sekiranya beliau sanggup berdakwah ke arah perpaduan umat Islam. Dalam ertikata lain, Ustaz Hasyim mestilah meninggalkan kerja-kerja dakwahnya bersama PAS itu, yang dianggapnya songsang dan memecah-belahkan ummat.

 

Memang telah lama, Shahidan merumuskan perjuangan yang dibawa PAS ini “sesat”, dan Umno yang tidak diketahui latarbelakang politiknya secara sah mengikut Quran dan Hadis (malah tidak pernah untuknya mengkaji Umno itu menurut  pandangan Quran dan Hadis) menjadi tempat pergantungan puja dan puji beliau. Seolah-olah Umnolah yang telah memberikan rezeki, dan Mahathirlah yang “melindunginya” untuk terus berada dalam kekuasaan kerajaan.

 

Tidak banyak harapan untuk digantungkan kepada kesediaan Shahidan menganjurkan muzakarah mengenai “Amanat Haji Hadi” itu. Sekali lagi, “Amanat Haji Hadi” menjadi tempat untuk mereka melepaskan geram terhadap PAS dan Haji Hadi. Apatah lagi, Haji Hadi yang sarat kontroversi itu kini sudah bergelar YAB Menteri Besar di sebuah negeri kaya minyak.