HARGA MINYAK - ALASAN DAIM LEMAH
 
Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menyeru supaya rakyat jangan bimbang
dengan kenaikan harga  minyak yang dicadangkan oleh Kerajaan, kerana
mengikut jangkaannya harga minyak antarabangsa akan turun tahun depan.
Yang menjadi soal ialah: adakah apabila harga minyak di pasaran dunia turun,
maka harga minyak untuk pengguna-pengguna di Malaysia akan diturunkan
kembali? Kami percaya ini tidak akan berlaku.
 
Kami tidak faham mengapa, apabila harga minyak di pasaran dunia berkali-kali
jatuh sehingga lebih separuh daripada harga yang agak tinggi sekarang, tidak
pernah ada langkah untuk menurunkan harga minyak untuk pengguna-pengguna  di
negeri ini. Mengapakah apabila harga di pasaran dunia naik tinggi, itu
dijadikan alasan untuk menaikkan harga di pasaran tempatan pula?
 
Daim berkata minyak dalam negeri akan dinaikkan untuk mengurangkan subsidi
yang terpaksa dibayar oleh kerajaan. Mengapakah Daim membuat heboh tentang
subsidi minyak ini, pada hal ia membantu meringankan beban ke atas ramai
rakyat dan membantu mengawal kenaikan harga barang? Selama ini kerajaan
mengeluarkan berbilion-bilion untuk menyelamatkan beberapa kerat tokoh
korporat besar yang menghadapi masalah kewangan.
 
Lihat saja, sebagai contoh, bagaimana wang PETRONAS digunakan untuk
menyelamatkan syarikat Mirzan Mahathir dan wang Danaharta digunakan untuk
menyelamatkan syarikat Tan Seri Halim Saad. Bukankah ini seperti subsidi
juga kepada mereka? Sejumlah lebih daripada RM4.2 bilion digunakan untuk
menyelamatkan mereka. Jumlah ini lebih daripada  RM3.2 bilion untuk membayar
subsidi petrol tahun ini. Daim dan para pemimpin BN yang lain mesti
menunjukkan perspektif yang seimbang.
 
Satu lagi perkara penting, yang telah berulang kali kami sebutkan  ialah
mengenai nilai bersih PETRONAS. Jumlah nilai bersih PETRONAS, berasaskan
penghasilan minyak sejak tahun 1975, dianggarkan melebihi RM250 bilion. Akan
tetapi, mengikut angka rasmi, nilai bersih itu pada masa ini hanya sebanyak
RM45.6 bilion saja? Ke manakah lesapnya baki lebih kurang RM200 bilion itu?
Berapa banyak dibelanjakan untuk projek-projek mega? Berapa banyak untuk
menyelamatkan kroni-kroni. Adakah apa-apa yang dibelanjakan sebagai subsidi
minyak? Kami meminta Daim menjelaskan perkara ini.
 
Akhir sekali, Daim menyatakan bahawa orang asing dari negara tetangga
mendapat untung daripada subsidi ini apabila mereka membeli minyak daripada
stesen-stesen di negeri ini. Perkara ini mudah saja dikawal, jikalau
diadakan peraturan untuk menyekat pembelian minyak oleh orang asing ini.
Kerajaan Singapura boleh menghadkan banyak mana minyak yang boleh dibeli
oleh rakyatnya dari Johor Bahru. Mengapakah kita tidak boleh menghadkan
kuantiti minyak yang boleh dibeli oleh rakyat Thai, misalannya, dari
stesen-stesen minyak di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand? Daim
mesti berhenti memberi alasan-alasan lemah.
 
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
25hb September 2000