KENYATAAN MEDIA PRM
 
Jangan Naikkan Harga Minyak
 
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa kenaikan harga
minyak petrol dan diesel pasti akan berlaku. Bila ia akan dilaksanakan dan
berapa peratus kenaikan harga itu belum lagi  kita ketahui. Akan tetapi Dr
Mahathir meminta supaya para peniaga tidak akan menaikkan harga
barang-barang sebab kenaikan harga minyak. Kami bimbang  permintaan Mahathir
tidak akan dihiraukan.
 
Tanpa kenaikan harga minyak petrol dan diesel pun, akhir-akhir ini harga
barang keperluan harian seperti sayuran, ikan dan ayam sudah naik. Walau apa
pun nasihat bahkan amaran yang Mahathir beri, sudah tentu kenaikan harga
barang keperluan harian akan meningkat  lagi selepas harga minyak dinaikkan
nanti. Kerajaan tidak mempunyai peraturan atau kebolehan  untuk mengawal
peningkatan  harga tersebut.
 
Seperti yang Mahathir sedari, kos pengangkutan yang menggunakan petrol atau
diesel pasti akan bertambah. Faktor ini, bersama-sama dengan bayaran tol
yang tinggi, sudah tentu akan menjadi alasan untuk menaikkan harga barang
keperluan itu. Bahkan ia akan menjadi alasan juga bagi menaikkan bayaran
tambang bas dan teksi. Menteri Nazri Aziz telah mengumumkan bahawa tambang
bas akan dinaikkan berperingkat-peringkat.
 
Golongan apakah yang paling teruk menanggung bebanan daripada kenaikan harga
barang dan tambang nanti? Sudah tentu rakyat yang berpendapatan rendah dan
sederhana. Sebaliknya, bagi golongan ini nilai wang semakin menurun dan gaji
atau upahan mereka pula tidak dinaikkan. Kami menuntut agar konsep “gaji
fleksi”, iaitu gaji yang dinaikkan mengikut kenaikan kos hidup, ditimbang
untuk perlaksanaan.
 
Salah satu alasan yang diberi untuk menaikkan harga minyak ini ialah
harganya di Malaysia adalah lebih rendah daripada di Singapura dan Thailand,
misalannya. Cara perbandingan seperti ini sebenarnya tidak mempunyai asas
yang kukuh. Nanti ada orang yang boleh membandingkan pula bahawa pendapatan
per-kapita serta taraf hidup di Singapura adalah jauh lebih tinggi daripada
Malaysia. Manakala di Thailand pula, bukan saja harga barang keperluan lebih
rendah daripada Malaysia, bahkan mereka tidak perlu membayar cukai jalan dan
tol yang tinggi seperti di Malaysia.
 
Selain itu, pihak kerajaan mendakwa bahawa ia terpaksa membayar subsidi yang
tinggi untuk minyak, sebagai contoh dalam lingkungan RM500 juta dalam tahun
1998. Kami ingin tahu, ke manakah pergi hasil daripada minyak yang
diperolehi PETRONAS? Kita ketahui perbadanan ini di bawah kuasa Kerajaan
(atau lebih tepat jabatan Perdana Menteri). Ada anggaran yang menyatakan
hasil atau nilai bersih PETRONAS sejak ia ditubuhkan pada 1975  adalah lebih
daripada RM250 bilion. Sebaliknya mengikut angka rasmi yang terkini, nilai
bersih PETRONAS berjumlah lebih kurang RM46 bilion saja.
 
 
Mengapakah terdapat perbezaan begitu besar? Ke manakah pergi jumlah lebih
RM200 bilion daripada wang PETRONAS itu? Kami percaya, jikalau Mahathir
tidak menggunakan wang PETRONAS untuk projek-projek mega kesukaannya ataupun
untuk menyelamatkan kroni-kroni serta suku-sakatnya yang diancam bankrap,
sudah tentu ia dapat digunakan untuk memastikan harga minyak tidak akan
naik.
 
Memandangkan akibatnya yang pasti buruk ke atas  majoriti rakyat dari
golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, PRM menggesa dengan kuat
supaya kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak. Jikalau ia hendak
dinaikkan juga, maka gaji atau upahan bagi pekerja-pekerja berpendapatan
rendah dan sederhana hendaklah dinaikkan dengan sewajarnya.
 
 
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
22hb September 2000