Salam Reformasi
12-04-2001

DIMANA MILITANNYA KITA?

Tuduhan melampau Ketua Polis Negara tentang usaha kita untuk bertindak secara militan melampaui batas. Tindakan beliau dalam usaha membela Dr Mahathir Mohamed di pandang pincang oleh rakyat. Dimana langkah militan kita semenjak dari 1998? Apakah ada antara pihak polis yang terkorban? Apa adakah antara pihak polis yang cedera berat? Setahu Komentar yang cedera hanya mampu menunjukkan bekas luka sebesar goresan duri sahaja.

Melihat pula tindakan ganas polis keatas rakyat yang hadir dalam perhimpunan aman maka apa yang boleh kita simpulkan ialah "BIAR RAKUS DAN GANASNYA TINDAKAN POLIS TERHADAP KITA, NAMUN SEDIKIT PUN KITA TIDAK PERNAH MEMBALASNYA".

Dimana militannya kita sedangkan kehadiran beratus ribu rakyat pada awal laungan reformasi yakni sekitar Sept98 keatas, namun tidak ada satu bangunan terbakar.

PEMBELIAN PELANCAR BOM

Satu lagi tuduhan palsu pihak polis ialah kononnya gerakan reformasi mahu membeli pelancar bom. Satu tuduhan yang tidak berasas dan tuduhan ini dibuat bagi membolehkan mereka menahan pemimpin parti dan aktivis reformasi dalam kancah ISA.

Fikirkanlah, kalau benar mereka ada bukti cubaan pembelian tersebut, kenapa tidak ditangkap pada masa itu. Tahun 1998 hingga kini sudah melebihi 2 tahun.

Pokoknya Kerajaan Mahathir mahu melumpuhkan gerakan reformasi yang menentang beliau, lantas ISA digunakan. ISA digunakan kerana selama ini mereka tidak dapat menyekat kepimpinan parti serta gerakan reformasi dari terus berjuang membela negara dari sistem korup Dr Mahathir.

Ambil contoh Sdr Ezam Mohd Nor, beliau telah ditahan atas menghadiri perhimpunan haram, Akta OSA, Akta Hasutan dan pelbagai kesalahan perhimpunan aman tetapi beliau terus-menerus berjuang. Untuk menyekat beliau, apa lagi - dikenakan ISA yang membolehkan penanhanan selama 60 hari tanpa perbicaraan.

Begitu mudah pihak polis bertindak dalam menyokong kezaliman Dr Mahathir.

Apakah ini sistem yang dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan. Nyata tidak.

Komentar percaya isu pelancar bom ini akan berterusan sehingga kononnya ada pengakuan (semestinya dibayar) akan kesahihan cerita dongeng tersebut.

KOMENTAR