KeAdilan Antarabangsa Eropah (KAE)

London   Oxford  Manchester  Birmingham Glasgow  Bristol  Birmingham 

Cardiff  Dublin   Hamburg  Geneva  Brussels  Blois

 

 

 

 

 

Keputusan Mesyuarat Dasar III
KeADILan Antarabangsa Eropah

Pengerusi: Ketua Cawangan Birmingham

Kenyataan Media:

 

KeADILan Antarabangsa Eropah Mendesak Penggantungan Jawatan Ketua Hakim Negara

MUQADDIMAH

 

Sesungguhnya sistem kehakiman yang mantap, bebas dan berkecuali merupakan batu asas yang penting dalam mana-mana demokrasi. Untuk itu, sebuah negara seperti Malaysia harus mempunyai hakim-hakim yang bijaksana dan disegani rakyat. Tanpa rasa hormat daripada rakyat, hakim-hakim tidak akan dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Krisis keyakinan ini telah mula muncul akibat tindakan tidak sah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghasut Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII untuk memecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas serta Hakim-hakim Mahkamah Agung Tan Sri Wan Sulaiman dan Datuk George Seah.

Seterusnya Perdana Menteri telah campur tangan dan mempergunakan hakim-hakim seperti Tun Eusoff Chin, Tan Sri Lamin Yunus, Datuk Ajaib Singh, Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Wan Adnan, Datuk R.K. Nathan, Datuk Ariffin Jaka dan Datuk Augustine Paul Sinnathamby untuk mengeluarkan keputusan yang jelek dan bertentangan dengan undang-undang negara serta "hukum alam" (natural justice).

KESIMPULAN

 

Akibatnya, rakyat Malaysia tidak lagi percaya kepada sistem kehakiman negara dan Malaysia dicemuh di mata dunia sebagai negara yang mengamalkan sistem perundangan yang primitif dan bebal.

KeADILan Antarabangsa Eropah dalam mesyuaratnya di Dewan Malaysia London pada 12 Julai 2000 telah membincangkan krisis kehakiman yang wujud di negara kita akibat hilangnya keyakinan rakyat terhadap Yang Amat Arif Tun Mohd Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara.

Krisis keyakinan ini berpunca daripada tindakan Tun Eusoff yang bersekongkol dengan cara yang mencurigakan bersama para peguam yang mewakili responden dan plaintif dalam kes yang dibawa ke hadapan pengadilannya.

Tun Eusoff telah bertindak dalam cara yang menimbulkan syak dan mungkin terlibat dalam perbuatan yang boleh ditakrifkan sebagai rasuah.

AGENDA TINDAKAN

 

Oleh itu, KeADILan Antarabangsa Eropah dengan sebulat suara merafak sembah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar menggunakan perogatif baginda untuk menggantung jawatan Tun Eusoff sebagai Ketua Hakim Negara dengan serta-merta.

Oleh kerana sebuah tribunal yang akan mengadili Ketua Hakim Negara hanya boleh diwujudkan dengan nasihat Perdana Menteri, kami juga mendesak Seri Paduka Baginda agar mengambil langkah memastikan bahawa tribunal tersebut dianggotai oleh hakim-hakim yang berwibawa.

KeADILan Antarabangsa Eropah mendesak Seri Paduka Baginda agar melantik hakim-hakim berwibawa untuk merangka Kod Etika Kehakiman yang baru di bawah satu Suruhunjaya Diraja khusus untuk tujuan tersebut.

Kami mencadangkan agar bekas ketua-ketua hakim negara iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Muhammad Suffian Hashim, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Yang Amat Berhormat Tun Salleh Abbas dan Yang Amat Berbahagia Tun Hamid Omar dilantik untuk merangka Kod Etika tersebut.

Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim yang lainnya. Jika Seri Paduka Baginda tidak bertindak segera, keluhuran undang-undang yang menjadi salah satu tunggak Rukunegara akan pupus.

PENUTUP

 

Sekali lagi, KeADILan Antarabangsa Eropah merafak sembah Ke Bawah Duli untuk segera bertindak.

Dirgahayu Tuanku!

KeADILan Antarabangsa Eropah
Mesyuarat Dasar III
Dewan Malaysia London
12 Julai 2000

 

 

 

KeADIlan Antarabangsa Eropah terdiri daripada masyarakat Malaysia yang sedang menuntut atau bermastautin di Eropah. Bermula dengan Deklarasi 2000, KeADILan Antarabangsa Eropah bergiat memperjuangkan isu-isu keadilan dan kesejahteraan tanah air di kalangan masyarakat Malaysia, NGO dan kerajaan-kerajaan negara luar. Cawangan-cawangan KeADILan Antarabangsa Eropah telah ditubuhkan di London, Oxford, Manchester, Birmingham, Glasgow, Bristol, Cardiff, Dublin, Hamburg, Geneva, Brussels dan Blois.