KINI

7 June 2000

Edisi 147

4 Rabiul Awal 1421

 

Wajarkah PRM-Keadilan Bergabung?

Parti Rakyat Malaysia (PRM) akan mengadakan Kongres Nasionalnya pada 11 Jun ini. Khabarnya parti itu akan membincangkan satu usul penting iaitu soal bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Dengar khabarnya juga, kedua-dua parti itu telah membentuk satu jawatankuasa teknikal untuk membincangkan soal-soal berkaitan perlembagaan.

Di peringkat akar umbi, terutama di kalangan rakyat umum yang bersimpati dengan kedua buah parti itu, ramai yang merestui usaha penggabungan PRM-Keadilan. Mereka berpendapat penggabungan itu akan menghasilkan sebuah parti politik yang kuat. Tinjauan pendapat di dalam Malaysiakini juga menunjukkan ramai yang menyokong usaha penggabungan itu.

PRM pernah bergabung dengan Parti Buruh pada tahun 50-an hingga pertengahan 60-an. Hasil dari gabungan itu PRM telah memenangi beberapa kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan beberapa Majlis Perbandaran seperti di Pulau Pinang dan Melaka. Selepas gabungan PRM-Parti Buruh bubar, pengaruh PRM merosot. Sejak pilihanraya umum 1974, PRM tidak ada wakilnya di mana-mana badan perundangan, sama ada Parlimen ataupun DUN.

Namun begitu parti yang diasaskan oleh pejuang-pejuang Kemerdekaan seperti Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Hj Muhammad terus hidup. Ada orang menghina PRM yang kecil itu dengan ejekan parti nyamuk. Tetapi PRM terus dengan perjuangannya. Ia terus gigih memperjuangkan keadilan sosial untuk rakyat jelata, demokrasi dari luar Parlimen ataupun DUN. Pada setiap kali pilihanraya umum PRM menyertai proses demokrasi itu. Walaupun ia tahu pilihanraya itu penuh manipulasi dan tipu oleh parti pemerintah.

Biarpun kalah, PRM tidak pernah mengalah untuk mencampakkan cita-cita dan dasar perjuangannya. PRM merupakan salah satu antara parti politik tertua di tanahair kita ini. Kegigihan para pemimpin dan ahli PRM membawa perjuangan mereka selama hampir 45 tahun ini (ditubuhkan pada 11 Nov 1955) telah menjadikan PRM dihormati oleh kawan dan lawan.

Namun begitu, bagi kebanyakan rakyat Malaysia, PRM masih membawa imej kekirian, imej kerakyatan, kelihatan radikal, kelihatan tidak selesa dengan unsur-unsur feudal. Bagi sesetengah orang Melayu khususnya, PRM pada anggapan mereka terlalu jauh ke depan, terutama dasar perjuangannya yang tidak perkauman. Manakala sesetengah golongan yang lain pula melihat PRM sebagai sebuah parti siasah yang sudah ketinggalan zaman. Mahathir pula seringkali melabelkan PRM sebagai parti sosialis walaupun parti itu telah mengubah namanya dari PSRM kepada nama asalnya PRM sejak sepuluh tahun yang lalu (Kongres Nasional tahun 1990).

PRM sering tidak difahami rakyat ramai. Dengan lambang kepala seladang dan roda yang membawa warisan politik 50-an dan 60-an, menjadikan imej PRM agak asing bagi generasi sekarang. Jadi pengaruh PRM tidak meluas. Yang berminat menyertai perjuangan PRM agak terbatas. Mereka terdiri daripada kalangan para pekerja dan golongan miskin terutama di kota yang nasib mereka diperjuangkan oleh parti itu dengan tidak kenal penat. Selain golongan tersebut, PRM merupakan parti pilihan kepada ramai intelektual dan golongan profesional. Ramai pensyarah universiti, peguam, doktor, ahli ekonomi, sosiologi berkampung di dalam PRM.

Tetapi mulai tahun 80-an PRM mengalami kesukaran untuk berkembang. Selepas PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1978, pengaruh PRM di Trengganu, Kelantan dan Kedah terjejas teruk. PRM seperti tersisih dari politik rakyat Melayu yang menjadi petani dan nelayan. Lalu PRM menumpu di kawasan bandar dan perindustrian. Tetapi dengan keahlian yang terbatas menjadikan PRM tidak berkembang pesat. PRM wujud dan aktif hanya di beberapa buah negeri seperti Selangor/KL, Pulau Pinang dan Johor. Itu pun tidak menyeluruh.

Berbanding dengan Keadilan, parti yang baru ditubuhkan ini lebih menyeluruh dan meluas. Golongan muda penuh idealisme yang menyokong gerakan reformasi merupakan tenaga terpenting dalam Keadilan. Tetapi Keadilan juga mempunyai kelemahannya. Keadilan dilekatkan dengan stigma. Terutama kesangsian sesetengah golongan akan sejauh mana parti itu boleh bertahan. Mahathir menganggap Keadilan sebagai parti serpihan Umno. Kebimbangan bahawa parti itu akan rujuk kembali ke pangkuan Umno. Pengalaman bekerjasama dengan Parti Semangat 46 dulu yang berjuang tak sampai ke mana, menjadikan ahli-ahli PRM agak bimbang dengan kesungguhan Keadilan.

Tetapi Keadilan tentu sekali tidak sama dengan Semangat 46. Dalam Keadilan sifatnya bukan monolitik seperti parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.. Kepelbagaian wujud di dalam Keadilan. Parti termuda di Malaysia ini amat menarik sifatnya. Ahli-ahlinya terdiri daripada bekas Umno, bekas Semangat 46, ABIM, aktivis NGO dan orang-orang muda pendokong reformasi yang digelar "Street Fighters". Golongan yang terakhir ini merupakan nadi yang memberi denyut kepada Keadilan. Mereka adalah golongan penuh idealisme dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau pertubuhna NGO sebelum ini. Mereka lahir dalam suasana bergelora akhir tahun 1998. Mereka bertenaga, cergas dan berani. Kelihatan radikal dan ingin maju cepat ke depan membawa perubahan.

Mereka mungkin menentang sebarang kecenderungan ke arah "sindrom 46" yang rujuk semula ke pangkuan UMNO.

Setelah difikirkan baik buruknya, untung ruginya, maka yang jelas satu perkara. Memang wajar PRM bergabung dengan Keadilan. Bukan PRM masuk Keadilan. Bukan Keadilan masuk PRM. Tetapi penggabungan atau percantuman yang tulen. Dua buah parti menjadi sebuah parti politik yang baru. Gabungan PRM-Keadilan perlu dilihat dari aspek pentingnya diperkukuhkan satu paksi politik di tanahair kita ini yang bersifat pelbagai kaum dan tidak perkauman. Satu paksi sedemikian yang memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat pelbagai kaum di Malaysia amat diperlukan. Jika parti gabungan ini diberi nama Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKRM) amat cantik sekali nama itu. Ada "keadilan" dan ada "rakyat" di dalam nama itu.

Penggabungan PRM-Keadilan akan menjadi teras kepada pakatan Barisan Alternatif (BA) yang efektif. Muncul tiga parti sahaja di dalam BA di mana gabungan PRM-Keadilan bertindak sebagai parti di tengah-tengah "jalur spektrum politik" BA yang berwarna- warni. Penggabungan PRM-Keadilan akan mengwujudkan perubahan politik yang bersifat kualitatif. PRM yang mempunyai sejarah perjuangan yang mantap akan membantu keyakinan rakyat terhadap kelangsungan perjuangan Keadilan yang kini disangsikan sebagai sebuah parti serpihan. Penggabungan dua parti itu saling lengkap melengkapi dan memerlukan.

Pakatan BA yang mempunyai PRM-Keadilan sebagai tunjang di tengah-tengah akan banyak membantu meyakinkan rakyat pelbagai kaum - Melayu, Cina, India dan lain-lain di Malaysia ini untuk menganggap BA itu satu alternatif kepada BN. Satu alternatif yang lebih baik, adil dan demokratik.

Bagaimanapun, hak untuk menentukan arah tuju dan masa depan PRM ataupun Keadilan terletak pada tangan ahli-ahli parti itu. Orang luar hanya boleh mengulas dan berharap. Tetapi tidak salah untuk berharap agar ahli-ahli kedua parti itu memikirkan bahawa masa depan PRM dan Keadilan perlu dilihat dalam hubungan yang lebih luas. Iaitu melepasi kepentingan sempit kepartian atau kepentingan peribadi sendirian. Sebaliknya difikirkan tentang kepentingan nasional yang lebih luas. Rakyat mahukan perubahan. Rakyat mahukan keadilan. Pemerintahan BN yang korup, menekan rakyat dan membazir perlu ditumbangkan. Apakah ahli-ahli PRM dan Keadilan sedia menyahut cabaran ini?

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa rakyatnya. Gabungan PRM-Keadilan merupakan kombinasi yang ideal bagi wujudnya sebuah parti yang benar-benar besifat Bangsa Malaysia bersatu. Peluang ke arah itu sedang terbuka sekarang. Apakah ahli-ahli PRM dan Keadilan akan melepaskan peluang bersejarah ini begitu sahaja?