From: 

"Parti Sosialis Malaysia PSM" <parti_sosialis@hotmail.com>

Subject: 

PERUTUSAN MERDEKA PSM : MERDEKAKAH KITA ???

Date: 

Thu, 31 Aug 2000 04:05:03 MYT


PERUTUSAN HARI MERDEKA PSM : 31-8-00

MERDEKAKAH KITA ?

Malaysia sekali lagi menyambut ulangtahun kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos amat
bermakna bagi setiap rakyat di negara ini. Dalam mencari makna yang tepat,
kita perlu menilai semula erti dan isi kemerdekaan. Bagi Parti Sosialis
Malaysia (PSM), kemerdekaan bererti bebas dan berdikari. Merdeka adalah
sesuatu yang suci yang harus dipertahankan oleh setiap rakyat di negara ini
kerana ia menggambarkan pembebasan  yang tidak lagi digugat penjajahan.

PSM melihat bahawa Malaysia tidak akan maju dan membangun seperti yang
dilihat hari ini jika bukan kerana tulang empat kerat pekerjanya.
Pekerja-pekerja Malaysia dari semua kaum dan agama, malah termasuk pekerja
asing ,sejak dulu lagi, telah membangunkan infrastruktur fizikal yang
terpampang di hadapan kita.

Tetapi kenapakah ahli-ahli korporat atau gelaran sebenar mereka - kapitalis
atau pemilik modal - yang digembar-gemburkan atau diagung-agungkan sebagai
penggerak pembangunan negara?

Apakah rakyat Malaysia tidak sedar bahawa majoriti penduduk Malaysia adalah
kaum pekerja? Apakah rakyat sudah lupa kerana terlalu taksub dengan sentimen
perkauman dan sentimen agama yang sengaja diwujudkan untuk melaga-lagakan
pekerja Malaysia.

PSM ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya
kembali merenung sejarah kemerdekaan negara agar dapat dijadikan pedoman
untuk perjuangan hari ini dan esok. Jika pekerja-pekerja, petani-petani,
pelajar-pelajar, peruncit-peruncit dan mereka yang serba daif dalam mencari
nafkah hidup membiarkan diri terus ditipu oleh pemimpin-pemimpin politik dan
kapitalis-kapitalis kaya, maka sehingga bila pun, erti dan isi kemerdekaan
tidak akan tercapai.

Apa gunanya kita merdeka jika Malaysia bukan milik kita. PSM ingin
menegaskan sekali lagi: Apa gunanya kita merdeka jika hanya segelintir
kapitalis menguasai hidup kita.

PSM tidak pernah mempedulikan sama ada kapitalis itu Melayu, Cina, India,
Kadazan, Iban, sama ada kapitalis itu beragama Islam, Kristian, Buddha,
Hindu, sama ada kapitalis itu orang tempatan atau orang luar. Prinsipnya
ialah setiap kapitalis hanya mengutamakan keuntungan.

Sama ada pekerja ditindas, menderita, diperkotal-katikkan, dihina atau
diburuklakukan sewenang-wenangnya, kapitalis tidak mempedulikan itu semua.
Yang penting untung dan terus untung.

Maka, sempena tahun ke-43 Malaysia merdeka, PSM menyeru setiap rakyat supaya
berfikir sejenak. Benarkah kita merdeka sepenuhnya, atau kita sekadar
tumpang gembira atas penindasan kapitalisme terhadap diri kita sendiri.

PSM berharap rakyat Malaysia menilai semula diri mereka. Apakah kita mahu
terus dipecah-perintahkan oleh kaum dan agama? Apakah kita akan terus
membenci seseorang kerana kaum dan agamanya? Apakah kita hanya menyokong
seseorang kerana kaum dan agamanya?

Selagi kita tidak keluar dari belenggu pemikiran feudal, perkauman dan
keagamaan yang sempit, selagi itulah kerajaan - walau dari apa parti sekali
pun - boleh memecahbelahkan perpaduanm rakyat dengan menggunakan isu kaum
dan agama.

Selagi rakyat berpecah, selagi itulah pemimpin-pemimpin kerajaan boleh terus
bersekongkol dengan kapitalis untuk terus mengeksploitasi kekayaan dan
ekonomi negara. Hasilnya, negara kaya, rakyat terus miskin. Apabila rakyat
miskin, wang mudah sahaja membeli jiwa dan raga rakyat.

Merdekakah kita?

PSM sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerderkaan Malaysia
ke-43. Semoga Alaf Baru memberi harapan dan semangat baru untuk rakyat
berjuang menentang penindasan dan kezaliman.

Merdeka Malaysia seharusnya memberi erti rakyat bebas dari penindasan dan
kezaliman. Merdeka itu adalah kebebasan, keadilan, demokrasi dan hak sama
rata untuk setiap rakyat. Tidak ada tempat untuk perkauman dan keagamaan
sempit dalam Malaysia yang benar-benar merdeka.

Salam Hari Merdeka kepada semua pekerja Malaysia.





S.Arutchelvan
Setiausaha Agung
Parti Sosialis Malaysia