KENYATAAN MEDIA (Oleh Rustam Sani)

Pertemuan Meja Bulat Bagi Membincangkan Reaksi Terhadap Tekanan Media oleh KDN

Masalah yang dihadapi oleh Parti Rakyat Malaysia dalam usaha memperoleh izin penerbitan bagi akhbar rasminya, Suara PRM, bukanlah suatu kes tersendiri yang dihadapi oleh PRM sahaja. Parti Keadilan Nasional (KeADILan) juga mengalami masalah yang sama. Akhbar rasmi parti itu, Berita Keadilan, hingga kini masih belum memperoleh izin penerbitan. Permohonan untuk memperoleh izin penerbitan harian Purnama oleh PAS juga telah ditolak oleh pihak berkuasa.

Parti-parti pembangkang lain yang memang sudah mempunyai akhbar rasminya menghadapi pelbagai jenis rintangan yang sengaja diada-adakan oleh pihak berkuasa. Antara rintangan itu ialah pembatasan terhadap penjualan akhbar (untuk anggota parti sahaja), pengurangan kekerapan penerbitan, tindakan undang-undang terhadap wartawan dan editor di bawah undang-undang hasutan, dan sebagainya.

Penerbitan-penerbitan bebas yang dianggap oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai tidak memihak kepada pihak pemerintah juga terpaksa mengalami banyak rintangan. Penerbitan-penerbitan yang ada ditarik izinnya, dan izin untuk menerbitkan penerbitan-penerbitan baru - terutamanya oleh para penerbit dan penulis yang sudah dikenal pasti oleh pihak KDN – sudah pasti tidak akan dikeluarkan.

Sebilangan para penulis dan penerbit bebas di negara ini baru-baru ini membentuk sebuah badan yang dinamakan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) di bawah pimpinan Ahmad Lutfi Othman dalam usaha mereka untuk menyuarakan tentangan dan bantahan mereka terhadap penekanan sewenang-wenang yang dilakukan pemerintah terhadap kebebasan media di negara ini.

Setakat ini tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pihak-pihak yang menghadapi pencabulan kebebasan media ini. Ada yang terus menerbitkan akhbar mereka tanpa izin dan menyebarkannya melalui saluran masing-masing. Ada yang berusaha menerbitkan penerbitan mereka dengan judul lain setiap kali keluaran, dan dengan itu melepaskan diri daripada takrif "penerbitan berkala" yang memerlukan izin penerbitan.

Namun demikian, usaha-usaha seperti ini tidak stabil keadaannya dan besar pula risikonya, baik dari segi undang-undang maupun dari segi kewangan. Pihak KDN terus menerus melakukan sekatan dan rampasan terhadap penerbitan-penerbitan seperti ini, tanpa sebarang penjelasan tentang peruntukan undang-undang yang membolehkannya bertindak demikian.

Selaras dengan masalah yang dihadapinya dalam usaha memperoleh izin penerbitan untuk Suara PRM, maka PRM - dengan kerjasama Biro Media dan Penerbitan BA - akan menganjurkan suatu pertemuan meja bulat untuk membincangkan langkah dan strategi bagi menghadapi usaha pihak pemerintah, khususnya KDN, yang jelas mencuba menghapuskan kebebasan media di negara ini. Turut diundang ke pertemuan itu nanti adalah pihak-pihak yang menguruskan penerbitan akhbar parti-parti politik lain, dan para penerbit dan penulis bebas yang menghadapi pengalaman yang sama – khususnya teman-teman dalam KAMI.

Pertemuan ini akan diadakan pada pertengahan bulan Februari 2001.

Rustam A. Sani
Naib Presiden PRM dan Pengerusi, Biro Media dan Penerangan BA
6hb Februari 2001 --
Rustam A. Sani
7519 Jalan Bukit Lela, Gombak 53100 Kuala Lumpur,
MALAYSIA rustam@tm.net.my
Tel: +[603] 6189 7588 Fax: +[603] 6184 1069 Mobile: 019 389 7888