KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PRM
 
Haramkan Semua Pusat Hiburan dan Arked Video?
 
Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut merasa bimbang dan marah kerana banyak
sekali pusat hiburan dan arked video yang sekarang ini digunakan dengan
meluas sekali untuk kegiatan haram seperti mengedarkan pil Ecstasy dan
menggalakkan perjudian. Pengaruh serta akibat kegiatan ini terutama ke atas
kaum belia dan pelajar sangat buruk. Kami bersetuju supaya tindakan yang
tegas perlu diambil oleh pihak kerajaan.
 
Sehingga ini, langkah-langkah yang diambil untuk mengawal kegiatan haram di
pusat hiburan dan arked video ini tidak begitu berkesan. Pihak polis dan
kuasa tempatan bukan saja tidak memperlihatkan kerjasama yang rapat, bahkan
mereka pernah salah-menyalahkan di antara satu sama lain. Oleh kerana itu
pusat-pusat dan arked-arked tersebut boleh terus bermaharajalela.
 
Presiden MCA mendakwa bahawa 90 peratus daripada pusat atau arked tersebut
telah berjaya ditutup. Presiden MPPJ pula mendakwa kegiatan haram yang
merosakkan masyarakat ini telah berjaya dikawal. Kedua-dua adalah dakwaan
palsu belaka. Masih banyak lagi yang terus bergiat di merata tempat – di
kawasan kediaman, dalam flet dan juga berdekatan sekolah. Ada yang ditutup
dan dirampas mesin slot mereka, akan tetapi beberapa hari kemudian, bahkan
ada kalanya hanya beberapa jam kemudian, mereka dibuka semula  dengan
mesin-mesin slot yang baru.
 
Ada dua faktor besar yang menyebabkan banyak pusat hiburan dan arked ini
boleh terus bermaharajalela dengan kegiatan haram mereka. Pertama ialah
RASUAH. Beberapa hari lalu, media melaporkan bahawa kabinet telah diberi
taklimat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) tentang adanya pakatan di antara
kaki tangan kerajaan dengan pihak-pihak yang menjalankan kegiatan haram itu.
Akan tetapi semalam Ketua Pengarah BPR berkata pula bahawa  mereka tidak
mempunyai bukti lengkap untuk mengambil tindakan. Inilah alasan yang
selama-lamanya diberi oleh BPR, daripada kes lesen terbang sehingga kes Eric
Chia/Perwaja. Nampaknya setengah-setengah pihak merasa lebih ghairah hanya
untuk muncul dalam media, dengan  publisiti murahan, daripada berbuat
apa-apa yang berkesan.
 
Faktor kedua ialah, masyarakat mengetahui bahawa kebanyakan pengurus
pusat-pusat dan arked-arked yang menjalankan kegiatan haram ini mempunyai
pelindung-pelindung yang berkuasa. Bukan semata-mata di kalangan polis atau
majlis tempatan saja. Sebahagian besar mereka ini menjadi anggota atau
penyokong parti politik tertentu. Parti politik tersebut pada satu ketika
membuat heboh, akan tetapi pada ketika yang lain berusaha memastikan bahawa
tidak ada apa-apa tindakan serius akan diambil terhadap golongan yang perlu
dilindungi itu. Parti serta pemimpin parti tersebut takut kedudukan mereka
sendiri boleh terancam jikalau tindakan tegas diambil ke atas mereka yang
terlibat dengan kegiatan-kegiatan haram itu.
 
PRM tidak bersetuju dengan desakan sesetengah pihak supaya semua pusat
hiburan atau arked video itu ditutup, terutama sekali jikalau ada di antara
mereka yang tidak terlibat dengan kegiatan haram. Kami hanya mendesak supaya
yang terlibat dengan kegiatan haram seperti mengedar pil Ecstasy, menggalak
kegiatan judi atau sebagainya ditutup. Kerajaan mesti bertindak tegas dan
cepat dalam hal ini. Akan tetapi tindakan itu akan berjaya dan berkesan
hanya jikalau rasuah dan penyelewengan diperangi di segala peringkat di
kalangan semua golongan daripada pegawai rendah sehingga menteri kanan.
 
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
3hb Oktober 2000