KENYATAAN MEDIA
SDR EZAM MOHD NOR
SYED HAMID PERLU DESAK MAHATHIR LETAK JAWATAN

Saya ingin mengulangi kenyataan yang saya buat dalam perhimpunan "Gerakan Mengembalikan Hak-Hak Rakyat" di Tandop, Alor Setar pada malam 24 Oktober 2000.
Semasa berada di luar negara baru-baru ini saya memang memberikan ucapan di seminar-seminar dan mendedahkan pelbagai kepincangan dan kezaliman kerajaan. Saya hanya menyatakan kebenaran, tidak lebih dari itu. Dan kita harus berani menyatakan yang benar, meskipun pahit untuk didengar.

Di setiap peluang yang ada saya menjelaskan secara terperinci bagaimana buruknya kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad dalam isu-isu dasar yang merangkumi persoalan seperti isu kebebasan kehakiman, pencabulan tentang hak kebebasan media, penghapusan hak parti yang sah di dalam menjalankan aktiviti di negara yang kononnya mengamalkan demokrasi.

Cengkaman pemerintah khususnya Mahathir Mohamad terhadap kuasa yang seharusnya diberikan kepada institusi pelaksanaan hukum seperti Badan Pencegah Rasuah dan Jabatan Peguam Negara sehingga menyebabkan rasuah dan penyelewangan berleluasa sehingga melibatkan kalangan pimpinan tertinggi kerajaaan dan ribuan juta duit rakyat Malaysia juga menjadi perkara utama yang sering saya jelaskan.

Sesungguhnya persoalan yang saya bangkitkan merupakan persoalan dasar dan politik pemerintah hari ini yang seharusnya disanggah di dalam mahupun di luar negara.  Sebagai seorang ahli politik yang memegang jawatan di dalam sebuah parti yang sah saya berhak menyatakan pandangan saya kepada mana-mana pihak di dalam mahupun di luar negara walaupun ianya menjurus ke arah kepincangan dan keburukan seorang pemerintah seperti Mahathir Mohamad atau pun keseluruhan pemerintahannya, kerajaan Barisan Nasional.

Saya akan tetap mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan yang benar. Maka saya sekali lagi mencabar Menteri Luar Dato' Syed Hamid Albar atau mana-mana pimpinan kerajaan malah Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia sekali pun untuk mendakwa saya di mahkamah Malaysia atau pun mahkamah antarabangsa sekiranya apa yang saya lakukan bercanggah dengan undang-undang.

Bagaimanapun saya ingin membuat pembetulan dalam laporan Utusan Malaysia hari ini yang menggambarkan seolah-olah wujudnya gerakan yang dirancang oleh pimpinan Barisan Alternatif khususnya Parti keADILan Nasional untuk memburuk-burukan Perdana Menteri.  Lawatan saya ke Amerika Syarikat dan Eropah begitu juga dengan lawatan pimpinan lain ke negara lain adalah atas jemputan yang dibuat oleh masyarakat Malaysia di luar negara atau pun masyarakat antarabangsa yang mahu mendengar penjelasan ke atas apa yang berlaku di Malaysia.  Ianya bukan satu gerakan seperti yang digempar gempurkan oleh Utusan Malaysia.  Sokongan masyarakat dalam negara dan antarabangsa terhadap perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia amat-amat memberangsangkan.  Oleh sebab itu puluhan jemputan yang diterima untuk berada di luar negara bagi menerangkan hal ehwal negara yang semakin rosak di bawah pimpinan Mahathir Mohamad.  Memang benar Mahathir Mohamad semakin dipinggirkan di arena antarabangsa.  Beliau sekarang ini menjadi liabiliti kepada negara.  Semakin lama beliau memerintah semakin rosak imej negara di mata dunia dan ini akan menjadi kesan kepada maruah dan ekonomi negara.  Dato' Syed Hamid Albar sebagai Menteri Luar seharusnya menghentikan perbuatan sia-sia  menggugut saya.  Sebagai Menteri Luar yang seharusnya bertanggungjawab kepada rakyat, beliau seharusnya melaporkan kepada Perdana Menteri bagaimana rosaknya negara ini angkara Perdana Menteri. Syed Hamid Albar seharusnya meminta Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan bagi menyelamatkan negara dari terus dipandang hina di pandangan dunia.


Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda
Parti keADILan Nasional
25 Oktober 2000