KENYATAAN MEDIA BIRO PERPADUAN NASIONAL BARISAN ALTERNATIF (BA)

6 Februari 2001

Siapa Musuh Sebenar?

Biro Perpaduan Barisan Alternatif amat kecewa dengan tindakan beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab dalam beberapa bulan yang lalu yang dengan sengaja membangkitkan isu-isu perkauman untuk kepentingan politik sempit mereka. Perhimpunan Badan Bertindak Melayu (BBM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diadakan pada 4 Februari 2001 adalah satu lagi bukti tentang arah aliran yang bahaya ini dalam politik tanah air.

Isu-isu utama yang menggerakkan politik dewasa ini adalah isu-isu yang berkaitan dengan keadilan sosial -- bukan perkauman. Isu-isu yang kita maksudkan adalah isu-isu tentang kepimpinan politik yang autoritarian; pencerobohan terhadap hak asasi manusia; pencabulan terhadap prinsip-prinsip demokrasi; jurang perbezaan pendapatan antara golongan yang berada dan yang kurang berada yang kian melebar; salah pengurusan ekonomi; tindakan-tindakan kerajaan yang lebih memihak pada syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai pertalian dengan elit politik; rasuah di kalangan elit ekonomi dan politik; penghakisan nilai-nilai moral di peringkat atasan masyarakat dan sebagainya.

Rakyat jelata lebih sedar akan cabaran-cabaran genting yang menghadapi negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan dan UMNO pada awal September 1998. Itulah sebabnya masyarakat tempatan dan masyarakat antarabangsa menganggap faktor Anwar sebagai pencetus pada krisis nasional. Krisis inilah yang membawa pada situasi di mana sebahagian besar daripada rakyat kita tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir tidak mahu menerima realiti politik ini. Beliau cuba mengalihkan pandangan rakyat dengan menimbulkan beberapa isu-isu perkauman. Isu Suqiu merupakan contoh yang paling ketara. Kini senjata perkauman Dr. Mahathir sudah mula 'makan tuan'.

Kumpulan-kumpulan yang memperalatkan isu perkauman untuk kepentingan politik mereka kini mengecam Dr. Mahathir sendiri. Ucapan beberapa penceramah di perhimpunan BBM membuktikan bahawa individu-individu tertentu dari dalam UMNO yang kurang senang dengan kepimpinan Mahathir sekarang memberanikan diri untuk menyelar tindakan-tindakan politik Perdana Menteri. Mereka menggunakan isu-isu kaum dan isu-isu lain untuk mengkritik Mahathir.

Inilah risiko yang ada pada politik perkauman . Akhirnya, pemimpin yang memanipulasikan sentimen kaum pada peringkat awal akan menjadi mangsa politik perkauman.

Biro Perpaduan BA menasihatkan pengkritik-pengkritik Mahathir dalam UMNO memfokuskan pada persoalan-persoalan utama yang menghadapi masyarakat Melayu dan semua kaum di negara kita dewasa ini. Jangan bermain dengan api perkauman. Orang Melayu dan bukan Melayu yang menuntut keadilan tahu apa yang sedang berlaku di negara kita. Masalah pokok yang menggugat keutuhan bangsa adalah penyelewengan daripada prinsip-prinsip pemerintahan adil. Penyalahgunaan kuasa adalah cabaran besar yang di hadapi semua kaum. Kesan-kesan negatif daripada penafian kebebasan dan hak rakyat dirasai oleh semua kaum. Kemerosotan integriti sistem kehakiman, pasukan polis dan media awam adalah bebanan yang ditanggung oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Dengan lain perkataan musuh Melayu bukan Cina dan musuh Cina bukan Melayu. Musuh Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak adalah ketidakadilan. Dan sahabat setia semua kaum adalah perjuangan untuk mencapai perubahan berdasarkan lunas-lunas keadilan.

Dr. Chandra Muzaffar
Pengerusi Biro Perpaduan Barisan Alternatif