KENYATAAN MEDIA BIRO PENDIDIKAN BARISAN ALTERNATIF (BA)

MASALAH PEMINDAHAN SRJK(C) DAMANSARA

Masalah SRJK(C) Damansara nampaknya belum selesai lagi. Kira-kira 70 orang murid masih terus belajar di kawasan sekolah ini, walaupun di bawah bangsal dan dengan guru-guru sukarela. Ibu bapa murid-murid sekolah ini dan juga sebilangan penduduk komuniti berdekatan tetap mendesak supaya SRKJ Damansara tidak ditutup, walaupun sebahagian besar murid telah berpindah ke Sekolah Puay Chai (2). Sehubungan ini ada beberapa orang penyokong sekolah ini yang sedang terus melancarkan mogok lapar. Beberapa hari lalu empat orang telah ditahan kerana kononnya berkumpul secara haram di hadapan Kementerian Pendidikan, akan tetapi sudah dibebaskan dengan ikat jamin.

Parti politik seperti MCA dan beberapa orang anggota Badan Pengelola sekolah dan juga dan sebilangan kecil ibu bapa murid-murid yang telah pindah, berkali-kali menggesa supaya mereka yang belum mahu berganjak itu tunduk dan mengikut saja kehendak majoriti. Kami mengetahui bahawa sebilangan daripada yang telah berpindah itu telah tertekan atau terdesak berbuat demikian. Akan tetapi, yang lebih penting ialah dalam proses demokrasi, walaupun keputusan majoriti perlu diikuti, namun hak minoriti harus juga dihormati. MCA dan badan-badan serta individu ini mesti menyedari tentang bahayanya menerima prinsip kehendak majoriti harus sentiasa dituruti. Jikalau prinsip ini dilaksanakan di peringkat bangsa dan negara dalam berbagai-bagai bidang, maka bererti bahawa hak minoriti boleh sentiasa diabaikan.

Hampir semua murid yang tidak berpindah adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggal berdekatan SRJK Damansara itu. Sekolah tersebut sudah menjadi sebahagian daripada komuniti mereka. Apatah lagi kerana ia telah wujud dengan wang, tenaga dan kasih sayang terutama sekali komuniti di sekitar yang telah menyokong selama lebih 70 tahun. Konsep mengadakan sekolah berdekatan dan mempunyai hubungan rapat dengan komuniti memang baik sekali digalakkan. Sekolah yang sudah mempunyai sejarah yang lama seperti ini tidak harus dilenyapkan begitu saja.

Adalah jauh lebih baik mempunyai atau membina sekolah, walaupun kecil, di tengah-tengah komuniti sendiri, daripada membelanjakan banyak wang untuk membina sekolah yang besar akan tetapi jauh daripada sebahagian komunitinya. Sekolah baru yang hendak disiapkan dengan tergesa-gesa dalam lapan bulan di kawasan Tropicana, sudah tentu jauh juga bagi kebanyakan muridnya nanti. Bukan saja ini mengakibatkan bebanan kewangan bahkan tidak menggalakkan interaksi yang rapat di antara ibu-apa, pelajar dan komuniti dengan sekolah.

Kami melihat ada tendensi untuk membina sekolah yang besar-besar dan mahal-mahal. Kami berharap ini tidak dipengaruhi oleh sikap pihak pemerintah yang sentiasa hendak mendirikan segala yang besar, tinggi dan panjang, ataupun bertujuan untuk memberi kontrak kepada suku sakat. Sebenarnya kami tidak menentang usaha mendirikan sekolah-sekolah yang baru, lengkap dan besar, kerana ini merupakan pelaburan lebih baik dan lebih menguntungkan daripada membazirkan wang negara dan rakyat untuk projek-projek mega yang tidak ekonomik.

Apa yang kami mahu ialah wang negara dan rakyat itu seharusnya digunakan lebih banyak lagi untuk menaikkan taraf serta mutu sekolah-sekolah yang ada, tidak kira sama ada mereka bercorak kebangsaan, jenis kebangsaan atau bantuan saja. Masih banyak sekolah di kawasan pedalaman, bahkan juga di kawasan-kawasan mundur dalam bandar, yang terus-menerus tiada kemudahan air serta elektrik, tiada asrama murid dan tempat kediaman guru, kekurangan peralatan yang baik, dan ketiadaan cukup guru yang terlatih serta berkelayakan tinggi. Usaha dan perbelanjaan yang sewajarnya hendaklah ditumpukan kepada mengatasi masalah-masalah seperti ini.

Berbalik kepada SRJK Damansara itu, kami melihat terdapat beberapa kesilapan besar yang telah dilakukan. Pertama, ada golongan di kalangan pengelola sekolah dan juga pegawai pendidikan yang terpengaruh oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ekonomi untuk membangunkan kawasan berdekatan dan di tengah-tengah komuniti sekolah itu. Kedua, pihak jabatan pendidikan tidak melakukan tinjauan serta perbincangan yang cukup dengan pihak ibu bapa di situ. Ketiga, tindakan memindahkan murid-murid sekolah itu telah dilakukan secara tergesa-gesa, tanpa menunggu sekolah baru di kawasan Tropicana siap. Akhir sekali, dan ini paling serius, Kementerian Pendidikan berdolak-dalik dan penghabisan menterinya menggunakan cara yang agak keras untuk menutup terus SRJK Damansara itu.

Tindakan Menteri Pendidikan menutup sekolah ini kelihatan dipengaruhi oleh unsur tekanan politik. Dalam suasana manakala pucuk pimpinan kerajaan dan sesetengah media arus perdana berkempen tentang perpaduan Melayu dan menuduh segolongan orang Tionghua sebagai ekstremis serta menyerupai komunis, maka tekanan supaya sekolah itu segera ditutup semakin kuat. Pendidikan tidak harus dipolitikkan. Malangnya, dalam soal SRJK Damansara ini, terlalu banyak unsur yang telah mempolitikkan isunya.

Biro Pendidikan Barisan Altrnatif (BA) menggesa supaya Menteri Pendidikan menimbang semula tindakannya dan membenarkan SRJK Damansara diteruskan supaya dapat berkhidmat kepada komunitinya. Kami percaya, sekiranya sekolah ini dibenarkan untuk diteruskan, maka segala ketegangan berupa politik perkauman, yang timbul daripada pertikaian mengenai kedudukannya akan dapat diredakan. Sekaligus kementerian dan kerajaan boleh membuktikan bahawa ia mengutamakan pendidikan murid-murid daripada keuntungan tokoh korporat, dan seterusnya menghormati hak minoriti. Ini merupakan prinsip penting yang harus dilaksanakan dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Dr Syed Husin Ali
Pengerusi Biro Pendidikan BA
Presiden PRM