Kenyataan Media Bersama

BARISAN ALTERNATIF

9 Januari 2001

______________________

 

Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Parti Keadilan Nasional (keADILan)

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Parti Rakyat Malaysia (PRM)

 

BA Menjemput BN ke Perbincangan tentang ‘Cabaran Genting Negara’

 

Barisan Alternatif (BA) dengan hormatnya menjemput Barisan Nasional (BN) menghadiri Meja Bulat untuk membincangkan cabaran-cabaran genting yang menghadapi negara ini. Para pemimpin daripada semua parti komponen dalam BA dan BN perlu menghadiri persidangan ini.

 

Negara kini di tengah-tengah satu krisis. Ia merupakan krisis yang berkaitan dengan nilai serta etika, demokrasi serta hak manusia, hubungan etnik serta pengurusan ekonomi. Penganiayaan yang zalim, tidak berperi kemanusiaan dan tidak adil terhadap Anwar Ibrahim, berikutan penyingkirannya dari kerajaan dan UMNO telah mencetuskan krisis ini. Bahkan sebelum peristiwa Anwar itu, penahanan Lim Guan Eng yang tidak adil telah mendedahkan kelemahan asas dalam sistem hukum dan perundangan, yang dalam banyak hal kelihatan tidak memenuhi prinsip keadilan. Pendakwaan pilih-pilih terhadap mereka yang berbeza pendapat, tindakan keras terhadap parti-parti pembangkang, sekatan ketat keatas media pembangkang, penafian terhadap hak rakyat mengadakan perhimpunan aman, dan corak keganasan polis yang sistematik, telah menjejaskan apa saja keyakinan rakyat yang tinggal terhadap institusi pemerintah.

 

Selanjutnya prinsip pemerintah yang baik dikompromikan dengan tindakan-tindakan dendam kesumat, seperti penafian royalti petrolium kepada rakyat Terengganu yang telah memilih kerajaan Barisan Alternatif melalui proses demokrasi. Oleh kerana kuasa golongan pemerintah sangat kuat, rakyat tidak berupaya menghadapi segala salah guna kuasa seumpama itu. Sepatutnya media mengawal segala salah laku ini, akan tetapi media perdana yang dimiliki pemerintah sering memilih untuk menyembunyikan serta menyamarkan kebenaran dan memutarbelitkan pandangan-pandangan alternatif.

 

Kegagalan media perdana untuk memainkan peranan wajarnya adalah salah satu sebab mengapa korupsi di kalangan elit pemerintah telah merebak sebagai barah dalam masyarakat Malaysia. Mereka yang cuba mendedahkan korupsi diburu dan diganggu, manakala mereka yang menyalahgunakan kuasa serta kedudukan mereka dibenarkan terus bermaharajalela.

 

Korupsi adalah berhubung rapat dengan salahguna pengurusan dan ketidakadilan ekonomi. Projek-projek penswastaan yang gagal, dimiliki oleh kroni dan suku-sakat elit pemerintah terus diselamatkan oleh pemerintah dengan mengggunakan wang cukai. Manakala berbilion ringgit dibelanjakan untuk syarikat kroni dan projek mega, keperluan asas golongan terpinggir dalam masyarakat nasional terus diabaikan. Sesunggunya bukti adalah nyata bahawa jurang pendapatan di antara mereka yang memiliki banyak dengan merekaa yang memiliki sedikit semakin melebar dengan kadar sangat membimbangkan dalam beberapa tahun yang lalu.

 

Apabila rakyat menyedari akan perbezaan dan ketidakadilan di sekitar mereka dan mula menyoal tentang pemimpin-pemimpin mereka, pihak berkuasa cuba mengalihkan pandangan mereka daripada isu-isu sebenar dengan memanipulasikan sentimen perkauman. Dalam tempoh enam bulan yang lalu, berbagai-bagai percubaan telah dijalankan oleh elit pemerintah untuk memperalatkan ketakutan kaum, melagakan satu kaum dengan kaum yang lain, dan menggertak serta mengugut pemimpin-pemimpin masyarakat supaya tunduk kepada kuasa mereka. Peristiwa Suqiu merupakaan satu bukti yang nyata.

 

Tindakan sengaja menjadikan setiap isu perkauman, paras korupsi yang tinggi, salah pengurusan ekonomi, kemiskinan relatif yang meluas, pencabulan hak-hak manusia, pelanggaran prinsip-prinsip demokrasi dan keruntuhan nilai akhlak dan etika dalam kehidupan awam telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap pimpinan kebangsaan. Ia merupakan krisis yang harus dihadapi dengan cara jujur dan objektif.

 

Terutama sekali kerana krisis inilah maka sebahagian besar penyokong UMNO dan BN telah mengalihkan sokongan atau kesetiaan mereka kepada BA. Sangat silap untuk mentafsirkan peralihan ini sebagai perpecahan di kalangan orang Melayu. Oleh kerana peralihan ini berhubung dengan keseluruhan cabaran utama, ia tidak dapat diselesaikan dengan mengadakan perbincangan tentang perpaduan Melayu semata-mata. Isu penting yaang menghadapi rakyat hari ini bukannya perpaduan Melayu akan tetapi integriti pimpinan kebangsaan dan kejujuran komitmen mereka kepada keadilan dan demokrasi.

 

Oleh kerana inilah maka pimpinan Barisan Alternatif yang bermesyuarat di Petaling Jaya pada 8hb Januari 2001 membuat keputusan untuk mengambil daya utama mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan isu ini dan mencari penyelesaian kepada krisis yang menggugat negara kini.

 

Adalah menjadi harapan ikhlas BA agar pimpinan BN menerima jemputan ini. Apabila ada tanda bahawa pimpinan BN memberikan respons yang positif, Sekretariat BA akan menghubungi Setiausaha Agung BN untuk menguruskan hal-hal teknikal berhubung pertemuan ini.

 

 

 

YB Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor                 YB Haji Mustafa Ali

Presiden                                                           Naib-Presiden

Parti Islam SeMalaysia (PAS)                           Parti Islam SeMalaysia

 

 

 

YB Dr Wan Azizah Wan Ismail                            Dr Chandra Muzaffar

Presiden                                                           Timbalan Presiden

Parti Keadilan Nasional (keADILan)                    Parti Keadilan Nasional (keADILan)

 

 

 

Sdra. Lim Kit Siang                                        YB Kerk Kim Hock

Pengerusi                                                          Setiausaha Agung

Parti Tindakan Demokratik (DAP)               Parti Tindakan Demokratik (DAP)

 

 

 

Dr Syed Husin Ali                                            Dr Sanusi Osman

Presiden                                                           Setiausaha Agung

Parti Rakyat Malaysia (PRM)                         Parti Rakyat Malaysia (PRM)